Demam

Apakah Komplikasi Demam Panas (Fever)

Baca Soalan

Secara amnya, kesan demam panas pada dewasa adalah ringan dan jarang menyebabkan komplikasi-komplikasi yang serius. Salah satu komplikasi demam yang paling biasa berlaku ialah dehydration atau kekurangan air di dalam badan. Semasa demam, suhu badan kita akan meningkat dan badan kita akan berpeluh dengan banyak untuk merendahkan suhu tersebut. Selain itu, pesakit-pesakit yang menghidap demam tidak mempunyai selera untuk makan dan minum. Dehidrasi biasanya menyebabkan gejala seperti rasa dahaga dan keletihan.

Selain itu, demam panas dewasa boleh menyebabkan kesan negatif kepada sistem saraf. Badan pesakit akan menjadi lemah dan kekejangan atau kelemahan otot boleh berlaku. Suhu demam orang dewasa yang terlalu tinggi boleh mengakibatkan kekeliruan, halusinasi dan sawan. Pengguna-pengguna dadah metamfetamin atau syabumempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap komplikasi-komplikasi tersebut.

Demam yang disebabkan oleh virus-virus berbahaya seperti demam denggi dan demam tifoid boleh menyebabkan komplikasi yang boleh membawa maut. Sebagai contohnya, demam denggi yang tidak dirawat boleh mengakibatkan tekanan darah yang terlalu rendah serta perdarahan berlebihan dari organ-organ dalaman. Demam yang disebabkan oleh jangkitan bakteria berbahaya seperti jangkitan otak dan jangkitan paru-paru juga boleh mendatangkan maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Komplikasi demam pada kanak-kanak

Komplikasi-komplikasi yang boleh berlaku pada kanak-kanak adalah hampir sama dengan golongan dewasa. Golongan kanak-kanak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami komplikasi demam kerana sistem pertahanan mereka adalah lebih lemah. Selain itu, bayi dan kanak-kanak yang lebih kecil tidak dapat menerangkan gejala mereka dengan berkesan dan situasi ini boleh menyebabkan kelewatan diagnosis dan rawatan mereka.

Satu komplikasi yang agak biasa berlaku pada kanak-kanak yang mengalami demam ialah acute febrile seizure atau sawan demam akut. Sawan demam akut boleh berlaku pada setiap kanak-kanak berumur bawah 5 tahun. Ia biasanya berlaku dalam tempoh 24 jam selepas demam panas bermula. Kondisi ini biasanya mendatangkan kecemasan dan kerisauan kepada ibu bapa tetapi ia merupakan sejenis kondisi yang tidak menyebabkan sebarang komplikasi jangka panjang yang serius.

Kesan sampingan rawatan

Paracetamol merupakan ubat yang berkesan untuk demam dan ia ialah ubat yang paling kerap digunakan untuk merawat demam. Ubat ini adalah sangat selamat dan jarang menyebabkan komplikasi serius jika diambil dalam dos yang betul. Ubat paracetamol boleh menyebabkan alahan dan bengkak mata, mulut dan muka pada sebahagian kecil pesakit.

Selain paracetamol, ubat-ubatan kelas NSAID (non-steroidal anti-inflammatory drugs) seperti ibuprofen juga sering digunakan untuk merendahkan suhu demam. Ubat NSAID biasanya adalah selamat tetapi ia boleh mendatangkan kesan sampingan seperti alahan, sakit perut, muntah dan cirit-birit pada sebahagian kecil pesakit.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?