Hepatitis A: Gejala dan kesannya kepada komuniti
- Hepatitis A adalah penyakit yang memberi kesan buruk kepada hati manusia dan ianya disebabkan oleh virus hepatitis A. Penyakit ini bukan seperti Hepatitis B dan C, di mana virus tersebut akan menyebabkan penyakit hati kronik seperti sirosis dan kanser hati.
- Satu perkara yang dikhuatiri berlaku walaupun kejadian ini jarang adalah hepatitis fulminant iaitu kegagalan hati akut, yang boleh membawa maut. Hepatitis A adalah satu penyakit yang terjadi di seluruh dunia dan boleh memberi kesan buruk dari segi ekonomi dan sosial dalam komuniti.
- Ini kerana ia boleh mengambil masa berminggu-minggu ataupun berbulan untuk pesakit sembuh dan kembali ke sekolah, kerja, ataupun kehidupan seharian.
Cara penularan Hepatitis A
- Hepatitis A menular melalui laluan dubur-mulut (faeco-oral route) iaitu apabila seseorang yang tidak pernah dijangkiti virus ini, menelan makanan atau air yang telah tercemar dengan najis atau air kencing orang yang dijangkiti.
- Antara penyebab hepatitis A adalah seperti yang berikut:
Makan makanan yang disediakan oleh seseorang yang mempunyai jangkitan tersebut dan tidak membasuh tangan dengan bersih, atau penyedia makanan membasuh tangan dalam air kumbahan.
Meminum air yang tercemar (termasuk kiub ais)
Makan kerang mentah atau kurang masak
Melakukan hubungan seks dengan seseorang yang mempunyai jangkitan, terutamanya jika anda menyentuh rektum mereka (laluan belakang) dengan jari, mulut atau lidah anda.
Peralatan untuk memberi suntikan ubat tercemar dengan virus hepatitis A
Gejala hepatitis A
- Individu yang mengalami hepatitis A akan mengalami gejala-gejala seperti:
- Demam
- Keletihan
- Kurang selera makan
- Loya dan muntah
- Putih mata dan kulit kekuningan (jaundice)
- Air kencing warna “teh O”
- Sakit perut
- Sakit ini lebih kuat di bahagian atas kanan perut. Kanak-kanak selalunya akan mengalami sakit ringan ataupun tiada gejala langsung, tetapi orang dewasa akan mengalami gejala-gejala ini dengan teruk.
Cara mencegah jangkitan hepatitis A
- Walaupun punca hepatitis A sudah diketahui, ia tidak begitu senang untuk mencegahnya kerana penyakit ini sudah pun mula berjangkit 2 minggu sebelum gejala timbul di badan pesakit.
- Namun begitu, terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil oleh populasi untuk mengelakkan penyakit ini.
- Antara langkah-langkah tersebut adalah untuk mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi, iaitu dengan membasuh tangan menggunakan air dan sabun selepas berkunjung ke tandas dan juga sebelum menyediakan makanan.
- Selain itu, hanya makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna ataupun makanan panas. Elakkan minum air yang telah dimasak di restoran, dan pilih air mineral yang telah dibotolkan.
- Terdapat juga vaksin hepatitis A (vaccination), yang boleh diambil dan juga sangat disarankan jika anda hendak melancong ke luar negara. Penularan hepatitis A hanya boleh dielakkan dengan kerjasama seluruh populasi.