Herpes

Apakah penyakit Herpes Zoster (kayap) dan rawatan sesuai?

Baca Soalan

Apakah Jangkitan Herpes Zoster

Herpes Zoster merupakan sebuah jangkitan yang disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Varicella Zoster Virus (VZV). Dalam kalangan masyarakat Malaysia, penyakit ini dikenali dengan beberapa nama seperti cacar api, cacar ular, kayap ular dan lain-lain istilah. Kadang kala terdapat jenis kayap dan gambar yang diajukan oleh pesakit jarang didengari, namun merujuk kepada penyakit yang sama. Di dalam bahasa Inggeris pula, ianya dikenali dengan istilah “shingles”.

Virus Varicella Zoster juga boleh menyebabkan jangkitan cacar air atau lebih dikenali sebagai “chicken pox” kepada penghidapnya. Walaupun kedua-dua penyakit ini disebabkan oleh punca yang sama, namun simptom-simptom yang diberikan adalah berbeza.

Penyakit Varicella Zoster atau Chicken Pox akan menyebabkan tumbuhnya biji-biji atau benjolan kecil berisi air (Vesicles) pada seluruh badan. Manakala Herpes Zoster ataupun kayap akan memberikan simptom yang sama namun hanya timbul pada laluan urat saraf yang dijangkiti sahaja dan kebiasaannya simptom ini terhad kepada sebelah bahagian badan seperti muka, kaki, dada ataupun perut.

Semasa virus Varicella Zoster mula-mula menjangkiti badan, simptom pertama yang akan dialami oleh pesakit adalah cacar air (Chicken Pox). Walaupun cacar air sering dilihat pada kanak-kanak, namun penyakit ini boleh juga dialami oleh orang dewasa. Apabila sembuh, simptom-simptom cacar air akan surut, tetapi virus Varicella Zoster kekal di dalam badan. Ia akan kekal berada di dalam salah satu ataupun beberapa 'ganglia' (iaitu pusat bertemu urat-urat saraf) yang berada di sepanjang saraf tunjang yang dipanggil “dorsal root ganglion” ataupun berada di dalam 'ganglia' yang berada pada bahagian leher yang dikenali sebagai “trigeminal ganglion”.

Setelah beberapa ketika terutamanya apabila sistem imunisasi badan menjadi lemah, virus Varicella Zoster akan mengambil kesempatan untuk menyebarkan jangkitannya kepada urat saraf yang berasal daripada 'ganglia' yang dijangkiti. Jika ia berada pada saraf “trigeminal ganglia”, maka bahagian muka akan terkena kayap. Jika ia berada pada saraf 'ganglion' dada pula, maka bahagian dada yang akan terkena kayap. Begitulah seterusnya. Penyebaran jangkitan akan mengikuti perjalanan urat saraf yang bersambung dengan 'ganglia' yang terlibat.

Walaupun diketahui jangkitan yang berlaku terhad kepada perjalanan urat saraf yang terlibat, namun tidak terdapat cara yang khusus untuk mencari virus yang tersimpan di dalam 'ganglia' tersebut.

Simptom-simptom Jangkitan Herpes Zoster

Simptom-simptom awal yang dialami oleh pesakit yang dijangkiti Herpes Zoster adalah tidak khusus dan boleh menyebabkan kekeliruan dengan penyakit lain. Antara simptom tersebut ialah:

  1. Pening kepala

  2. Demam

  3. Berasa penat pada seluruh badan

Setelah beberapa ketika, simptom-simptom yang lebih khusus akan muncul dan dapat membantu mencapai diagnosis yang lebih spesifik. Antara simptom-simptom yang berlaku pada pesakit adalah:

  1. Kesakitan seperti permukaan kulit terbakar

  2. Gatal-gatal

  3. Kulit yang menjadi lebih sensitif ataupun semakin kurang sensitif daripada biasa

Kesakitan kulit kadang-kala boleh menjadi berbeza-beza. Ia boleh terasa seperti disengat, rasa semut-semut, kebas, mencucuk atau rasa seperti menikam. Ianya berbeza-beza mengikut keadaan. Jenis-jenis kesakitan yang berbeza-beza ini berlaku disebabkan oleh kerana jangkitan ini tersebar mengikut laluan urat saraf. Oleh kerana urat saraf adalah komponen di dalam tubuh yang membawa deria rasa, maka pelbagai jenis deria boleh dirasai apabila urat saraf dijangkiti penyakit ini.

Kesakitan juga semakin bertambah apabila usia seseorang itu semakin meningkat. Golongan yang lebih berumur akan mendapat rasa yang lebih sakit apabila dijangkiti penyakit ini jika dibandingkan dengan golongan yang lebih muda.

Setelah beberapa hari simptom-simptom awal telah muncul, simptom klasik penyakit ini berbentuk biji-biji atau benjolan-benjolan kecil akan muncull. Di dalam kebanyakan kes, ianya muncul pada bahagian perut ataupun dada. Namun, bahagian-bahagian badan yang lain juga boleh juga terkena seperti pada bahagian muka, pinggang dan kaki. Segala simptom-simptom yang berlaku pada kulit hanya terhad kepada laluan urat saraf yang terlibat dan hanya berlaku badan satu sisi bahagian badan sahaja. Ianya tidak akan berlaku pada kedua-dua belah bahagian. Di dalam sesetengah kes, tiada ruam langsung yang kelihatan, hanya kesakitan sahaja yang dirasai. Ianya dikenali sebagai ‘zoster sine herpete’ jika diterjemah secara terus akan memberikan makna “zoster tanpa herpes”.

Gelembung-gelembung kecil yang dinyatakan di atas berikutnya akan terisi dengan cecair jernih. Ketika gejala ini berlaku, seseorang itu akan mengalami demam dan keletihan dalam masa yang sama. Gelembung-gelembung pada kulit ini akan pecah mengeluarkan cecair di dalamnya atau mengering sendiri kemudian membentuk kudis yang lama kelamaan akan menjadi pudar ataupun semakin gelap. Pada kebanyakan pesakit kudis akan sembuh sepenuhnya dan permukaan kulit kembali seperti asal. Namun, dalam sesetengah kes apabila keadaan yang dialami sangat teruk, parut akan terbentuk setelah penyakit tersebut sembuh.

Risiko Jangkitan Herpes Zoster

Seperti yang telah diterangkan di atas, apabila virus Varicella Zoster menjangkiti seseorang, perkara pertama yang dialami oleh seseorang itu ialah cacar air (chicken pox). Kemudian apabila virus tersebut kembali aktif, penyakit Herpes Zoster ataupun kayap pula akan berlaku. Kedua-dua penyakit akan memberikan simptom tumbuhnya gelembung-gelembung kecil berisi cecair jernih pada tubuh.

Cecair ini mempunyai kandungan virus Varicella Zoster yang tinggi dan sangat mudah untuk berjangkit. Oleh itu, pesakit Herpes Zoster dinasihatkan untuk tidak menggaru ataupun menyentuh gelembung tersebut.

Kayap akan mudah berjangkit kepada mereka yang memiliki faktor risiko seperti berikut:

  1. Umur 60 tahun ke atas.

  2. Mempunyai penyakit yang melemahkan sistem imunisasi badan seperti HIV, AIDS ataupun kanser.

  3. Sedang menjalani rawatan kemoterapi atau radiasi.

  4. Mengambil ubat yang melemahkan sistem imunisasi seperti steroid ataupun ubat-ubatan yang diambil setelah transplantasi organ dilakukan.

Pencegahan Dan Rawatan Herpes Zoster

Kayap berjangkit apabila seseorang itu tersentuh dengan cecair yang keluar dari gelembung-gelembung kecil yang muncul ketika fasa awal Herpes Zoster berlangsung. Langkah-langkah pertama untuk mengelakkan daripada terkena kayap adalah berjaga-jaga ketika berinteraksi dengan pesakit-pesakit yang menghidap cacar air dan Herpes Zoster terutamanya ketika pesakit tersebut sedang berada di dalam fasa blister (gelembung-gelembung cecair kecil). Pesakit-pesakit juga dinasihatkan supaya tidak menggaru kawasan-kawasan yang terlibat dan sentiasa menjaga kebersihan tangan.

Bagi warga emas, terdapat vaksin yang boleh diberikan untuk penyakit ini. Sebanyak 90% kes jangkitan herpes zoster dapat dihindarkan dengan pemberian vaksin ini. Ianya juga berfungsi dengan mengurangkan kadar kesakitan yang bakal dihadapi oleh seseorang pesakit setelah jangkitan sembuh sekiranya seseorang itu mengalami ‘post-herpetic neuralgia’. Namun, vaksin tersebut cuma bertahan selama 3 tahun setengah sahaja dan perlu diambil semula selepas tempoh tersebut tamat. Seseorang pesakit yang mempunyai masalah sistem imunisasi yang lemah amat digalakkan untuk mengambil vaksin ini mengikut nasihat doktor supaya tahap kesihatan mereka dapat ditingkatkan.

Objektif di dalam rawatan penyakit kayap adalah untuk mengurangkan kadar kesakitan, memendekkan tempoh jangkitan dan mengurangkan komplikasi selepas jangkitan. Antara ubat-ubatan yang akan diberikan untuk rawatan Herpes Zoster adalah:

Ubat melegakan kesakitan:

  1. Sapuan losyen Calamine untuk menyejukkan permukaan kulit

  2. Sapuan ubat Lidocaine

  3. Gabapentin untuk kesakitan ‘post-herpetic neuralgia’

Ubat anti-viral akan mengurangkan tempoh jangkitan serta mengurangkan kesan buruk yang dialami oleh pesakit. Namun begitu, ianya tidak dapat mengelakkan kesakitan urat saraf selepas jangkitan kayap (post-herpetic neuralgia).

Ubat kayap yang biasa digunakan adalah Acyclovir.

Komplikasi Jangkitan Herpes Zoster

Sering kali diperkatakan dalam kalangan masyarakat bahawa kayap ular membawa maut. Buat pengetahuan anda, penyakit ini boleh membawa maut apabila terdapat faktor-faktor lain yang turut meningkatkan risiko terhadap seseorang itu seperti terdapat jangkitan HIV atau AIDS.

Di dalam beberapa keadaan, ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami:

  1. Jangkitan paru-paru

  2. Masalah pendengaran

  3. Buta atau gangguan penglihatan

  4. Radang pada sel-sel otak

  5. Lumpuh pada sebahagian otot muka

  6. Radang otot

  7. Gangguan urat saraf

Di dalam sesetengah pesakit, mereka akan mengalami masalah yang dipanggil “post-herpetic neuralgia” yang dari segi bahasanya dikenali sebagai sakit urat saraf selepas jangkitan herpes. Pesakit akan mengalami kesakitan pada bahagian yang pernah dijangkiti kayap walaupun penyakit Herpes Zoster sudah tiada. Jika keadaan ini berlaku, rawatannya seringkali memerlukan lebih dari satu ubat tahan sakit untuk memberi kelegaan kepada penghidapnya.

Jika jangkitan kayap merebak kepada bahaigan mata, ia dinamakan sebagai Zoster Ophthalmicus. Bahaya kayap adalah apabila virus ini kembali aktif semula pada bahagian urat saraf trigeminal yang menghala ke mata melalui urat “ophthalmic”. Kulit pada bahagian dahi, kelopak mata dan orbit (tisu-tisu sekeliling biji mata) mungkin terlibat. Kesannya, mata menjadi merah dan gejala-gejala seperti konjunktivitis, keratitis, uveitis dan keradangan urat mata mungkin terjadi. Lama-kelamaan, radang mata akan berpanjangan, hilang penglihatan serta kesakitan mata berpanjangan boleh berlaku

Jika anda mempunyai sebarang persoalan tentang perkara-perkara yang telah dibincangkan, hubungi doktor-doktor kami secara atas talian pada pautan www.DoctorOnCall.com.my sekarang!

Written by: Mohd Ramzdhan Bin Mohd Masdar

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?