Hipotensi

Penyebab, Gejala, Diagnosis, Rawatan Dan Ubat Penyakit Hipotensi

Baca Soalan

Apakah Gejala Hipotensi

Maksud Hipotensi (hypotension) ialah keadaan ketika bacaan tekanan darah rendah dari bacaan normal. Tekanan darah adalah tekanan kepada pembuluh darah apabila jantung mengepam darah. Tekanan ini sangat penting untuk badan mengedarkan darah dari jantung ke seluruh badan.

Sekiranya terlalu rendah iaitu pada tahap bahaya, ini bermakna jantung tidak mampu mengepam darah ke seluruh badan, dan ini amat berbahaya kepada organ dalam badan seperti jantung dan otak. Kekurangan darah bermakna organ tidak mendapat oksigen, dan ini boleh menyebabkan organ gagal berfungsi. Oleh itu, badan manusia akan mengekalkan julat bacaan tertentu untuk mengelakkan hal ini terjadi.

Terdapat dua bacaan yang penting dalam tekanan darah, iaitu bacaan sistolik (systolic) dan diastolik (diastolic). Bacaan sistolik ialah tekanan apabila jantung mengepam darah dan diastolik ialah tekanan ketika jantung berehat. Tekanan sistolik adalah lebih tinggi dari diastolik dan diukur dalam unit mmHg. Sebagai contoh, tekanan darah normal ialah bawah 120/80 mmHg. Tekanan darah boleh diukur menggunakan mesin pengukur tekanan darah automatik ataupun secara manual menggunakan steteskop doktor. Namun penggunaan mesin secara automatik lebih digalakkan kerana ia lebih tepat. 

Berapakah Julat Tekanan Darah Rendah dan Diagnosis

Dalam konteks klinikal, bacaan tekanan yang normal adalah bawah 120/80 mmHg. Namun jika ia mencecah 90/60mmHg, keadaan ini boleh dikenali sebagai hipotensi. Secara amnya bacaan tekanan darah rendah, normal dan tinggi;

  • Hipotensi - tekanan darah bawah 90/60mmHg

  • Normal - tekanan darah bawah 120/80mmHg

  • Hipertensi - tekanan darah melebihi 130/90mmHg

Namun harus diingatkan berapa bacaan tekanan darah rendah berbeza dari individu ke individu lain, bergantung kepada umur, jantina, dan simptom. Sekiranya seseorang mengalami simptom dan tanda-tanda hipotensi, tetapi tekanan darah beliau tidak bawah 90/60 mmHg, dia masih boleh dikatakan menghidap hipontensi.

Oleh itu, amat penting untuk pesakit berjumpa dengan doktor terlebih dahulu sebelum membuat andaian sendiri berdasarkan bacaan yang diambil sendiri di rumah. Apa yang doktor biasa lakukan sebelum membuatDiagnosis ialah dengan mengambil kira maklumat pesakit melalui temu bual dan hasil pemeriksaan.

Mesin pengukur tekanan darah yang dipasang selama 24 jam dan mengambil bacaan secara konsisten sepanjang tempoh itu adalah alat utama untuk mengesan tekanan darah rendah.

Apakah Punca Hipotensi

Terdapat banyak punca atau penyebab tekanan darah rendah, dan setiap punca perlu diselidik dengan lebih lanjut. Antara puncanya ialah;

  • kehilangan darah, seperti pendarahan, anaemia dan dehidrasi pada tahap parah,

  • penyakit jantung, seperti jantung lemah dan kegagalan jantung (heart failure)

  • penyakit sistem saraf, seperti “multiple system atrophy”dan“autonomic neuropathy”.

  • kesan sampingan ubat seperti bisoprolol dan captopril yang digunakan untuk merawat hipertensi,

  • Penyakit organ kelenjar seperti “Addison's disease”, iaitu penyakit organ kelenjar (adrenal)

  • Jangkitan kuman yang parah, yang menyebabkan “septic shock”

Terdapat juga satu keadaan yang dipanggil orthostatic hypotension, di mana serangan hipotensi kronik berlaku apabila terdapat kejatuhan tekanan darah sistolik sebanyak 20mmHg dan diastolik sebanyak 10mmHg apabila pesakit bangun dari keadaan baring. Terdapat dua jenis keadaan ini iaitu, primary orthostatic hypotension dan secondary orthostatic hypotension bergantung kepada penyebab. Jenis ini adalah yang paling banyak diadukan di klinik dan hospital, berbanding jenis hipotensi lain.

Penyebab “orthostatic hypotension”juga boleh disebabkan oleh penyebab di atas, namun ia perlu dibezakan dengan “neurally mediated hypotension”, iaitu disebabkan oleh masalah saraf.

Petanda Hipotensi

Hipotensi boleh berlaku tanpa dikesan oleh doktor, kerana kebanyakan pesakit tidak mengalami simptom atau petanda hipotensi. Kebanyakan pesakit ini dikesan apabila mereka melakukan ujian saringan di klinik. Jika seseorang mempunyai tekanan darah yang rendah tetapi tidak mengalami simptom, tiada rawatan khusus yang perlu dilakukan selain daripada nasihat gaya hidup.

Antara simptom atau petanda hipotensi ialah;

  • Pening dan terasa kepala ringan, atau berpinar-pinar

  • Pengsan

  • Penglihatan kabur

  • Loya

  • Penat

  • Tidak boleh fokus

  • Tanda-tanda air tidak cukup seperti bibir kering

Jika seseorang itu mempunyai tekanan darah yang terlalu rendah, sehinggakan mencapai satu keadaan yang dipanggil “shock”, simptom di bawah boleh dialami;

  • Kekeliruan terlampau

  • Sejuk dan kulit pucat

  • Bernafas dengan cepat

  • Nadi lemah

Selain dari simptom dan petanda di atas, mungkin terdapat lagi petanda lain yang mungkin menjadi penunjuk kepada penyakit yang menyebabkan rendah tekanan darah tinggi, seperti simptom sakit jantung, simptom sakit saraf, simptom sakit kelenjar dan berbagai lagi. Doktor akan melakukan pelbagai lagi pemeriksaan dan ujian untuk mengenal pasti punca rendah tekanan darah atau hipotensi. Antara pemeriksaan dan ujian yang dilakukan ialah;

  • ECG

  • Ujian tekanan darah BP monitoring

  • Ujian darah

  • “Tilt table test”

  • “Valsalva maneuver”

  • “Stress test”

  • Ujian imej echo

Rawatan Gejala Hipotensi dan Jenis Makanan Yang Boleh Meningkatkan Tekanan Darah

Rawatan dan cara mengubati tekanan darah rendah bergantung kepada penyebabnya. Adalah sangat penting untuk merawat punca hipotensi, berbanding merawat hipotensi. Namun sekiranya punca tekanan darah tidak boleh dikesan, pesakit boleh mengelakkan serangan hipotensi dengan pengubahan cara hidup dan diet.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan tekanan darah yang lebih rendah dan simptomnya ialah:

  • Memastikan air mencukupi di dalam badan untuk mengelakkan dehidrasi

  • Lebihkan garam dalam makanan, serta makanan untuk hipotensi seperti hati, asparagus dan kacang serta makanan dalam tin.

  • Sentiasa memastikan bacaan tekanan darah setiap hari

  • Bangun secara perlahan dan berhati-hati selepas baring

  • Merawat penyakit sedia ada seperti sakit jantung

  • Memakai tag yang mempunyai maklumat kesihatan pada diri sendiri.

Sekiranya langkah-langkah di atas tidak berkesan, ubatan seperti Fludrocortisone dan Midodrine boleh diberikan atas nasihat doktor.

Komplikasi hipotensi

Bahaya tekanan darah rendah adalah;

  • Jatuh pengsan - bagi orang yang lebih berumur, ini sangat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan keretakan tulang seperti tulang pinggul dan tulang tangan. Ini boleh menyebabkan mereka ditahan di hospital, dan di hospital terdapat lebih banyak risiko seperti jangkitan kuman.

  • Hilang kesedaran- ini sangat berbahaya terutamanya ketika memandu

  • Bergantung pada penyebab, jika sakit jantung menyebabkan tekanan darah rendah, ini boleh menyebabkan organ lain tidak mendapat darah yang cukup, lalu boleh menyebabkan organ gagal berfungsi

  • Simptom rendah tekanan darah tinggi boleh mengganggu mutu kehidupan seseorang.

Oleh itu, jika anda mengalami atau mengenali sesiapa yang mempunyai simptom atau petanda gejala hipotensi atau tekanan darah rendah, sila berjumpa doktor untuk mendapatkan pandangan dan nasihat doktor. Ini sangat penting untuk mengesan penyebab rendah tekanan darah dengan awal dan tepat. Sekiranya penyebabnya ialah sesuatu yang membahayakan, langkah rawatan awal dapat dilakukan untuk meningkatkan kualiti hidup seseorang.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?