Kesan Buruk Jerebu Terhadap Kesihatan Manusia
Jika di negara lain mempunyai 4 musim, iaitu musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk, Malaysia pula mempunyai tiga musim iaitu musim panas, musim hujan dan musim jerebu. Musim jerebu biasanya akan melanda Malaysia pada bulan Ogos atau September akibat pembakaran haram tapak pertanian di Indonesia. Aktiviti pembakaran ini telah mendatangkan banyak masalah kesihatan kepada rakyat Malaysia kerana partikel-partikel yang terdapat dalam asap jerebu ini amat berbahaya. Sebagai bukti, statistik telah menunjukan bahawa bilangan pesakit luar dan pesakit yang perlu dimasukkan ke wad telah meningkat dengan mendadak pada musim jerebu ini. Oleh itu, kita seharusnya memahami implikasi atau kesan buruk asap jerebu ini sebagai seorang rakyat Malaysia supaya tindakan pencegahan boleh diambil.
Asap jerebu mengandungi Particulate Matter (PM) yang dikategorikan sebagai salah satu pencemar udara oleh World Health Organization (WHO). Walaupun jerebu ini tidak berterusan sepanjang tahun di Malaysia, ianya masih akan mendatangkan kesan negatif pada tempoh masa yang pendek ini. Musim jerebu merupakan khabar buruk kepada penghidap asma atau Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD) kerana serangan penyakit mereka akan menjadi lebih kerap atau teruk. Hal ini kerana partikel dalam asap jerebu akan mencetuskan alahan mereka dan saluran pernafasan akan menjadi tegang dan sempit, mengakibatkan gejala mengah dan susah bernafas. Lebih-lebih lagi, kekerapan serangan ini akan memudaratkan kesihatan sistem pernafasan pesakit ini dan menjadikan mereka tidak responsif terhadap rawatan semasa. Ianya dibuktikan dengan peningkatan kes asma sebanyak 3.5% berbanding dengan minggu lepas berdasarkan statistik yang dikemaskini oleh Kementerian Kesihatan.
Selain itu, partikel asap jerebu yang disedut akan mengaktifkan sistem imun individu yang sihat dan menyebabkan gejala batuk kering. Partikel tersebut mempunyai mekanisme untuk menipiskan lapisan mukus dalam saluran pernafasan dan mengakibatkan batuk kering yang berterusan. Siri batuk ini akan mencederakan lapisan kulit saluran nafas seterusnya menggalakkan pembiakan kuman di kawasan tersebut. Akhirnya, jangkitan kuman akan berlaku dan ianya akan menjejaskan prestasi kerja dan aktiviti seharian seseorang.
Penghidap ekzema atau Allergic Rhinitis terutamanya golongan kanak-kanak amat menderita dalam tempoh masa ini. Penyakit ini adalah penyakit yang melibatkan reaksi alahan badan pesakit. Dengan konsep ini, asap jerebu ini mengandungi pelbagai allergen (pencetus alahan) yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ianya meresap ke dalam udara yang kita sedut. Sekiranya kanak-kanak yang tdak menggunakan topeng muka semasa menjalani aktiviti luaran, reaksi alahan ini akan menjadi lebih buruk dan mereka akan mengalami gejala yang lebih serius. Oleh itu, penghidap ekzema atau Allergic rhinitis sepatutnya mengehadkan aktiviti luar dan membuat pencegahan yang sesuai untuk mengawal tahap keseriusan penyakit.
Mata juga merupakan organ yang akan terjejas pada musim jerebu ini. Partikel-partikel akan mengganggu mata kita, menjadikan mata berair dan akhirnya konjunktivitis akan berlaku. Kes konjunktivitis telah meningkat sebanyak 51.4% berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan. Selain itu, suhu akan meningkat pada musim ini dan ianya akan menyebabkan kekurangan air dalam badan kita jika pengambilan air seharian tidak mencukupi. Dehidrasi ini turut menyebabkan sakit kepala kerana tekanan darah tidak mencukupi untuk menyalurkan oksigen ke otak kita.
Secara keseluruhan, penyakit akibat kesan jerebu telah meningkat sebanyak 40% tahun ini dan negara kita telah menjadi juara bagi kedudukan negara yang paling tercemar di dunia. Ringkasnya, komplikasi-komplikasi jerebu amat membinasakan dan boleh memudaratkan kesihatan seseorang, terutamanya pesakit yang mempunyai penyakit yang kronik. Dengan pengetahuan ini, kita perlu berwaspada terhadap komplikasi tersebut dan mengambil tindakan untuk mengelakkan komplikasi berlaku pada orang yang disayangi dan diri sendiri.