Tanda-tanda awal strok
Strok merupakan salah satu masalah yang paling banyak menyebabkan kehilangan upaya dalam kalangan penghidapnya. Sebahagian pesakit berpotensi untuk pulih bergantung pada jenis strok yang dihadapi. Namun begitu, terdapat sebahagian besar pesakit yang kekal lumpuh. Gejala stroke usia muda tidak bermakna seseorang itu akan sembuh dengan lebih cepat, begitu juga sekiranya ia berlaku pada usia yang lanjut.
Salah satu faktor yang meningkatkan kebarangkalian seorang pesakit untuk pulih dari serangan penyakit ini adalah dengan memastikan pesakit mendapat rawatan dengan segera.
Oleh itu, dengan mengetahui tanda-tanda awal serangan penyakit ini, dapat membantu menyelamatkan banyak nyawa.
Gejala awal strok ini selalunya berlaku kepada pesakit secara tiba-tiba dan dikenali sebagai FAST iaitu:
F = Face (Muka)
Kedua-dua belah muka tidak sekata.
Pesakit boleh merasa kebas pada sebahagian muka, atau herot sebelah.
A = Arm (Lengan)
Sebelah lengan menjadi lemah atau tidak boleh diangkat.
Tangan pesakit menjadi lemah hingga tidak boleh diangkat atau tidak berdaya memegang sesuatu objek.
S = Speech (Percakapan)
Perkataan yang tidak jelas
Pesakit mungkin tidak boleh berkata-kata, tidak memahami percakapan, mengeluarkan ayat yang tidak tersusun atau ayat yang tidak mempunyai maksud.
T = Time (Masa)
Hubungi talian kecemasan atau datang ke hospital dengan segera
Maklumat mengenai FAST telah tersebar ke seluruh dunia bertujuan untuk memastikan semua golongan masyarakat sedar tentang simptom-simptom awal strok dan bertindak dengan segera.
Jenis-jenis strok mengikut kawasan yang terlibat
Setiap pesakit yang diserang strok akan mengalami simptom yang berlainan. Hal ini adalah kerana ia bergantung kepada kawasan yang terlibat dengan salur darah yang terganggu sama ada akibat darah beku atau pendarahan yang dikenali sebagai jenis stroke hemoragik. Berikut adalah pembahagian jenis strok mengikut kawasan otak.
Bamford Classification atau Oxford Stroke Classification digunakan dalam perubatan untuk membahagikan jenis serangan penyakit ini. Terdapat 4 jenis strok menurut klasifikasi tersebut iaitu:
Total Anterior Circulation Stroke
Salur darah yang terlibat adalah: (Middle Cerebral Artery) dan (Anterior Cerebral Artery)
Ia berlaku apabila pembuluh darah yang berada pada bahagian hadapan dan tengah otak tersumbat. Bagi stroke jenis ini, keseluruhan pembuluh darah yang berada pada bahagian hadapan (Anterior) terputus bekalan darah, menyebabkan keseluruhan bahagian hadapan otak tidak dapat berfungsi. Diagnosis ini dibuat sekiranya pesakit mempamerkan kesemua simptom strok dibawah:
Lemah atau hilang deria rasa pada sebelah bahagian badan atau kedua-duanya
Homonymous Hemianopia - hilang sebahagian kawasan penglihatan
Higher cerebral dysfunction - hilang fungsi otak yang mengawal kebolehan aras tinggi. Pesakit mungkin mengalami masalah sukar mengeluarkan ayat untuk bercakap atau sukar memahami ayat yang diperkatakan oleh orang lain. Selain itu pesakit juga mungkin menghadapi masalah dengan penglihatan, dimana pesakit sukar mentafsirkan objek yang dilihatnya.
Partial Anterior Circulation Syndrome
Salur darah terlibat: Middle Cerebral Artery dan Anterior Cerebral Artery.
Serangan ini melibatkan pembuluh darah yang sama dengan jenis pertama. Namun begitu bahagian yang terlibat tidak terlalu besar. Diagnosis ini pula dibuat sekiranya pesakit mengalami 2 dari ketiga-tiga simptom yang terdapat dalam strok jenis pertama.
Posterior Circulation Syndrome
Salur darah terlibat: Posterior Cerebral Artery
Strok jenis ini selalunya melibatkan kawasan belakang otak yang mengawal penglihatan dan imbangan badan iaitu bahagian cerebellum, brainstem dan occipital. Diagnosis bagi masalah jenis ini pula adalah sekiranya pesakit mempunyai satu daripada simptom yang berkaitan.
Simptom yang boleh dialami oleh penghidap stroke jenis ini adalah yang berkaitan dengan fungsi cerebellum dan brainstem. Gangguan penglihatan yang biasa terjadi kepada pesakit adalah homonymous hemianopia tanpa sebarang gejala kerosakan neurologi yang lain. Pesakit juga boleh tidak sedarkan diri akibat masalah ini.
Lacunar Syndrome
Salur darah terlibat: Salur darah kecil yang berada pada kawasan dalam otak.
Seseorang itu akan mendapat diagnosis Lacunar Stroke sekiranya mereka mengalami salah satu daripada simptom berikut:
Lemah sebahagian badan pada kaki, tangan, muka atau ketiga-tiganya sekali
Hanya hilang deria rasa
Ataxic Hemiparesis
Simptom-simptom yang terlibat
Secara amnya, berikut merupakan tanda dan gejala stroke yang boleh dihadapi oleh seseorang yang diserang masalah ini iaitu:
Simptom bertumpu (focal symptom)
Motor (pergerakan)
Lemah atau cemerkap pada sebelah bahagian badan, atau badan tidak seimbang apabila berdiri
Percakapan dan bahasa
Dysphasia – tidak mampu berkata-kata atau masalah di dalam memahami percakapan orang lain
Dyslexia – sukar mengenali perkataan, huruf atau simbol
Dysgraphia – tidak boleh menulis dengan betul
Dyscalculia – tidak boleh mengira
Dystextia– tidak boleh menulis mesej melalui peranti elektronik dengan betul
Dysarthria – percakapan tidak jelas
Deria
Hilang deria rasa pada sebelah bahagian badan
Penglihatan
TMB (Transient Monocular Blindness) – pandangan kabur atau gelap tiba-tiba buat seketika pada sebelah mata sahaja
Hemianopia – hilang separuh bahagian penglihatan pada biji mata yang sama
Bilateral blindness – buta kedua-dua belah mata
Diplopia – pandangan berbalau
Vestibular
Vertigo – dunia terasa berpusing, sukar untuk berdiri tegak
Behavourial/Cognitif
Visuospatial dysfunction – merasa keliru, tidak dapat menafsirkan keadaan sekeliling
Simptom am (non-focal)
Lemah seluruh badan atau gangguan deria
Pitam
Tidak dapat mengawal pembuangan air kecil dan air besar
Kekeliruan
Telinga berdengung
Pengsan/Pitam
Seseorang yang terkena serangan ini akan melalui pemeriksaan lengkap untuk mengetahui kesannya terhadap keupayaan pesakit tersebut. Pemeriksaan ini selalunya bertumpu kepada pemeriksaan neurologi bagi mengesan kawasan otak yang terlibat selain menggunakan teknik pengimejan. Simptom-simptom serangan penyakit ini selalunya berlanjutan lebih daripada 24 jam dan boleh berlaku dalam jenis strok ischemic atau jenis strok hemoragik.
Selain itu, terdapat keadaan yang dipanggil ‘Transient Ischemic Attack (TIA)’, di mana pesakit mendapat simptom seperti strok tetapi dalam tempoh masa kurang daripada 24 jam dan selalunya kurang daripada 1 jam. Pesakit yang telah diserang TIA lebih berisiko untuk mendapat serangan penyakit strok pada masa akan datang. Oleh itu, keadaan ini perlu dikenal pasti dengan lebih awal supaya rawatan dan langkah-langkah pencegahan dapat diberikan untuk mengurangkan risiko terjadinya strok.
Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran
Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)
18 Aug 2018