Hepatitis B

Rawatan Jangkitan Hepatitis B

Baca Soalan

Pengenalan

Hepatitis B adalah jangkitan virus yang boleh menyebabkan masalah hati. Ia boleh disebarkan melalui hubungan kelamin dan sentuhan dengan cecair tubuh yang tercemar seperti cecair faraj,dan air mani. Ia juga boleh tersebar melalui pemindahan darah serta perkongsian jarum suntikan.

Rawatan Jangkitan Hepatitis B

Hepatitis B Akut

  • Hepatitis B akut adalah tempoh jangkitan yang kurang dari enam bulan. Rawatan hepatitis B biasanya adalah berdasarkan simptom. Mereka yang mempunyai hepatitis B akut tidak memerlukan rawatan.
  • Pesakit boleh sembuh dengan mendapatkan rehat yang cukup,banyakkan minum air serta mengamalkan pemakanan yang berkhasiat. Simptom sakit perut, boleh dirawat dengan ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen.
  • Ubat metoclopramide boleh digunanan untuk mengurangkan simptom loya dan muntah-muntah. Kebanyakan pesakit pulih sepenuhnya dalam beberapa bulan, tetapi pemeriksaan darah yang kerap adalah amat disarankan untuk memastikan status jangkitan Hepatitis B tersebut.

Hepatitis B Kronik

Jangkitan yang masih aktif selepas enam bulan adalah jangkitan hepatitis B kronik. Secara umumnya, tiada cara untuk menyembuhkan penyakit hepatitis B. Namun begitu, rawatan akan diberikan untuk mengurangkan risiko komplikasi hepatitis B. Pemeriksaan dan ujian juga akan dilakukan untuk mengesan kesan jangkitan pada organ hati.

Rawatan biasanya diberikan jika:

  • Sistem imun seseorang tidak dapat melawan jangkitan hepatitis B
  • Terdapat bukti kerosakan hati yang berterusan

Rawatan utama untuk hepatitis B kronik termasuklah:

(1) Peginterferon alfa-2a

Jika hati berfungsi dengan baik, rawatan pertama ialah ubat dipanggil peginterferon alfa 2a. Ia merangsang sistem imun untuk menyerang virus tersebut. Ia biasanya diberikan dengan suntikan sekali seminggu selama 48 minggu. Kesan sampingan yang biasa merangkumi gejala seperti selesema, seperti demam dan sakit otot dan sendi.

(2) Ubat antiviral

Jika hati tidak berfungsi dengan baik, atau peginterferon alpha-2a tidak sesuai atau tidak berfungsi untuk individu, doktor akan mengesyorkan untuk mencuba ubat antiviral. Rawatan ini boleh:

  • Melambatkan perkembangan sirosis
  • Mengurangkan insiden kanser hati
  • Meningkatkan daya tahan sistem imun dalam jangka panjang

Antaranya ialah tenofovir atau entecavir. Kedua-duanya diambil dalam bentuk tablet. Kesan sampingan ubat-ubatan ini termasuklah muntah dan pening.

(3) Pemindahan Hati

Jika kerosakan organ hati berada pada tahap yang serius, ini mungkin menjadi pilihan utama.


Written by: Dr Ilias Yee

MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?