Langkah Menambah Air Ketuban

Baca Soalan

Cecair amniotik atau air ketuban adalah sebahagian dari sistem sokongan bayi dalam kandungan. Namun, ramai ibu yang mengalami masalah kekurangan cairan amniotik, jadi bagaimana cara menambah air ketuban ini? 

Sebelum itu, ibu hamil perlu tahu apa pentingnya air ketuban ini. Ia adalah untuk membantu pembangunan otot, anggota badan, paru-paru dan sistem pencernaan bayi.

Cecair amniotik terhasil sejurus terbentuknya kantung amniotik, kira-kira 12 hari selepas anda disahkan hamil. Ia terdiri daripada air yang ada dalam tubuh ibu, dan pada 20 minggu kehamilan air kencing janin menjadi bahan utama. 

Cara menambah air ketuban – Apa itu Oligohydramnios

Apabila bayi berkembang, mereka akan dapat bergerak dengan bantuan cecair amniotik ini. Kemudian, pada trimester kedua, bayi mula bernafas dan menelan cairan amniotik. 

Sebab itu semasa melakukan scan, doktor akan periksa jumlah cairan amniotik sama ada rendah atau tinggi. Sekiranya rendah, ia dipanggil oligohydramnios dan jika terlalu tinggi, ia dinamakan sebagai polyhydramnios.

Hari ini, kami di akan sentuh bab cara menambah air ketuban yang kurang kerana ia boleh membawa risiko pada janin dan kandungan. 

Oligohydramnios adalah keadaan di mana cecair amniotik sedikit. Doktor boleh mengukur jumlah cecair dengan beberapa kaedah. Yang paling biasa adalah melalui penilaian cairan amniotik(AFI)

Jika AFI menunjukkan cecair kurang 5 cm atau jumlahnya kurang 500ml pada usia 35 hingga 36 minggu, doktor akan mengesyaki ibu mengalami oligohydramnios

Kira-kira 8% wanita hamil boleh mengalami keadaan rendah cairan amniotik dengan 4% didiagnosis dengan oligohydramnios. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa tapi biasanya pada trimester terakhir. 

Punca mengapa air ketuban kurang 

  • Kecacatan kelahiran: Masalah dengan perkembangan buah pinggang atau saluran kencing yang boleh mengakibatkan pengeluaran air kencing yang sedikit lalu menjadi punca cairan amniotik rendah. 
  • Masalah plasenta: Jika plasenta tidak memberi darah dan nutrien yang mencukupi kepada bayi, maka ia boleh menghentikan cecair untuk kitar semula.
  • Bocor atau membran pecah: Pemecahan membran pramatang boleh menyebabkan tahap cecair amniotik rendah.
  • Kehamilan lebih 42 minggu: Disebabkan penurunan fungsi plasenta.
  • Komplikasi ketika hamil: Ibu mungkin dehidrasi, hipertensi, praeklampsia, diabetes dan hypoxia kronik yang boleh memberi kesan pada cairan amniotik. 

Apa risikonya jika air ketuban kurang?

Jika dikesan pada fasa pertama kehamilan, komplikasi boleh jadi lebih serius seperti:

  • Mampatan organ janin yang mengakibatkan kecacatan kelahiran
  • Keguguran
  • Kematian semasa dalam kandungan atau ketika dilahirkan 

Jika dikesan pada fasa kedua kehamilan, komplikasi boleh jadi:

  • Sekatan pertumbuhan Intrauterin (IUGR)
  • Kelahiran pramatang
  • Komplikasi ketika bersalin seperti terbelit tali pusat atau masalah lain hingga ibu perlu bersalin secara pembedahan czer.

7 cara menambah air ketuban – Ibu hamil wajib tahu!

Tahap cairan amniotik yang rendah boleh menjejaskan tangan, kaki, paru-paru dan anggota badan si kecil. Malah ia juga boleh mengecutkan wajah anak anda!

Di sini ada 7 cara menambah air ketuban semasa mengandung: 

#1. Suntikan cecair amniotik 

Doktor akan suntik cecair amniotik yang bocor kembali ke dalam kantung amniotik dengan jarum. Ini dapat bantu meningkatkan cecair amniotik dalam rahim.

#2. Dapatkan cairan secara intravena 

Sesetengah wanita hamil dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan bendalir intravena tambahan jika cara rehidrasi semula jadi (seperti minum banyak air) tak dapat membantu meningkatkan jumlah cecair amniotik. 

#3. Minum banyak air kosong 

Ini adalah salah satu cara mudah bagi meningkatkan indeks bendalir amniotik. Jika anda meningkatkan tahap air dalam badan, maka sekaligus cecair amniotik juga turut bertambah. 

#4. Ambil makanan yang tinggi kandungan air 

Makanan yang mempunyai kandungan air tinggi harus ada dalam plan diet anda setiap hari seperti: 

  • Sayur-sayuran: Timun, salad, bayam, lobak, brokoli, kobis bunga 
  • Buah-buahan: strawberi, tembikai, tomato, tembikai susu, limau bali merah 

#5. Jangan ambil minuman beralkohol 

Anda harus elak mengambil sebarang minuman jenis alkohol semasa hamil kerana ia tidak baik untuk kesihatan janin. 

Alkohol juga menyebabkan dehidrasi dalam badan, sekaligus menurunkan kadar cecair amniotik. 

#6. Elakkan makanan tambahan atau suplemen herba tertentu 

Ya, jangan ambil makanan tambahan herba tertentu yang boleh menghilangkan air dalam tubuh. 

Hal ini kerana, makanan tambahan tersebut berfungsi membuatkan anda buang air kecil lebih kerap jadi anda akan mengalami dehidrasi. 

Oleh itu, sangat penting untuk sentiasa terhidrasi bagi meningkatkan cecair ambiotik dalam tubuh. 

#7. Lakukan senaman ringan 

Dengan senaman dapat membantu meningkatkan aliran darah di bahagian tubuh. Jika aliran darah meningkat pada plasenta dan uterus sekaligus cecair amniotik juga bertambah. 

Perhatian: Anda hanya boleh bersenam jika doktor membenarkannya. Jika tubuh anda lemah sepanjang hamil, lebih baik anda rehat saja di rumah. 

Semoga bermanfaat. 

Beribu penghargaan diucapkan kepada TheAsianParent.com atas kebenaran menyiarkan artikel yang penuh dengan maklumat bermanfaat buat ibu hamil ini.

Written by: TheAsianParent.com

Tickled Media

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?