Apakah Penyebab Penyakit Vaginitis Dan Cara Mengubati
Apakah itu penyakit vaginitis?
Vaginitis adalah keadaan dimana vagina atau faraj menjadi bengkak. Penyebab penyakit vaginitis yang paling kerap adalah jangkitan organisma seperti bakteria, kulat atau parasit. Selalunya masalah ini berlaku akibat ketidakseimbangan jumlah bakteria baik yang menghuni kawasan faraj. Selain itu, wanita yang telah menopaus juga mengalami masalah ini.
Jenis vaginitis
Berikut adalah penyebab penyakit vaginitis yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita.
Keadaan ini berlaku apabila lapisan mukosa faraj menjadi nipis akibat penurunan kadar estrogen selepas menopaus. Hal ini menyebabkan vagina lebih mudah mengalami iritasi dan membengkak.
Wanita yang telah menjalani pembedahan membuang kedua-dua ovari juga mudah mendapat masalah ini akibat penurunan kadar estrogen selepas pembedahan dilakukan.
Atrophic Vaginitis
Kawasan vagina adalah kawasan yang biasa didiami oleh bakteria bernama lactobacillus dan ini adalah normal. Perbuatan seperti kerap mencuci vagina dengan sabun atau wangian atau dikenali sebagai (Douching) menyebabkan populasi bakteria lactobacillus berkurang dan memberikan peluang kepada organisma lain untuk membiak pada kawasan itu.
Bakteria Vaginosis (Bacterial vaginosis)
Jangkitan kulat yang sering menyerang faraj wanita adalah yang disebabkan oleh Candida Albicans. Ia juga dikenali sebagai jangkitan yis.
Vaginal Candidiasis
Jangkitan ini adalah disebabkan oleh parasite bernama trichomonas vaginalis.
Trichomoniasis
Vaginitis juga boleh berlaku akibat jangkitan organisma lain seperti gonorrhoea, chalmydia, mycoplasma, herpes, compylobacter, parasit
Kurang menjaga kebersihan juga boleh menyebabkan masalah ini. Cara membersihkan kemaluan yang salah seperti mengelap dari arah dubur ke faraj menyebabkan berpindahnya bakteria seperti bakteria streptococcus.
Bengkak boleh berlaku melibatkan kawasan vulva dipanggil penyakit vulvovaginitis dan pencegahannya adalah seperti pencegahan vaginitis yang akan dibincangkan pada bahagian seterusnya. Masalah ini sering dihadapi wanita sebelum akil baligh, oleh itu kanak-kanak perempuan haruslah diajar untuk menjaga kebersihan kawasan faraj dengan betul seperti mencuci tangan sebelum dan selepas ke tandas. Ini adalah kerana kanak-kanak mempunyai vagina yang lebih dekat dengan dubur, paras estrogen masih rendah, bulu pubis belum tumbuh, dan kurang lapisan lemak pada labia menyebabkan mereka mudah mendapat jangkitan ini.
Gejala vaginitis
Simptom yang biasa didapati oleh pesakit adalah:
Gatal
Keluar cecair dari faraj
Secara normalnya, ia adalah kawasan yang diselaputi mukosa dan cairan yang biasa keluar darinya adalah jernih atau putih dan tidak berbau. Sekiranya terdapat cairan yang abnormal seperti kekuningan, kehijauan, kelabu atau berbuih, ia mungkin merupakan tanda jangkitan
Rasa pedih pada faraj
Bengkak dan merah pada kawasan labia minora dan labia majora serta boleh merebak hingga ke kawasan perianal
Sakit ketika membuang air kecil (Dysuria)
Sakit ketika melakukan hubungan seksual iaitu ketika penetrasi vagina (Dysparunia)
Faraj berbau kurang menyenangkan seperti hanyir
Keluar titisan darah atau dipanggil (Spotting)
Berikut adalah simtom yang spesifik bagi setiap jenis jangkitan vaginitis:
(Bacterial Vaginosis) – keluar cecair berwarna putih-kelabu dan berbau hanyir. Bau ini menjadi semakin kuat selepas melakukan hubungan seksual
(Vaginal Candidiasis) atau (Yeast infection) – Simptom yang biasa berlaku adalah kegatalan pada bahagian kemaluan. Namun penghidap jangkitan ini boleh mendapat simptom keluar cecair berwarna putih pekat dan berketul yang lebih dikenali sebagai ‘Cottage cheese discharge’.
(Trichomoniasis) – jangkitan parasit ini selalunya mengakibatkan keluarnya cairan berwarna kehijauan atau berbuih dari faraj.
Cara mencegah penyakit vaginitis
Sebelum mengetahui cara pencegahan masalah ini, mari kita lihat siapakah yang berisiko untuk menghidapnya:
Wanita yang mengalami perubahan hormon akibat mengandung, pengambilan pil perancang kehamilan, menopause atau pembedahan membuang ovari.
Melakukan hubungan seksual
Menghidap penyakit kelamin
Mengambil ubat seperti antibiotik dan steroid
Menggunakan ubat pencegah kehamilan yang membunuh sperma
Menghidap penyakit diabetes yang tidak terkawal
Menggunakan produk pembersih seperti mandian buih, semburan dan pewangi faraj
Penggunaan semburan ke dalam faraj (Douching)
Memakai pakaian dalam yang lembap atau terlalu ketat
Menggunakan alat pencegah kehamilan yang dipasang di dalam rahim (Intra Uterine Device -IUD)
Cara – cara mencegah penyakit vaginitis adalah:
Menjaga kebersihan kawasan faraj adalah penting, namun begitu mencuci dengan sabun atau menggunakan wangian atau semburan seperti (Douching) adalah tidak digalakkan.
Perlakuan tersebut hanya akan menyebabkan ketidakseimbangan PH pada kawasan tersebut sekaligus menyebabkan populasi bakteria baik berkurangan pada kawasan ini. Sekiranya anda ingin mencucinya dengan sabun, gunakan sabun yang tidak terlalu kuat dan tanpa pewangi.
Anda disarankan untuk memakai pakaian yang longgar dan pakaian dalam yang diperbuat daripada kain kapas. Pakaian dari kain jenis nilon atau kain jeans yang ketat boleh menyebabkan jangkitan yis.
Lap kawasan faraj dari arah hadapan ke belakang untuk mengelakkan berlakunya pemindahan bakteria daripada dubur.
Penggunaan kondom adalah disarankan sebagai kaedah merancang kehamilan serta dapat mengelakkan jangkitan penyakit pada kelamin
Dapatkan nasihat daripada doktor sekiranya anda mengambil ubat seperti steroid. Ambil ubat antibiotik hanya apabila benar-benar perlu sahaja
Wanita berusia 25 tahun ke atas disarankan untuk menjalani ujian pap smear setiap 2 tahun
Makanan seperti yogurt atau minuman yang mengandungi kultur hidup juga boleh membantu di dalam mengurangkan risiko jangkitan
Rawatan gejala vaginitis
Rawatan bagi gejala ini adalah bergantung kepada puncanya. Sesetengah masyarakat memanggilnya dengan cara mengubati infeksi jamur atau ubat radang miss v. Pelbagai jenis antibiotik untuk membunuh bakteria atau parasit penyebab jangkitan boleh digunakan. Pada kebiasaannya, masalah ini tidak memerlukan seseorang pesakit itu dimasukkan ke dalam wad untuk menerima rawatan. Sekiranya vaginitis bukan disebabkan oleh jangkitan seperti masalah kekurangan hormon estrogen, supplemen hormon tersebut boleh membantu di dalam menyelesaikan masalah ini.
Seseorang pesakit yang berkunjung untuk mendapatkan rawatan bagi masalah ini haruslah bersedia untuk memberikan maklumat yang lengkap kepada doktor bagi memastikan diagnosis dapat dibuat dengan tepat. Maklumat mengenai aktiviti seksual biasanya akan ditanya, begitu juga dengan simptom yang berkaitan. Kenal pasti jenis cairan, warna dan bau yang keluar daripada faraj sekiranya ada kerana hal ini akan memudahkan doktor untuk mengenal pasti jangkitan dan memberikan rawatan.
Elakkan daripada mencuci atau menggunakan semburan wangian sebelum hadir untuk pemeriksaan kerana perbuatan ini akan menjadikan keputusan ujian tidak tepat. Sesetengah doktor akan meminta supaya anda untuk tidak melakukan sebarang hubungan seksual sebelum menjalani pemeriksaan bagi memastikan punca masalah yang dihadapi dapat dikenal pasti dengan tepat dan diberikan rawatan yang sesuai. Anda juga mungkin akan diminta untuk tidak melakukan sebarang aktiviti seksual sehingga diagnosis telah dibuat dan rawatan telah selesai.
Selain ubat-ubatan, pengambilan makanan yang mengandungi probiotik atau prebiotik adalah disarankan kerana ia boleh membantu dalam merawat masalah ini. Sebaliknya, makanan-makanan yang diproses seperti roti putih dan produk sejuk beku seperti nuget, serta minuman beralkohol haruslah dijauhi.
Bagi wanita yang mengandung atau yang kerap mendapat masalah ini, mereka haruslah menjalani pemeriksaan semula selepas sebulan rawatan tamat. Bagi sesetengah jangkitan seperti trichomoniasis, rawatan bagi pasangan turut disarankan.
Pesakit yang terlalu kerap mendapat masalah vaginitis berkemungkinan menghidapi jangkitan yang lebih serius atau menghidap diabetes yang masih belum dikesan. Oleh itu, ujian HIV dan (Oral Glucose Tolerance Test) haruslah dijalankan bagi mengenal pasti kedua-dua kemungkinan ini. Rawatan bagi kedua-duanya haruslah dimulakan atau dirujuk kepada doktor yang berkenaan selepas diagnosis dibuat.