Apakah rawatan bagi jangkitan gonore?
- Terdapat beberapa cara mengubati penyakit gonore. Gonore biasanya dirawat dengan dos antibiotik untuk jangka masa yang pendek.
- Antibiotik untuk gonore biasanya disyorkan:
Jika ujian air kencing dan sampel cecair dari bahagian sulit, tekak dan lubang dubur telah menunjukkan bahawa anda mempunyai jangkitan gonore.
Ada kemungkinan besar anda mempunyai jangkitan gonore walaupun keputusan ujian anda belum kembali
Pasangan anda telah didiagnosis dengan gonorea
- Dalam kebanyakan kes, rawatan melibatkan suntikan antibiotik (biasanya di bahagian punggung atau paha) diikuti oleh 1 tablet antibiotik.
- Ubat yang biasa diberi kepada ramai pesakit adalah seperti contoh yang dinyatakan di bawah:
- Ceftriaxone 500 mg (satu dos) diberi secara suntikan dan Azithromycin 1g diberi sekali sebagai ubat makan.
- Kebiasaanya, simptom gonore dalam kalangan wanita seperti lendir yang nipis dan bewarna kuning kehijauan yang keluar dari bahagian faraj akan bertambah baik dalam jangka masa yang pendek.
- Namun, terdapat juga golongan yang mengambil masa 2 minggu untuk kesakitan pada bahagian pelvis atau buah zakar reda sepenuhnya. Pendarahan di antara tempoh menstruasi akan bertambah baik.
- Para pesakit dinasihatkan untuk mengikuti temujanji susulan dengan doktor seminggu atau dua minggu selepas menerima rawatan untuk mengesan sama ada jangkitan tersebut telah sembuh sepenuhnya.
- Jikalau simptom tidak bertambah baik atau anda mendapat jangkitan semula, anda dinasihatkan untuk mendapat rawatan dan pemeriksaan selanjutnya.
- Tambahan pula, faktor pasangan seksual juga merupakan perkara yang penting dalam konteks mengubati jangkitan gonore. Gonore mudah merebak melalui hubungan seks intim.
- Jika anda dikenal pasti menghidap jangkitan gonore, sesiapa sahaja pasangan anda berhubungan intim harus menjalani pemeriksaan untuk mengetahui bahawa mereka juga berisiko dijangkiti.
- Seterusnya, jika mereka disahkan menghidap jangkitan gonore mereka harus menerima rawatan yang sewajarnya dan menghindari aktiviti seksual untuk seketika.
- Selain itu, isu seterusnya adalah sekiranya ibu yang hamil dijangkiti gonore. Golongan wanita yang diketahui menghidap gonore atau sebarang penyakit kelamin (STD) harus menjalani ujian kehamilan (Urine Pregnancy Test-UPT) dalam masa yang sama.
- Hal ini adalah amat penting sebagai panduan untuk para doktor memberi perhatian lanjut kepada kesihatan ibu hamil dan bayi dalam kandungan dan membolehkan rawatan dengan ubat yang diluluskan untuk mereka yang hamil.
- Untuk pengetahuan anda, merawat bayi yang menghidap gonore adalah penting supaya komplikasi semasa bayi lahir dapat dihindarkan.
- Bayi yang mempunyai tanda-tanda jangkitan gonore yang dikenal pasti pada saat lahir, atau yang mengalami peningkatan risiko jangkitan sekiranya ibunya mempunyai jangkitan gonore, biasanya diberikan antibiotik segera setelah mereka dilahirkan.
- Hal ini tidak membahayakan bayi, tetapi dapat membantu mencegah kebutaan dan komplikasi lain daripada jangkitan gonore.
Adakah gonore boleh sembuh sepenuhnya?
- Persoalan sama ada jangkitan gonore boleh dirawat sering menjadi kerisauan pesakit. Jawapannya adalah Ya. Jangkitan gonore boleh sembuh dengan rawatan yang sewajarnya.
- Sangatlah penting untuk seseorang pesakit mengambil semua ubat yang ditetapkan oleh doktor untuk mengubati jangkitan tersebut.
- Ubatan yang biasanya diberi adalah beberapa jenis antibiotik untuk kencing nanah.
- Ubat- ubatan untuk gonore tidak boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja. Anda juga perlu faham walaupun ubat-ubatan menghentikan jangkitan, ia tidak bermaksud komplikasi atau kerosakan kekal akibat jangkitan penyakit ini boleh dirawat.
- Sebagai contoh, jikalau seorang wanita mengalami jangkitan gonore yang merebak ke organ peranakan yang menyebabkan keradangan organ peranakan atau “pelvic inflammatory disease”, penyakit sebegini mempunyai rawatan sendiri dan ubatan untuk jangkitan gonore sahaja tidak mencukupi.
- Saban hari, gonore menjadi semakin sukar untuk dirawat kerana terdapat beberapa jenis gonore yang telah membina ketahanan terhadap antibiotik yang biasa digunakan untuk merawat.
- Sejak munculnya rintangan ubat “Fluoroquinolone” terhadap jangkitan gonore, antibiotik baru iaitu daripada keluarga “Cephalosporin” menjadi rawatan utama jangkitan gonore.
- Bagi mengatasi masalah rintangan ubat rawatan gonore, rawatan yang lebih meluas diperlukan. Rawatan antibiotik untuk 7 hari iaitu ubat makan atau dua jenis ubat antibiotik akan digunakan untuk 7 hari. Kadang-kala bergantung kepada keadaan pesakit, rawatan lanjut iaitu ubat makan antibiotik diambil dua kali sehari.
- Antibiotik yang lazimnya digunakan termasuk Azithromycin dan Doxycycline.
- Sekiranya gejala-gejala anda berterusan selama lebih dari beberapa hari selepas menerima rawatan, anda harus kembali berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan antibiotik jenis lain dan pemeriksaan yang lebih lanjut.
- Para saintis berusaha untuk membangunkan vaksin untuk mencegah jangkitan gonorea.
- Ramai yang pasti tertanya sama ada jangkitan gonore boleh dirawat di rumah atau ubatan boleh dibeli dari farmasi. Malangnya, tiada ubat-ubatan di rumah atau ubat-ubatan ‘over-the-counter’ yang akan merawat jangkitan gonore.
- Jika anda mengesyaki bahawa anda mempunyai jangkitan gonore, anda harus segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapat rawatan yang sewajarnya.
- Mencegah lebih baik dari merawat. Oleh yang demikian, cara yang paling selamat untuk mencegah jangkitan gonore atau STD lain adalah dengan menghindari aktiviti seksual buat seketika.
- Jika anda melakukan hubungan seks, gunakan kondom. Lebih-lebih lagi, anda haruslah lebih terbuka dengan pasangan seksual anda untuk mendapatkan ujian STD secara teratur dan mengetahui keputusan mereka sekiranya mereka sudah diuji.
- Jika pasangan anda menunjukkan tanda-tanda jangkitan, elakkan sebarang hubungan seks dengan mereka. Nasihatkan mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan.
- Anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan semula sekiranya anda pernah dijangkiti gonore atau jangkitan STD lain. T
- ambahan pula, anda juga berisiko tinggi jika anda mempunyai ramai pasangan seksual atau pasangan baru.
Written by: Dr Ilias Yee
MB BCh BAO (NUI), LRCPI, LRCSI, Fellow Open Medical Institute (Addiction), Fellow ASHM Leadership (Sexual Health & HIV Medicine)
18 Aug 2018