Mengapa Perokok Sering Batuk? Ketahui Punca, Gejala & Rawatannya

Batuk Perokok - Gejala, Punca & Ubat Batuk Perokok - DoctorOnCall

Jika anda tinggal atau sering bersama perokok, anda mungkin mendapati bahwa mereka kerap batuk atau kerap berdehem. Batuk sebenarnya merupakan cara fisiologi tubuh anda untuk membersihkan bahan-bahan kimia yang masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru. Oleh itu, para perokok yang sememangnya menyedut banyak asap dan bahan kimia berbahaya akan lebih kerap batuk kerana paru-paru mereka sedang cuba mengeluarkan kotoran-kotoran ini.  

Ketahui Gejala Batuk Perokok

Pada peringkat awal, gejala yang sering dialami oleh mereka yang menghidap batuk perokok adalah batuk kering. Lama-kelamaan, batuk mereka akan menjadi berkahak. Kahak yang terhasil boleh jadi:

  • Tidak berwarna
  • Berdarah
  • Putih
  • Kuning kehijauan

Gejala lain yang mungkin timbul bersama batuk perokok adalah seperti:

  • Bunyi bising ketika bernafas
  • Sakit tekak

Kebiasaannya, gejala batuk perokok adalah lebih kerap pada waktu pagi. Namun perokok yang lebih kronik mungkin akan batuk sepanjang hari. Batuk yang berpanjangan boleh menandakan masalah lain yang lebih serius seperti saluran paru-paru tersumbat, jangkitan kuman pada paru-paru dan juga kanser paru-paru. Oleh itu, gejala batuk yang serius serta disertai gejala lain seperti demam panas, batuk berdarah dan sesak nafas haruslah segera dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut. 

Apakah Penyebab Terjadinya Batuk Perokok?

Silia merupakan struktur jejari harus seperti rambut kecil di sepanjang saluran pernafasan anda. Tahukah anda, apa yang terjadi kepada silia ini apabila anda merokok? Asap rokok mengandungi bahan-bahan berbahaya akan melemahkan pergerakan silia ini sekaligus menjejaskan kemampuan struktur ini untuk menolak bahan asing dan lendiran mukus keluar dari saluran pernafasan anda. Justeru itu, bendasing seperti bahan kimia dari asap rokok serta lendiran  mukus akan berkumpul di dalam paru-paru anda. Jadi batuk adalah salah satu cara untuk mengeluarkan bahan-bahan ini.

Mungkin ada sesetengah orang yang mengalami batuk yang lebih teruk setelah berhenti merokok berbanding ketika merokok. Jangan bimbang, kerana ini adalah petanda baik. Setelah berhenti merokok, silia di saluran pernafasan anda kembali aktif. Jadi ia sedang bekerja keras untuk mengeluarkan bahan-bahan kimia dan lendiran yang terkumpul di dalam paru-paru anda. Ini juga merupakan sebab mengapa perokok lebih kerap batuk pada waktu pagi, kerana silia mereka kembali aktif selepas tidak terdedah kepada asap rokok selama beberapa jam ketika anda tidur.

Selain itu, perokok juga akan mengalami masalah postnasal drip. Keadaan ini berlaku disebabkan lendiran daripada hidung mengalir ke kerongkong. Lendiran ini biasanya terhasil akibat iritasi daripada asap rokok. Postnasal drip juga boleh menyebabkan gejala batuk pada perokok.

Bagaimanakah Tips Untuk Meredakan Batuk Akibat Merokok?

Cara yang paling efektif untuk mengatasi batuk perokok adalah dengan mengurangkan jumlah kekerapan merokok atau berhenti merokok. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini!

Namun begitu, berhenti merokok bukanlah perkara yang mudah. Dalam usaha anda untuk berhenti merokok, berikut merupakan antara langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk meredakan batuk akibat merokok. Ingat, tips ini memberi kelegaan sementara sahaja. Pastikan anda mempunyai azam dan cuba untuk berhenti merokok.

  • Berkumur dengan air garam (salt water gargle)
  • Minum 6 hingga 8 gelas air setiap hari bagi mengurangkan kepekatan lendir di paru-paru dan tekak anda 
  • Tinggikan posisi kepala anda ketika tidur seperti menggunakan bantal untuk mengelakkan lendir terkumpul di kerongkong anda
  • Melakukan akitiviti senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari secara berkala. Aktiviti fizikal mampu membantu menguatkan paru-paru anda.
  • Elakkan minum kopi atau alkohol. Kopi dan alkohol boleh mengeringkan tekak anda dan menyebabkan gejala batuk anda menjadi lebih teruk. 

Apakah Rawatan Untuk Batuk Perokok?

Apa yang harus anda lakukan sekiranya pelbagai cara telah anda cuba untuk meredakan batuk tetapi tidak berjaya? Anda haruslah merujuk masalah kesihatan anda kepada doktor untuk rawatan lanjut. Rawatan seperti bronkodilator dan kortikosteroid boleh membantu melegakan saluran pernafasan sekiranya perlu. 

Selain itu, terdapat juga beberapa rawatan alternatif atau semulajadi yang boleh digunakan untuk mengatasi gejala batuk perokok. Wap minyak pati tertentu (essential oils)  dipercayai boleh melegakan gejala batuk serta meredakan gejala keradangan yang mungkin berlaku. Makanan herba seperti halia dan oregano juga dapat membantu melegakan batuk, sakit tekak dan gejala lain. 

Namun begitu, rawatan alternatif ini hanyalah bertujuan untuk membantu memberi kelegaan kepada anda, sila rujuk kepada doktor untuk rawatan batuk sekiranya berpanjangan. Minyak pati atau essential oil tidak boleh dimakan dan hanyalah untuk kegunaan luaran sahaja. Sapuan minyak pati pada kulit juga mungkin boleh menimbulkan keradangan atau alahan. Anda dinasihatkan untuk menggunakan minyak pati sebagai aromaterapi sahaja. Begitu juga dengan saranan makanan tertentu seperti halia dan oregano, hendaklah diambil pada kuantiti yang sederhana sahaja. 

Di samping itu, anda juga boleh mencuba beberapa tips rawatan di rumah sebagai obat batuk untuk perokok untuk merawat ketidakselesaan pada tekak anda. Minuman teh panas tanpa gula atau dicampur sedikit madu dan lemon boleh memberi kelegaan. Anda disyorkan untuk mengambil suplemen tambahan seperti vitamin C atau meminum minuman yang mengandungi zat vitamin C yang tinggi seperti jus oren. Ini bertujuan untuk menguatkan sistem pertahanan tubuh anda supaya tidak mudah dijangkiti kuman yang boleh memburukkan lagi gejala batuk perokok. 


Ketahui Komplikasi Batuk Perokok

Terdapat banyak komplikasi yang boleh berlaku akibat batuk perokok yang tidak dirawat. Kerosakan pada silia adalah penyebab pelbagai komplikasi yang mungkin terjadi. Komplikasi bergantung kepada kekerapan seseorang itu merokok, tahap serius batuk dan juga sejarah kesihatan seseorang itu secara keseluruhan. Antara komplikasi batuk perokok adalah peningkatan risiko jangkitan pernafasan oleh bakteria dan virus dan perubahan suara (serak) akibat iritasi pada peti suara. Batuk yang berpanjangan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi lain seperti hernia. 

Kerosakan pada silia (jejari halus) boleh menyebabkan pengumpulan bahan kimia di paru-paru dan juga saluran pernafasan. Hal ini dapat mengakibatkan berlakunya beberapa jenis penyakit lain seperti bronkitis, emfisema, COPD (Chronic Obstructive Pulmonary Disease atau Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik), pneumonia dan kanser paru-paru.

Sebagai rumusan keburukan merokok sememangnya memudaratkan kesihatan. Gejala batuk perokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan malah mengganggu aktivit seharian termasuk tidur. Selain itu, perokok pasif  juga akan menerima kesannya. Perokok pasif juga boleh mendapat gejala batuk dan sering mendapat jangkitan pernafasan khususunya bayi dan komplikasinya pada mereka adalah lebih berbahaya dan boleh membawa maut. 


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


Rujukan: