12 Cara Berhenti Merokok Untuk Masa Depan Yang Lebih Bahagia

12 Cara Berhenti Merokok Untuk Selama-lamanya - DoctorOnCall


Semua orang inginkan kehidupan yang sihat. Ramai perokok ingin berhenti merokok kerana tahu ia membahayakan kesihatan. Tetapi ramai yang kecundang. Ini  kerana, ramai yang tidak mampu mengharungi kesan sindrom sarak nikotin pada fasa awal berhenti merokok. Sakit berhenti merokok bukanlah satu omongan kosong. Ia sememangnya fasa yang sukar terutamanya ketika baru berhenti merokok. Oleh itu, mari ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui bagaimana anda boleh menghadapi saat sukar ini sehingga berjaya berhenti merokok.

12 Cara Sihat Untuk Berhenti Merokok

Membuang rokok sahaja, tidak mencukupi dalam perjuangan anda untuk mengatasi sindrom sarak nikotin selepas berhenti merokok. Tabiat merokok melibatkan deria sentuhan, rasa dan hidu. Bagaimana sentuhan rokok di antara dua jari perokok, bau asap rokok dan rasa asapnya adalah perkara-perkara yang perlu diberi perhatian apabila seseorang berhenti merokok. Berhenti merokok bukan sahaja melibatkan rawatan mental tetapi juga secara fizikal. Berhenti merokok tidak boleh berlaku dalam sekelip mata, ia mengambil masa dan memerlukan kesabaran. Jangan terpedaya dengan produk yang menjamin boleh berhenti merokok dalam seminggu ia mungkin auta. Kenali cara terbaik untuk berhenti merokok yang kami senaraikan di bawah.

1. Tetapkan Tarikh Berhenti

Jika anda belum berhenti merokok tetapi sudah merancang atau berniat untuk berhenti, langkah pertama yang anda harus lakukan adalah menetapkan tarikh berhenti. Tarikh berhenti anda haruslah jelas. Pilih tarikh terdekat dan pastikan tarikh tersebut adalah ketika anda lapang dan bukan waktu yang sibuk dan penuh tekanan. Tulis tarikh ini pada kalendar dan letakkan di tempat yang anda boleh lihat setiap hari. Pegang tarikh ini dan kerap ingatkan diri anda agar anda lebih bersedia.

Anda juga harus tahu mengapa anda ingin berhenti merokok. Apabila matlamat berhenti merokok anda lebih jelas, lebih mudah untuk anda mencapainya. Sebaiknya, sebelum berhenti merokok, anda juga disarankan untuk merancang perjalanan berhenti merokok anda. Contohnya tetapkan target pengurangan bilangan rokok yang dihisap setiap hari secara berperingkat sebelum tarikh berhenti yang telah anda pilih.

2. Tukar Tabiat

Seorang perokok sudah semestinya mempunyai rutin tertentu yang biasa dilakukan. Jadi, apabila anda mula berhenti merokok, sudah tentu rutin-rutin ini perlu diubah. Contohnya rutin menghisap rokok selepas makan. Tentu janggal rasanya tanpa sebatang rokok selepas menjamah makan tengah hari yang lazat. Oleh itu, tukar tabiat ini dengan makan buah-buahan atau mengunyah gula-gula getah. 

Sesetengah perokok gemar merokok sambil minum secawan kopi. Jadi, untuk elakkan anda teringat kepada rokok, tukar minuman kopi anda kepada secawan teh atau jus. 

3. Bersenam

Bersenam bukan sahaja mengisi masa lapang dan mengalih ingatan anda daripada rokok. Untuk pengetahuan anda, bersenam juga boleh menghilangkan tekanan akibat sindrom sarak nikotin. Bersenam dapat meningkatkan penghasilan endorphin yang secara tidak langsung memberikan energi yang positif kepada tubuh badan anda. Malah, endorphin memudahkan untuk tidur dan berehat pada waktu malam. Tubuh yang letih selepas bersenam juga boleh membuatkan anda tidur lebih lena. Ini amat membantu dalam menangani insomnia akibat kesan kehilangan nikotin.

4. Bersihkan Rumah

Perkara lain yang penting dalam proses berhenti merokok juga adalah membersihkan rumah anda dari sisa-sia rokok. Bukan sahaja membuang rokok secara fizikal, anda juga perlu menghilangkan bau-bau rokok yang melekat pada kain baju, langsir, cadar katil serta perabot-perabot yang lain. Ini bukan sahaja baik untuk anda melupakan rokok, malah baik untuk seisi keluarga atau orang yang tinggal bersama anda kerana tidak lagi terhidu bau asap rokok yang membahayakan kesihatan. 

Anda juga boleh gunakan haruman seperti lavander dan sitrus di dalam rumah anda untuk memberikan kesegaran di dalam ruangan kediaman. Bau-bauan yang menyegarkan bukan sahaja wangi, malah boleh memberikan ketenangan dan mengalih tumpuan anda dari rokok. Haruman seperti lavender juga boleh membantu anda tidur dengan lena.

5. Sistem Sokongan

Ketika anda ingin berhenti merokok, seeloknya anda beritahu keluarga dan rakan-rakan anda. Adalah sangat penting untuk anda mempunyai sistem sokongan ketika anda berhenti merokok terutamanya ketika melalui kesan sindrom sarak. Selain bagi memberikan anda semangat untuk meneruskan perjuangan anda untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, sokongan keluarga dan rakan juga penting agar tiada yang cuba menyogok rokok kepada anda. Kurangkan pergaulan dengan mereka yang boleh mempengaruhi anda untuk kembali kepada rokok buat sementara waktu.

6. Kurangkan Stres

Perokok lebih cenderung untuk menghisap rokok ketika berhadapan dengan tekanan. Ini adalah kerana mereka percaya merokok mampu menghilangkan tekanan dan memberikan ketenangan. Oleh itu, elakkan dari situasi-situasi yang boleh memberi tekanan terutamanya pada peringkat awal anda mula berhenti merokok. Sebab itulah amat penting untuk anda memilih tarikh berhenti merokok pada waktu yang tenang. Sekiranya berhadapan dengan situasi yang membuat anda stress atau kurang senang, anda boleh cuba cara alternatif seperti meditasi, yoga atau senaman pernafasan untuk mengurangkan tekanan.

7. Sibukkan Diri

Ramai orang yang merokok dengan alasan menghilangkan kebosanan. Jika ini juga berlaku kepada anda, pastikan anda tidak ada masa untuk bosan. Pastikan anda sentiasa mengisi masa anda dengan pelbagai aktiviti baik di luar atau di dalam rumah. Selain bersenam atau aktiviti fizikal yang lain, anda juga boleh mengemas rumah, menanam sayur, mencuci kereta, dan sebagainya. Hasilnya, anda juga bukan sahaja lupa kepada rokok, rumah dan persekitaran anda juga bersih berkilat, badan juga sihat. 

8. Pemakanan Sihat

Pilihan makanan untuk berhenti merokok adalah amat penting. Ramai perokok yang berhenti merokok dan kemudiannya mengalami masalah kenaikan berat badan. Hal ini adalah kerana kebanyakan mereka memilih snek dan makanan yang salah. Selera makan sememangnya meningkat selepas berhenti merokok, jadi, jika tidak memilih makanan yang seimbang, masalah lain pula yang timbul. Pilihan utama yang disyorkan semestinya buah-buahan dan sayur-sayuran. Diperkaya dengan antioksida yang penting untuk membantu mencegah kanser malah mengenyangkan. Anda juga boleh pilih buah-buahan kering, bertih jagung dan kekacang sebagai snek apabila anda ingin mengunyah.

9. Terapi Gantian Nikotin

Kini, terdapat rawatan yang boleh membantu anda dalam usaha untuk berhenti merokok yang dikenali sebagai Terapi Gantian Nikotin (Nicotine Replacement Therapy) NRT. 

NRT boleh dijumpai dalam pelbagai bentuk seperti:

  • Lozenges nikotin
  • Tampalan nikotin
  • Semburan hidung nikotin

Terapi gantian nikotin digunakan untuk mengurangkan kesan sarak nikotin dengan membekalkan nikotin dalam kadar dos yang rendah. Terapi ini memerlukan preskripsi daripada doktor dan perancangan dos nikotin perlu dilakukan secara berperingkat sehingga anda tidak bergantung pada nikotin lagi. Terdapat juga ubat lain untuk berhenti merokok yang mana memerlukan preskripsi doktor bergantung kepada keperluan anda. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin melalui kuiz ini!

10. Fikirkan Manfaatnya

Salah satu cara untuk berhenti merokok adalah dengan mempunyai azam yang kuat dan memikirkan kebaikan yang anda akan perolehi sebaik sahaja anda berhenti merokok.

Anda akan menjadi lebih sihat dan risiko kanser, serangan jantung dan strok adalah jauh lebih rendah. Jika anda telah berkeluarga, anda dapat menghindarkan anak-anak dan isteri daripada bahaya sebagai perokok pasif. Kewangan anda juga lebih terjamin kerana tidak lagi digunakan untuk membeli bahan bakar yang merosakkan. Kajian mendapati bahawa perokok telah menghabiskan sehingga ribuan ringgit dalam setahun hanya untuk membeli rokok. Jika duit ini disimpan, bayangkan sudah berapa banyak yang anda ada. 

11. Tidak Berputus Asa

Putus asa adalah perkara yang sering berlaku di kalangan mereka yang ingin berhenti merokok. Namun begitu, ketahuilah bahawa setiap kali anda mencuba lagi untuk berhenti setelah gagal, peratusan kemungkinan anda untuk berhenti merokok selamanya akan meningkat. Setiap manusia adalah berbeza, tidak semestinya anda perlu berjaya berhenti merokok pada percubaan pertama. Kuatkan semangat dan teruskan perjuangan, anda pasti boleh melakukannya

12. Kaunseling

Apabila anda berada di saat sukar, ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Terdapat ramai lagi mereka di luar sana yang menghadapi situasi yang sama seperti anda. Mendapatkan kaunseling ataupun menyertai kumpulan kaunseling dapat mengurangkan rasa stres. Anda boleh berkongsi pengalaman dan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada mereka yang turut sama atau pernah melalui situasi seperti anda. Menyertai kumpulan kaunseling dapat memberikan anda sistem sokongan dan memberikan anda lebih semangat untuk meneruskan perjuangan sehingga berjaya berhenti merokok.

Kebahagian Selepas Berhenti Merokok

Di Amerika, ada sebuah kajian yang dibuat untuk membuktikan teori dan perhubungan antara berhenti merokok dan kebahagian. Kajian yang merangkumi 236 perokok yang menyertai kajian ini dengan azam untuk berhenti. Mereka diberikan kaunseling dan tampalan nikotin sebelum tarikh berhenti merokok. 7 hari sebelum tarikh mereka berhenti merokok, ujian psikologi dilakukan untuk memastikan mereka tiada penyakit kemurungan. 

Daripada 236 perokok yang menyertai hanya 139 yang berjaya berhenti merokok dan 99 perokok mula merokok semula selepas hari pertama berhenti merokok. Dalam 139 peserta yang berjaya berhenti merokok, kajian telah mendapati mereka lebih bahagia dan emosi mereka lebih baik daripada waktu mereka menghisap rokok. Malah, 99 perokok yang tidak dapat berhenti mengalami kemurungan yang lebih teruk sebelum memulakan kajian. 

Kajian ini membuktikan bahawa, walaupun anda mengalami saat sukar dan tekanan yang hebat sewaktu baru mula berhenti merokok. Tidak bermakna anda akan terus berada dalam situasi itu selamanya. Apabila anda telah berjaya meninggalkan rokok, lebih banyak kebaikan yang menanti anda. Jadi kuatkan semangat dan teruskan usaha anda untuk mencapai matlamat anda untuk berhenti merokok. Sila rujuk doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai cara-cara berhenti merokok.



Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


Rujukan: