Rokok Daun - Benarkah Ia Alternatif Rokok Moden Yang Lebih Selamat?

Adakah Rokok Daun Alternatif Rokok Yang Selamat? - DoctorOnCall

Kenali Rokok Daun

Rokok daun yang juga dikenali sebagai rokok gulung kian menjadi perhatian orang ramai apabila harga rokok moden semakin meningkat. Kebanyakkan penggemar rokok daun adalah dalam kalangan orang kampung terutamanya warga emas.

Belakangan ini, permintaan rokok daun ini semakin menjadi-jadi akibat kesedaran rakyat terhadap bahaya rokok moden. Tetapi adakah tanggapan ini benar? Rokok daun tidak memudaratkan kesihatan? Teruskan membaca untuk mengenali rokok daun dengan lebih lanjut.

Bagaimana Rokok Daun Dihasilkan?

 

Rokok daun boleh digulung dengan menggunakan pelbagai jenis daun termasuklah daun daun temburini/tendu kering, nipah kering, daun jagung kering dan daun kelapa kering.

Berikut merupakan cara buat rokok daun:

  • Daun pertamanya akan dicari dan dikopek terlebih dahulu.

  • Kemudiannya, daun yang telah dikopek ini akan dijemur di bawah matahari sehingga menjadi kering.

  • Setelah daun ini menjadi kering, ia dipotong mengikut saiz rokok daun dan diikat bersama dalam berkas kecil untuk diproses dan menjadikannya rokok daun. 

Apakah Perbezaan Rokok Daun Dengan Rokok Biasa?

 

 

 

Rokok daun

Rokok biasa

Proses penghasilan

Penghasilan rokok daun adalah jauh lebih murah kerana pembalutnya didapati secara semula jadi dan proses pembuatannya tidak memerlukan teknik yang khusus.

Penghasilan rokok biasa menggunakan teknologi moden dan bahan yang digunakan memerlukan kos yang lebih tinggi.

Kandungan bahan kimia

Nikotin dari tembakau yang digunakan merupakan bahan kimia utama rokok daun. Terdapat beberapa bahan kimia lain yang turut terhasil daripada pembakaran tembakau. 

Mengandungi lebih 4000 bahan kimia beracun yang dicampurkan untuk menghasilkan sebatang rokok.

Bahaya kepada kesihatan

Walaupun kuantiti kandungan bahan kimia yang digunakan adalah kurang daripada rokok biasa, kesan sampingannya adalah masih sama.

Bahan kimia beracun yang digunakan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutamanya barah paru-paru dan sebagainya.

Apakah Kandungan Rokok Daun Berisi Tembakau?

 

 

1. NIKOTIN

Walaupun kandungan nikotin dalam rokok daun adalah kurang daripada rokok biasa,

namun kesan sampingannya adalah lebih kurang sama dengan rokok biasa. Nikotin

tidak menyebabkan barah secara langsung, tetapi ia boleh mendorong sel-sel memulakan proses karsinogenesis (pembentukan kanser) kemudian terus membesar dan hidup. Selain itu, nikotin juga menyebabkan ketagihan.

Adakah anda bergantung kepada nikotin? Ketahui dengan kuiz ini!

2. KARSINOGEN

Karsinogen merupakan bahan kimia yang mendorong proses menghasilkan sel-sel kanser. Tembakau mengandungi bahan kimia “polycyclic aromatase hydrocarbons” (PAH) yang menyebabkan mutasi pada gen p53 yang bertanggungjawab untuk mengalakkan pertumbuhan sel kanser. Tembakau juga mengandungi N-nitroso yang juga menyebabkan kesan yang sama.

3. TAR

Tar adalah sejenis cecair kental yang berwarna hitam atau coklat gelap dan mempunyai sifat melekit. Ia amat mudah melekat pada permukaan paru-paru. Kuantiti tar yang berlebihan boleh menyukarkan proses pertukaran gas yang yang berlaku di paru-paru serta menggalakkan karsinogenesis.

4. NITROGEN OKSIDA

Gas nitrogen oksida bersifat lebih larut dalam air berbanding dengan gas oksigen yang diperlukan oleh sel-sel dalam badan kita. Atas kelebihan ini, gas ini lebih mudah larut di dalam air yang berada di permukaan paru-paru. Maka ia akan bersaing dengan gas oksigen lalu menyebabkan kesukaran bernafas. Gas ini juga boleh menyebabkan keradangan pada kulit dan kerosakan pada jantung.

5. AMMONIA

Gas ammonia terdiri daripada satu molekul gas nitrogen dan empat molekul hidrogen. Gas ini memiliki bau yang sangat kuat. Kehadiran gas ini dalam saluran darah boleh menyebabkan kerosakan beberapa organ penting seperti hati dan otak.

Mencegah Kesan Buruk Rokok Daun

 

Walaupun anda pernah membaca atau terdengar akan khasiat rokok daun, terutamanya daripada datuk dan nenek kita, rokok daun ini sebenarnya mempunyai kesan sampingan yang berbahaya yang sama seperti rokok moden.

Kebanyakkan orang beralih ke rokok daun akibat beberapa faktor termasuklah;

  • Dipercayai mengandung bahan kimia yang kurang dan tidak berbahaya, namun pernyataan ini ialah mitos semata-mata dan tiada kajian yang sahih membuktikan rokok daun adalah selamat.
  • Kos yang lebih murah dan mudah didapati.
  • Imej yang tampil gah dan berbeza daripada orang lain.
  • Tiada tanda amaran di premis makanan & restoran melibatkan rokok ini

Oleh itu, masyarakat perlu sedar tentang keburukan yang dibawa rokok daun ini. Walaupun kandungan bahan kimianya lebih rendah ia tetap membinasakan. Bagi mencegah kesan rokok daun anda haruslah:

Berhenti Merokok

 

Walaupun pernyataan ini adalah sangat klise kepada rakyat umum, namun ini merupakan langkah terbaik untuk mencegah kesan buruk merokok. Terdapat dua cara berhenti merokok yang boleh anda ikuti, sama ada melakukannya sendiri atau dengan bantuan terapi gantian nikotin atas nasihat doktor.

Anda boleh ikuti strategi D.E.A.D sekiranya ingin berhenti merokok atau jumpa doktor di klinik berdekatan anda.

  • D - “Delay” (melengahkan masa setiap kali anda rasa ingin merokok)

  • E - “Escape” (menjauhi perokok lain dan tempat yang boleh menimbulkan rasa ingin merokok)

  • A - “Avoid” (menyibukkan diri anda dengan aktiviti lain seperti meditasi dan sebagainya)

  • D - “Distract”(cuba untuk mengalih perhatian anda setiap kali rasa merokok timbul)

Jangan Cuba Alternatif!

Kebanyakan perokok sering kali mencari alternatif lain selepas berhenti merokok. Sayangnya, alternatif seperti vape atau shisha sebenarnya mengandungi risiko barah yang jauh lebih tinggi daripada rokok daun. Rokok daun juga bukanlah alternatif untuk berhenti merokok.

Walaupun ia mengandungi risiko yang lebih rendah, risiko tetap risiko. Ini boleh dianalogikan seperti jika anda terjun dari tingkat bangunan yang ke 15 dan yang ke 10, anda tetap akan merana akibat kecederaan yang teruk atau mati!

Konklusi

Kesimpulannya, rokok daun mungkin dilihat sebagai sesuatu yang tidak berbahaya dan selamat untuk digunakan. Namun ia adalah salah sama sekali. Seperti rokok biasa, rokok daun juga mengandungi bahan kimia yang mendorong pertumbuhan sel kanser seperti kanser paru-paru, usus serta boleh menyebabkan penyakit jantung. Jadi, berhenti sebelum terlambat. Anda mampu mengubahnya. Rujuk kepada doktor untuk mengetahui tentang cara-cara berhenti merokok.



Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

 

Rujukan: