Shisha Atau Hookah, Adakah Ia Trend Yang Lebih Selamat?

Shisha & Hookah: Adakah Selamat Berbanding Rokok? - DoctorOnCall

Shisha atau nama lainnya hookah, semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia ketika ini. Biasanya shisha boleh didapati di restoran-restoran yang menghidangkan makanan arab. Ini adalah kerana ia memang popular di timur tengah. Ketika ia mula diperkenalkan, mungkin ramai yang mencubanya untuk berseronok dan mencuba sesuatu yang baru. Namun ia kini dilihat semakin banyak digunakan. Malah ada yang mengambilnya sebagai pengganti rokok kerana dirasakan lebih selamat. Adakah ini benar? Ketahui kupasan lanjut tentang shisha dan kesannya kepada kesihatan dalam artikel ini.

Apa Itu Shisha ?

Shisha adalah kaedah lama untuk menghisap tembakau yang telah wujud sejak 400 tahun yang lalu dalam kalangan masyarakat India. Ia dipanggil dengan istilah yang berbeza seperti Narghile, Hookah, Hubble Bubble, Goza, Boori. dan Arghile di pelbagai negara di seluruh dunia. 

Shisha direka dalam bentuk, warna dan saiz yang berbeza-beza. Struktur asas shisha terdiri daripada hos, gromet, badan dan mangkuk. Apa yang menjadi daya tarikannya adalah terdapat pelbagai jenis perisa tembakau shisha. Tembakau terlebih dahulu direndam di dalam adunan ataupun perisa buah-buahan menarik seperti strawberi, anggur, madu dan juga epal. Tembakau berperisa dikenal sebagai mouassal. Terdapat tiga jenis tembakau shisha yang biasa digunakan iaitu Mouassal, Jurak dan Tumbak yang mana masing-masing mengandungi ramuan yang berbeza. Secara ringkas, Mouassal merupakan terjemahan Bahasa Arab untuk “madu” mengandungi 30% tembakau dan sekitar 70% madu, tebu, gliserol serta perisa. Dianggarkan bahawa kandungan nikotin dalam Mouassal adalah dalam anggaran sekitar 3.4mg/g.

Jurak pula mengandungi tembakau, tebu dan sekitar 20% rempah-rempah lain dan buah-buahan kering. Jurak biasanya digunakan di wilayah Timur Tengah. Tumbak pula digunakan terutamanya di negara-negara Asia. Tumbak yang digunakan adalah bentuk murni dari daun tembakau tanpa rasa (Ajami) yang dihisap dengan arang. 

Kebanyakan tembakau shisha berasal dari negara Arab dan diimport ke Malaysia, namun ada juga peniaga di negara ini yang mengadun tembakau shisha mereka sendiri. Tembakau shisha wujud dalam berbagai-bagai perisa bergantung kepada bahan yang digunakan. 

Kajian telah menunjukkan bahawa nikotin, gas karbon monoksida, tar dan gas polyaromatic hydrocarbon (PAH) juga turut terkandung di dalam shisha. Walaupun terdapat air di dalam balang shisha yang dipercayai boleh menapis bahan-bahan yang berbahaya daripada asap shisha, namun hakikatnya air di dalam balang itu hanya boleh menapis sebahagian kecil sahaja bahan kimia tersebut. Pengguna akan cenderung menghisap shisha dengan lebih kerap untuk menggantikan kandungan nikotin yang telah ditapis keluar. 

Bahaya Shisha Kepada Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

Shisha mempunyai kesan negatif kepada kesihatan tubuh badan. Kesan menghisap shisha kerap dikaitkan dengan masalah kesihatan terutamanya kepada organ jantung dan paru-paru.  Berikut adalah kesan buruk menghisap shisha:

  • Risiko Penyakit Jantung

Shisha dapat menyebabkan masalah jantung akibat kerosakan saluran darah akibat kandungan bahan kimia berbahaya di dalam shisha. Kerosakan ini menyebabkan saluran darah menjadi sempit lalu meningkatkan tekanan darah. Selain itu, kadar kolesterol dalam darah yang meningkat juga menjadi punca penyakit jantung. Kolesterol buruk seperti LDL, trigliserida  dan malondialdehid didapati adalah jauh lebih tinggi di dalam tubuh pengguna shisha berbanding mereka yang tidak. Jumlah kapasiti antioksidan dan vitamin C pula didapati jauh lebih rendah pada pengguna shisha. Ini dapat membuktikan bahawa menghisap shisha boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

  • Mudah Mendapat Jangkitan

Perkongsian penggunaan paip shisha menyebabkan para penggunanya terdedah kepada jangkitan kuman dan virus seperti hepatitis, herpes dan tuberkulosis. Kebiasaannya, pengguna shisha akan menghisap shisha dalam kumpulan yang besar, sama ​ada bersama rakan-rakan ataupun ahli keluarga. Perkongsian corong mulut menyebabkan pelbagai organisma dan patogen dapat disebarkan di antara pengguna melalui air liur. Risiko penyakit berjangkit meningkat kerana sifat molase shisha yang lembab, mewujudkan persekitaran yang mendorong pertumbuhan pelbagai mikro organisma.

  • Meningkatkan Risiko Kanser

Shisha, sama seperti rokok boleh menyebabkan kanser terutamanya kanser paru-paru dan mulut. Kajian lain juga melaporkan bahawa terdapat hubungan menghisap shisha dengan barah pundi kencing, barah prostat, squamous cell carcinoma dan keratoacanthoma  pada bibir, barah nasofaring, barah esofagus dan displasia mulut. 

  • Penuaan 

Menghisap shisha akan menyebabkan anda cepat kelihatan lebih tua berbanding usia sebenar anda. Hal ini adalah disebabkan oleh kerosakan struktur kulit anda yang terdedah kepada bahan kimia daripada asap shisha                                                

  • Bahaya Shisha Kepada Wanita Mengandung

Sebuah kajian telah membuktikan bahaya shisha kepada perempuan mengandung. Wanita hamil yang menghisap shisha sekali sehari berisiko melahirkan bayi dengan berat badan lahir yang rendah serta boleh menyebabkan, masalah gangguan pernafasan kepada bayi dalam kandungan dalam trimester pertama. Sekalipun tidak menghisapnya, wanita hamil yang terdedah kepada asap shisha boleh menyebabkan komplikasi terhadap kandungan.

Apakah Perbezaan Shisha Dan Rokok?

Perbezaan yang paling ketara di antara rokok dan shisha adalah cara penggunaannya. Shisha mempunyai satu struktur balang yang berisi air. Tembakau berperisa dipanaskan di dalam balang ini. Kemudian, asap tembakau yang terhasil akan disedut melalui satu alat penyedut yang bersambungan dengan satu hos. Konsep ini dianggap dapat membersihkan asap yang terhasil melalui air. Namun, hal ini  terbukti tidak benar dan telah berulang kali dipersoalkan oleh komuniti perubatan. 

Selain struktur dan cara penggunaan yang berlainan, kandungan shisha adalah sama seperti rokok. Shisha mengandungi tembakau dan bahan beracun yang lain seperti nikotin, tar, karbon monoksida, arsenik dan timah. Walaupun, kandungannya sama, tetapi asap shisha lebih berbahaya berbanding rokok biasa kerana asap shisha yang dibebaskan mengandungi paras tar, karbon monoksida, arsenik dan nikel yang lebih tinggi.

Adakah Shisha Lebih Selamat Berbanding Rokok?

Trend menghisap shisha semakin menjadi-jadi dalam kalangan anak muda kini disebabkan oleh anggapan yang salah tentang shisha yang dikatakan lebih selamat berbanding rokok. Tambahan pula ia boleh didapati dalam bentuk dan rasa yang lebih menarik. Harga shisha yang tidak terlalu mahal untuk dimiliki juga menjadi punca trend menghisap shisha ini semakin mendapat sambutan. 

Pengguna shisha atau hookah ini sebenarnya terdedah kepada pelbagai bahan toksik dan beracun seperti perokok malah lebih serius lagi. Selain meningkatkan risiko pelbagai penyakit berkaitan jantung, perkara yang paling membimbangkan adalah perkongsian alat hookah atau shisha ini boleh menjadi punca tersebarnya pelbagai penyakit berjangkit. Tradisi penggunaanya secara beramai ramai dan silih berganti juga adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana ia menyebabkan kuman mudah sekali tersebar! 

Shisha juga turut mengandungi nikotin dan kesannya adalah sama iaitu menyebabkan ketagihan. Sesetengah pengguna shisha berpendapat bahawa mereka tidak menyedut asap tetapi menyimpannya di rongga mulut, maka hal tersebut dapat melindungi diri mereka daripada kesan penyerapan atau ketagihan nikotin. Sebenarnya nikotin dapat diserap dengan mudah melalui lapisan mukosa di dalam rongga mulut. Ketahui jika anda bergantung pada nikotin di sini!

Realitinya, anda juga menyedut lebih banyak asap tembakau yang mengandungi nikotin semasa menghisap shisha. Shisha menghasilkan asap yang lebih banyak berbanding rokok biasa. Menurut CDC (Centers of Disease Control and Prevention), satu jam anda menghisap shisha bersamaan anda menghisap asap daripada 200 batang rokok biasa. Pengiraan jumlah asap shisha yang dihasilkan adalah sebanyak 90000 mililiter, sedangkan asap dari rokok biasa sejumlah 500 hingga 600 mililiter. 


Jadi, Mahu Menghisap Shisha Atau Merokok?

Batalkan hasrat anda untuk berjinak-jinak dengan shisha sekiranya anda fikir ia adalah cara untuk anda berhenti merokok. Kedua-duanya tetap mendatangkan bahaya kepada kesihatan tubuh badan anda. Sekiranya anda mempunyai kesulitan dalam usaha untuk berhenti merokok, anda disarankan untuk merujuk masalah anda kepada doktor. 

Seperti yang dijelaskan di atas, masyarakat perlu tahu tentang bahaya shisha terhadap tubuh. Mitos yang disebarkan oleh pengedar shisha haruslah dicantas kerana ia jauh menyimpang daripada kebenaran. Jauhi shisha dan rokok. Amalkan gaya hidup sihat, ingat orang yang anda sayangi serta cegahlah kesan keburukan shisha sebelum terlambat. Rujuk kepada doktor hari ini untuk berhenti merokok!



Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!



Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall