Adakah Mengunyah Tembakau Selamat? Ketahui Kesannya Kepada Kesihatan
Tanaman tembakau, atau nama lainnya Nicotiana, dipercayai telah menyebabkan lebih banyak kematian berbanding tanaman herba yang lain. Tembakau merupakan bahan gunaan yang dibenarkan oleh undang-undang. Namun begitu, ia menyebabkan ketagihan dan boleh membunuh penggunanya. Rokok daun tembakau telah menyebabkan lebih daripada 3 juta kematian setahun di seluruh dunia, dan jika trend ini berterusan, kematian tahunan akan melebihi 10 juta pada sekitar tahun 2030. Daun tembakau dan asap yang dihasilkan ketika dibakar mengandungi lebih dari 4 ribu bahan kimia, yang paling terkenal adalah nikotin.
Jangan ingat tembakau hanya ada di dalam rokok. Pernahkah anda dengar tentang tembakau kunyah? Sebenarnya, terdapat banyak produk tembakau selain daripada rokok dan turut digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat, cuma tidak sepopular rokok.
Apakah Sebenarnya Tembakau Kunyah?
Apa Itu Tembakau Kunyah atau chewing tobacco? Maksud tembakau kunyah ialah sejenis produk tembakau tanpa asap yang kebiasaanya ditambahkan perisa tertentu seperti daun mint. Cara pemakaian tembakau kunyah adalah dengan dilekatkan di antara pipi dan gusi sebelum dikunyah. Selain tembakau kunyah, produk tembakau tanpa asap yang lain adalah seperti snuff, snus dan tembakau larut. Secara amnya, bentuk atau ketersediaan setiap produk ini adalah berbeza-beza.
- Loose leaf : Daun tembakau yang tidak mampat atau longgar, selalunya berperisa manis dan tersedia dalam bungkusan foil.
- Twist : Daun tembakau yang dimampatkan dan tersedia dalam bentuk seperti pintalan tali
- Plug : Daun tembakau yang dimampatkan menjadi seperti bentuk batu-bata kecil dan dibalut sekali lagi dengan daun tembakau lain.
Bagi snuff dan snus, kedua-duanya tersedia dalam bentuk yang kering, lembab atau dikemaskan ke dalam tin. Manakala bagi tembakau larut, ia merupakan serbuk tembakau yang dimampatkan menjadi kepingan, bebola ataupun lozenge (tidak sama dengan produk lozenge nikotin). Bagi jenis snuff, tembakau tanpa asap jenis ini juga digunakan dengan menyedutnya melalui rongga hidung.
Adakah Mengunyah Tembakau Itu Selamat ?
Mengunyah tembakau sebenarnya dapat menyebabkan risiko yang sama seperti merokok ataupun merokok daun tembakau bahkan, terdapat risiko tambahan kepada kesihatan tubuh badan. Dalam erti kata lain, pengunyah tembakau tidak terlepas daripada keburukan tembakau kerana tiada produk tembakau yang tidak berbahaya. Tembakau kunyah merupakan salah satu bentuk dari jenis tembakau yang tidak menghasilkan asap. Samada anda menyedut atau mengunyah, kesan tembakau tanpa asap boleh menyebabkan ketagihan dan membawa kepada masalah kesihatan yang serius. Menurut American Cancer Society, kekeliruan lain yang biasa terjadi apabila tembakau tanpa asap dikatakan dapat membantu anda untuk berhenti merokok. Namun, tiada bukti yang menunjukkan bahawa pernyataan tersebut adalah benar.
- Mengunyah Tembakau Boleh Menyebabkan Anda Ketagih
Percaya atau tidak? Anda boleh menjadi ketagih sekiranya mencuba untuk mengunyah tembakau. Hal ini adalah disebabkan oleh kandungan nikotinnya sama seperti rokok. Nikotin merupakan bahan utama penyebab anda mula merasa ketagih. Sebaik sahaja anda ketagih dengan nikotin, anda juga cenderung untuk mula merokok. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini! Anggapan bahawa mengunyah tembakau adalah cara alternatif menggantikan rokok adalah salah. Di samping itu, tembakau kunyah mengandungi banyak bahan kimia yang diketahui menjadi punca terjadinya kanser ataupun barah dan boleh menjejasakan kesihatan tubuh badan anda. Antara bahan kimia berbahaya yang terkandung di dalam tembakau kunyah adalah seperti berikut:
- Logam yang berbahaya, termasuk arsenik, merkuri, plumbum, berilium, kadmium, kromium, kobalt, merkuri dan nikel.
- Nitrosamin, yang terhasil ketika tembakau ditanam dan diproses.
- Polonium-210, merupakan unsur radioaktif di dalam baja tembakau.
- Hidrokarbon, yang terhasil apabila tembakau dipanaskan dengan haba semasa pemprosesan.
Kesan Mengunyah Tembakau Kepada Kesihatan
Mengunyah tembakau dapat memberi kemudaratan kepada kesihatan tubuh badan anda. Terdapat lebih daripada 30 jenis bahan kimia dan zat berbahaya yang terkandung di dalam tembakau kunyah. Antara penyakit yang boleh disebabkan oleh mengunyah tembakau adalah seperti berikut:
- Barah Atau Kanser
Kebanyakan produk tembakau tanpa asap seperti tembakau kunyah, snuff, snus dan tembakau larut mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan barah. Tembakau tanpa asap dapat menyebabkan barah mulut, kanser esofagus dan kanser pankreas.
- Pra Kanser Mulut
Rutin mengunyah tembakau akan menyebabkan penggunanya cenderung menghidap leukoplakia. Leukoplakia merupakan sejenis plak berwarna putih kekeruhan di dalam mulut, tidak ada rasa kesakitan namun, tidak dapat juga dibersihkan. Plak ini akan muncul sekiranya anda mengunyah tembakau setiap hari dan ianya dapat terjadi seawal 6 bulan rutin melakukan tabiat tersebut. Berita buruknya, leukoplakia boleh berkembang menjadi barah di dalam mulut.
- Kerosakan Gigi Dan Gusi
Mengunyah tembakau juga menyebabkan kerosakan gigi dan gusi. Gula dan bahan kimia yang terdapat dalam produk tembakau tanpa asap boleh menyebabkan kaviti, kerosakan gigi, gigi menjadi kuning, mulut berbau, penyakit gusi, kelemahan gusi serta kehilangan gigi. Kerosakan gigi dan gusi menjejaskan penampilan dan imej seseorang. Tiada lagi senyuman menawan!
- Penyakit Jantung
Mengunyah tembakau dapat meningkatkan risiko kematian akibat penyakit jantung. Antaranya adalah meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, penyakit jantung, serangan jantung dan strok.
- Kelahiran Bayi Pramatang
Mengunyah tembakau amat berbahaya kepada wanita yang mengandung. Hal ini kerana, rutin mengunyah tembakau meningkatkan risiko kelahiran bayi pramatang. Bahkan, tabiat ini juga boleh mengakibatkan kematian bayi dalam kandungan.
- Risiko Racun Untuk Kanak-kanak
Tembakau kunyah juga berbahaya bagi kanak-kanak. Ia adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana penampilan bungkusan produk ini menyerupai gula-gula dan perisa produk tembakau tanpa asap menjadikannya menarik bagi kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak mencuba produk ini, ia boleh menyebabkan keracunan nikotin. Kesan buruk keracunan nikotin kepada kanak-kanak menyebabkan gejala seperti mual, muntah, kelemahan tubuh badan, kejang, gangguan pernafasan bahkan kematian!
Bagaimanakah Cara Untuk Berhenti Mengunyah Tembakau?
Terdapat beberapa cara untuk berhenti mengunyah tembakau sekaligus membuktikan ianya ketagihan yang dapat diatasi. Sama seperti merokok, pelbagai sistem sokongan, program, bahkan ubat tersedia untuk membantu seseorang itu berhenti menggunakan tembakau kunyah. Produk Terapi Penggantian Nikotin (Nicotine Replacement Therapy)boleh digunakan untuk merawat anda daripada ketagihan nikotin dari mengunyah tembakau. Ia boleh didapati dalam bentuk:
- Gula-gula getah nikotin (Nicorette),
- Nicotine patch (Habitrol, Nicoderm CQ, Nicotrol), dan
- Lozenges
- Ubat-ubatan yang seperti vareniclinetartrate juga berkesan bagi sesetengah individu dalam usaha menghentikan ketagihan nikotin.
Sekiranya anda mahu berhenti merokok, anda disarankan untuk berhenti sepenuhnya tanpa mengambil alternatif kepada produk tembakau yang lain seperti mengunyah tembakau. Hal ini supaya anda terhindar daripada kesan penyalahgunaan tembakau yang boleh menjejaskan kesihatan anda samada jangka pendek atau panjang.Tidak ada produk tembakau tanpa asap yang terbukti dapat membantu orang berhenti merokok. Sebaiknya, jika anda mempunyai masalah untuk berhenti merokok, dapatkan nasihat doktor atau pakar. Rawatan seperti terapi seperti nicotine replacement therapy dan behavioral therapy boleh didapati dengan nasihat doktor sekiranya perlu. Amalkan gaya hidup yang sihat demi kesejahteraan kualiti kehidupan anda.
Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!