Dari Kit Ujian Rapid kepada Ujian Darah: Ketahui Pelbagai Cara Mengesan Denggi!

Meneroka Pelbagai Kaedah Ujian Denggi, Daripada Kit Rapid hinggalah Ujian Darah | DoctorOnCall

Denggi, virus bawaan nyamuk, adalah ancaman kesihatan yang ketara di banyak kawasan di seluruh dunia.[1] Ia menyebabkan gejala seperti demam panas, sakit kepala yang teruk, sakit sendi, dan ruam. Gejala ini boleh jadi ringan atau serius dan dalam beberapa kes, boleh mengancam nyawa.[1] Dengan peningkatan kes denggi, memahami cara denggi didiagnosis boleh membantu memastikan rawatan perubatan diberikan secepatnya.[1] 

Apakah Ujian Denggi?

Doktor boleh mendiagnosis denggi sama ada dengan mengenal pasti gejala denggi atau melalui ujian diagnostik. Terdapat pelbagai jenis ujian denggi yang boleh dipilih oleh doktor, bergantung kepada ketersediaan ujian dan tahap penyakit.[2]

Walaupun kebanyakan ujian denggi memerlukan sampel darah, cara setiap ujian berfungsi adalah berbeza. Oleh kerana kaedahnya yang berbeza, masa untuk mendapatkan keputusan ujian juga mungkin berbeza bergantung kepada prosedur dan analisis ujian tersebut. Beberapa contoh ujian diagnostik denggi termasuk:

  1. Ujian Antibodi (IgM dan IgG) 
    Ujian ini mengesan jenis antibodi tertentu yang dihasilkan oleh sistem imun sebagai tindak balas terhadap virus denggi. Ia menunjukkan sama ada seseorang pernah terdedah kepada denggi sebelum ini dan telah membentuk imuniti terhadap serotip tertentu.[3] Beberapa ujian juga boleh mengesan jangkitan denggi aktif dengan mengenal pasti antibodi dalam darah.[4]
  2. Ujian Molekul untuk Virus Denggi (PCR) 
    Ujian molekul menggunakan teknik canggih seperti tindak balas rantai polimerase (PCR) untuk mengesan bahan genetik virus denggi.[4],[5] Kaedah ini sangat berkesan pada peringkat awal jangkitan dan sering digunakan untuk mengesahkan diagnosis jangkitan denggi aktif.[4]
  3. Pengesanan Antigen Virus Denggi (NS1) 
    Ujian pengesanan antigen NS1 ialah alat diagnostik pantas yang mengesan protein virus tertentu yang dikenali sebagai non-structural protein 1 (NS1) dalam darah.[4] NS1 dihasilkan oleh virus denggi pada peringkat awal jangkitan dan boleh dikesan sebelum antibodi dihasilkan oleh sistem imun.[4] NS1 boleh dikesan seawal hari pertama atau kedua sehingga hari kesembilan selepas simptom bermula.[6]

Apa yang Perlu Diketahui Sebelum Melakukan Ujian?

Hanya sesetengah orang yang perlu menjalani ujian denggi. Doktor biasanya mengesyorkan ujian denggi kepada individu yang menunjukkan gejala seperti denggi untuk pengesahan diagnosis. Selain ujian yang disebutkan di atas, doktor juga mungkin meminta ujian darah lengkap iaitu ujian darah yang menyeluruh untuk memahami keadaan pesakit dengan lebih baik.

Darah terdiri daripada pelbagai komponen, termasuk sel darah merah, sel darah putih, dan platelet, yang mungkin berubah semasa anda sakit.[4] Sebagai contoh, denggi boleh menyebabkan bilangan platelet menurun semasa fasa awal, yang meningkatkan risiko pendarahan.[4]

Oleh itu, penting untuk memaklumkan kepada doktor tentang sebarang masalah kesihatan sedia ada, seperti anemia atau gangguan darah, serta ubat-ubatan yang sedang diambil, seperti pencair darah. Maklumat ini akan membantu doktor membuat penilaian yang lebih tepat terhadap keputusan ujian.

Melindungi Kesihatan Daripada Ancaman Denggi!

Memahami jenis ujian membantu anda berbincang dengan doktor tentang pilihan yang ada. Pengesanan awal denggi melalui ujian yang sesuai adalah penting untuk pengurusan dan rawatan yang berkesan.[3]

Sentiasa perhatikan gejala yang menyerupai denggi dan dapatkan nasihat doktor jika ragu-ragu.[4]

Memandangkan tiada rawatan khusus untuk denggi, langkah pencegahan seperti menghapuskan air yang bertakung di persekitaran anda, menggunakan penghalau serangga, dan mendapatkan nasihat doktor tentang kaedah pencegahan lain, termasuk vaksinasi, adalah penting untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Rujukan

  1. World Health Organization (WHO). “Dengue and severe dengue.” World Health Organization (WHO), 17 Mac 2023, WHO. Diperoleh pada 26 September 2023.
  2. Myhealth Gov. “What is Dengue – DENGGI.” Myhealth, 24 Februari 2016, Myhealth. Diperoleh pada 26 September 2023.
  3. NCBI. “LABORATORY DIAGNOSIS AND DIAGNOSTIC TESTS - Dengue.” NCBI. Diperoleh pada 26 September 2023.
  4. Kementerian Kesihatan Malaysia. “CPG - Dengue New Revised edition (new).indd.” KKM. Diperoleh pada 26 September 2023.
  5. NCBI. “Simple technique for detecting RNA viruses by PCR in single sections of wax embedded tissue.” NCBI. Diperoleh pada 26 September 2023.
  6. Wang, S. M., & Sekaran, S. D. “Early Diagnosis of Dengue Infection Using a Commercial Dengue Duo Rapid Test Kit for the Detection of NS1, IgM, and IgG.” NCBI. Diperoleh pada 13 Januari 2025.

Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. 200901025887 (868989-K)

Penafian: Maklumat ini tersedia untuk orang awam bagi tujuan informasi sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah atau penyakit kesihatan. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan perundingan dengan penyedia penjagaan kesihatan. Sila berunding dengan penyedia penjagaan kesihatan anda untuk nasihat.

C-ANPROM/MY/DENV/0392 FEB 2025