Praktik Dan Ambil Berat 8 Cara Penjagaan Kebersihan Diri Ini

8 Cara Penjagaan Kebersihan Diri Yang Penting - DoctorOnCall

Kebersihan diri sangat dititikberatkan dalam kehidupan kita tidak kira di sisi agama, sains, atau perubatan kerana perkara ini berkait rapat dengan kesihatan rohani, jasmani, dan mental. Penjagaan kerbersihan adalah penting bagi mengelakkan penyakit terutamanya penyakit berjangkit contohnya jangkitan COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini. 

 Oleh itu penjagaan kebersihan diterapkan sejak kecil dengan kebolehan menggosok gigi, mandi dan mencuci tangan. Kebersihan diri juga merangkumi kebersihan pakaian dan kekemasan. Malah kebersihan makanan, minuman serta persekitaran anda juga adalah penting.

Berikut adalah antara perkara yang anda perlu titik beratkan dalam penjagaan kebersihan diri. Walaupun ia seperti apa yang anda biasa lakukan setiap hari, adakah anda melakukannya dengan betul? Ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

  

Mandi

   Mandi sekurang-kurangnya sekali sehari adalah sangat penting dalam menjaga kebersihan anggota badan dan mencegah jangkitan kuman. Mandi setiap hari merupakan sebahagian daripada langkah-langkah atau tip penjagaan kebersihan diri kerana anggota badan dapat dibersihkan dari peluh, kotoran, dan kuman. Tip mandi yang berkesan adalah dengan menggosok seluruh badan dengan menggunakan sabun yang sesuai bagi menanggalkan daki, kotoran, dan kuman daripada badan. 

   Selesai mandi, keringkan tubuh badan anda dengan tuala yang bersih dan seterusnya pakai pakaian yang bersih. Jangan berkongsi tuala dengan individu lain. Di Malaysia, Bahagian Pendidikan Kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia menggalakkan rakyat Malaysia untuk mandi sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

Bagi mereka yang banyak berpeluh lebih-lebih lagi kita yang tinggal di negera beriklim panas seperti Malaysia, anda digalakkan memakai deodorant agar dapat menghindarkan daripada bau yang kurang menyenangkan. Namun begitu, pilih deodorat semulajadi agar tidak terdedah dengan risiko kesihatan lain.


Mencuci Muka

Kulit muka anda adalah kawasan yang sensitif, oleh itu, elakkan mencuci muka menggunakan sabun mandi biasa. Pilih pencuci muka yang sesuai dengan kulit muka anda. Bagi wanita yang mengenakan solekan, tanggalkan solekan dengan menggunakan cecair khas sebelum mencuci muka anda. Elakkan memakai solekan terlalu lama atau membawanya tidur kerana ini boleh merosakkan kulit anda.

Mencuci Rambut dan Menjaga Kebersihan Rambut

   Selain mencuci rambut ketika mandi, anda juga boleh pergi ke salon rawatan rambut untuk mencuci rambut dan mendapatkan rawatan rambut sekali sekala, terutamanya jika rambut anda bermasalah. Cara mencuci rambut yang terbaik adalah dengan menggunakan syampu yang sesuai kemudian dibilas. Perapi rambut juga boleh digunakan untuk mendapatkan rambut yang lembut. 

Anda dinasihatkan untuk melihat pek atau botol produk penjagaan rambut anda sebelum menggunakannya. Sesetengah produk perlu dibilas dengan air, dan ada yang tidak perlu. Penggunaan produk penjagaan rambut yang salah boleh menyebabkan masalah lain seperti kelemumur atau kerosakan rambut. 

Kekerapan mencuci rambut yang disarankan adalah sekurang-kurangnya sekali seminggu. Namun, jika anda kerap berpeluh atau terdedah kepada persekitaran yang berhabuk atau kotor, cucian lebih kerap adalah digalakkan.

Selain itu, dalam memelihara kebersihan dan kesihatan rambut, elakkan dari berkongsi sikat dengan individu lain. Berkongsi sikat boleh menyebabkan tersebarnya masalah kulit kepala seperti kutu dan kelemumur. 

Bagi wanita bertudung, penjagaan kebersihan rambut juga adalah penting. Gunakan syampu yang sesuai dan keringkan rambut anda sebelum memakai tudung. 


Memberus Gigi

   Memberus gigi setiap kali selepas makan adalah amat digalakkan agar kesihatan gigi dan gusi dapat dipelihara. Memberus gigi dengan menggunakan berus gigi yang sesuai dan ubat gigi berflorida sekurang-kurangnya dua minit setiap sesi dapat mencegah kerosakan gigi dan masalah gusi. Jika memberus gigi setiap kali setelah makan sukar untuk dilakukan, kita semua dianjurkan untuk menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Pertama, setelah sarapan pagi dan yang kedua, sebelum tidur pada waktu malam. 

   Ubat gigi berfluorida dapat membantu menguatkan gigi. Berus gigi tidak seharusnya dikongsi dengan orang lain dan berus gigi perlulah ditukar dengan yang baru apabila bulu berus gigi mula kembang. Bulu berus gigi yang kembang tidak lagi berkesan dalam membersihkan gigi dan gusi. Teknik memberus gigi yang baik adalah seperti berikut:

  • Pada permukaan luar dan dalam, berus gigi harus diletakkan pada kecondongan 45 darjah. Mulakan memberus dari gusi ke gigi.

  • Pada permukaan mengunyah, berus gigi harus dipegang secara mendatar dan berus ke luar dan ke dalam.

  • Pada bahagian dalam gigi hadapan, berus gigi harus dipegang secara menegak dan berus secara perlahan ke dalam dan ke luar dengan menggunakan hujung berus.

  • Ruang kecil antara gigi atau cela-celah gigi harus dibersihkan dengan berus gigi kecil (berus interdental).

  • Lidah pula harus dibersihkan dengan cara berus gigi dipegang secara mendatar, seterusnya memberus ke hadapan dan ke belakang.

  • Anda juga disarankan untuk menggunakan floss bagi membersihkan celah-celah gigi sebelum memberus gigi.


Mencuci Tangan

   Amalan kebersihan diri tidak lengkap tanpa mengetahui dan mempraktikkan langkah mencuci tangan yang betul. Sentiasa amalkan membasuh tangan dalam keadaan berikut:

  • Setelah ke tandas.

  • Sebelum mula makan.

  • Selepas atau sebelum proses menyediakan makanan.

  • Setelah memegang atau menyentuh bahan makanan mentah.

  • Setelah menyentuh muka.

  • Setelah selesai mengendalikan sampah.

  • Pada bila-bila masa tangan anda kotor atau tercemar. Sebagai contoh, setelah bersin atau batuk pada permukaan tangan.

  

 Teknik membasuh tangan yang betul adalah seperti berikut:

  • Basahkan kedua belah tangan dan ratakan sabun

  • Gosok kedua-dua belah tapak tangan.

  • Gosok kesemua jari dan celah jari.

  • Gosok kuku pada tapak tangan anda.

  • Gosok permukaan belakang tangan.

  • Gosok pergelangan tangan & ibu jari

  • Bilas dengan air bersih.

  • Keringkan tangan dengan menggunakan tisu atau tuala yang bersih.

   Selain dari membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun, anda juga boleh menggunakan cecair ‘hand sanitizer’ untuk membersihkan tangan. Selain daripada menjaga kebersihan tangan, kebersihan kuku dan kebersihan kaki turut sama perlu dijaga. Potong kuku kaki dan tangan agar kuku kekal pendek dan bersih. Amalkan tabiat mencuci kaki sebelum masuk ke dalam rumah.



Penjagaan Kebersihan Wanita

Wanita akan datang haid pada setiap bulan bermula umur baligh, sehingga menopos. Oleh itu, penjagaan kebersihan pada ketika ini juga adalah amat penting.

Pastikan anda menukar pad atau tampon anda dengan kerap ketika anda haid. Menukar pad atau tampon perlu dilakukan antara 4-6 jam sekali untuk mengelakkan jangkitan.

Urus tampon dan pad anda yang telah digunakan dengan baik. Jangan buang ke dalam lubang tandas atau di tempat awam. Buang ke dalam tong sanitari yang telah disediakan di tandas-tandas awam jika anda tidak berada di rumah.


Menjaga Kebersihan Pakaian

Penjagaan kebersihan pakaian juga merupakan sebahagian daripada elemen dalam menjaga kebersihan diri. Pastikan anda hanya memakai pakaian yang bersih dan kering. Pakaian yang telah digunakan atau kotor hendaklah dibasuh dengan menggunakan sabun cuci pakaian. Pakaian boleh dibasuh dengan tangan atau mesin basuh. Pakaian yang telah dibasuh hendaklah dijemur dibawah matahari. Matahari bukan sahaja mengeringkan pakaian, malah boleh turut membunuh kuman-kuman pada baju.  

   Pakaian yang bersih bukan sahaja mampu mencegah penyakit tetapi turut membantu memelihara imej dan keterampilan diri. Pakaian yang berbau dan kotor bukan sahaja tidak disenangi orang lain, tetapi juga mampu memudaratkan kesihatan seperti menyebabkan jangkitan pada kulit.


Kebersihan Tempat Tinggal

Selain kebersihan diri anda, jangan lupa tentang penjagaan kebersihan tempat tinggal. Pastikan rumah anda bersih dan kemas. Uruskan sampah dengan betul agar tiada serangga perosak dan tikus datang dan menyebabkan penyakit seperti taun dan leptospirosis. 

Vakum atau sapu rumah anda dari habuk. Mereka yang menghidap asma mudah diserang masalah pernafasan jika terdedah kepada kawasan berhabuk. Tukar cadar dan sarung bantal anda dengan kerap. Tempat tidur yang kotor boleh menyebabkan anda mengalami masalah kulit seperti ruam dan kegatalan, malah boleh menyebabkan jerawat.

Pastikan kawasan rumah anda juga tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk dan haiwan merbahaya lain. Oleh itu, pastikan takungan air di dalam pasu bunga sering ditukar dan tangkupkan bekas-bekas di luar rumah yang tidak digunakan. Bersihkan kawasan rumah dengan kerap dan pastikan rumput tidak terlalu panjang. Ia boleh menjadi tempat tinggal haiwan berbisa seperti ular.


Kesan Tidak Menjaga Kebersihan Diri

  • Tubuh dan anggota badan berbau.

  • Mudah dijangkiti penyakit seperti penyakit kulit, jangkitan lain serta masalah kerosakan gigi

  • Tidak disenangi oleh orang sekeliling.

  • Menjejaskan imej dan keterampilan diri.

Penjagaan kebersihan diri merupakan suatu perkara yang penting. Tidak menjaga kebersihan bukan sahaja menyebabkan masalah imej malah juga memudaratkan kesihatan. Oleh itu, sentiasa amalkan penjagaan kebersihan diri yang betul terutamanya pada musim wabak COVID-19 ini. Ingat, anda bersih, anda sihat, anda bahagia!


Rujukan:

Ditulis oleh Sharifah Shereen Reha Hassan, MBBS, MSU Malaysia on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor