Ketahui Bagaimana Penyakit Asma Memberi Kesan Kepada Penghidapnya
Penyakit asma (asthma) ialah sejenis penyakit kronik yang menjejaskan fungsi paru-paru dan sistem pernafasan. Punca asma ialah keradangan saluran pernafasan atau rembesan lendiran yang berlebihan, yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas dan kelelahan.
Seseorang yang menghidapi penyakit asma akan mengalami gejala seperti batuk dan kesesakan nafas. Namun, penyakit ini mampu membawa kesan-kesan lain yang mempengaruhi tahap kesihatan, gaya hidup dan emosi penghidapnya.
Kesan Penyakit Asma Kepada Penghidapnya
1. Kemasukan ke hospital atau memerlukan kunjungan kerap ke fasiliti kesihatan
Asma adalah satu penyakit kronik dan kebanyakan pesakit asma menghidap penyakit asma seumur hidup. Penghidap penyakit kronik biasanya memerlukan kunjungan ke fasiliti kesihatan dengan kerap bagi tujuan pemantauan. Kawalan asma yang buruk boleh menyebabkan serangan asma yang kerap dan mungkin serangan-serangan ini juga memerlukan rawatan lanjut di hospital.
Pesakit asma pada tahap serius juga memerlukan pemantauan yang kerap justeru perlu menghadiri temujanji dengan doktor secara berkala.
Sesetengah pesakit dengan peringkat yang lebih serius pula mungkin memerlukan sesi ujian lanjut serta kemasukan ke wad buat tempoh waktu tertentu.
Perkara-perkara ini boleh mengganggu rutin dan jadual harian pesakit dan juga penjaga mereka.
2. Pengambilan ubat-ubatan serta kesan sampingannya
Pesakit asma yang kerap mengalami serangan atau menghidap asma pada tahap yang lebih serius biasanya memerlukan beberapa jenis ubat-ubatan dalam perlbagai bentuk seperti ubat pelega, ubat kawalan dalam bentuk sedutan dan ubat oral.
Ubat-ubatan yang diambil selain perlu diambil secara konsisten, serta teknik yang betul bagi memastikan ia berkesan, juga boleh memberikan kesan sampingan.
Sebagai contoh, ubat jenis kortikosteroid berbentuk sedutan atau ubat makan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti:
Peningkatan kadar degupan jantung
Suara serak
Insomnia
Radang tekak
Jangkitan yis dalam mulut
Selain pengambilan ubat yang kerap serta kesan sampingannya, kos pembiayaan perubatan bagi pesakit asma juga boleh menjadi satu beban kepada pesakit dan penjaga mereka.
3. Perubahan struktur saluran udara kesan penyakit asma
Keradangan saluran udara yang kronik boleh menyebabkan perubahan struktur saluran udara yang melibatkan struktur-struktur seperti saluran darah, tisu-tisu epitelium dan otot-otot. Perubahan struktur-struktur ini akan kekal dan boleh menyebabkan:
Kehilangan fungsi paru-paru
Penebalan dinding saluran udara
Batuk kronik
Peningkatan rembesan mukus (kahak)
4. Kegagalan fungsi sistem pernafasan
Individu-individu yang menghidap penyakit asma yang serius juga berisiko tinggi untuk mengalami kegagalan fungsi sistem pernafasan. Kegagalan fungsi sistem pernafasan berlaku apabila jumlah oksigen yang memasuki saluran darah dari paru-paru tidak mencukupi.
Mengikut data yang diterbitkan oleh World Health Organisation (WHO) pada tahun 2018, di Malaysia 4.33 orang bagi setiap 100,000 individu meninggal dunia disebabkan asma. Oleh itu, penyakit asma perlu dikawal dan dirawat dengan baik agar tidak menjadi serius sehingga menyebabkan komplikasi dan meragut nyawa.
5. Gangguan tidur
Penyakit asma juga boleh mempengaruhi gaya hidup anda. Asma kerap dikaitkan dengan penurunan kualiti tidur. Ini adalah kerana kebanyakan penghidap asma mengalami gejala pada waktu malam, seperti batuk, sakit dada atau sesak nafas.
Kekurangan tidur yang berkualiti menjadikan seseorang sukar fokus dan mengantuk pada waktu siang dan ini mempengaruhi rutin hidup sebagai seorang pelajar, suri rumah atau ketika bekerja.
Di samping itu, penghidap asma juga lebih berisiko mendapat apnea tidur obstruktif (obstructive sleep apnea), yang menyebabkan perhentian pernafasan sementara semasa tidur. Gejala ini adalah serius dan memerlukan perhatian perubatan dengan lebih lanjut.
6. Kesukaran melibatkan diri dalam aktiviti fizikal
Sesetengah individu yang menghidap penyakit asma akan menghadapi kesukaran untuk melibatkan diri dalam senaman atau sebarang aktiviti fizikal lain.
Serangan asma ketika bersenam adalah salah satu pencetus asma yang biasa dalam kalangan penghisapnya. Kekurangan aktiviti fizikal seperti bersenam dan bersukan boleh meningkatkan risiko seseorang menghidapi penyakit dan komplikasi lain, seperti:
Diabetes Mellitus Jenis II (kencing manis)
Pertambahan berat badan
Tekanan darah tinggi
Osteoporosis
Penyakit jantung
7. Menjejaskan kesihatan mental
Penyakit asma juga dapat menjejaskan kesihatan mental seseorang. Kajian menunjukkan bahawa pesakit asma mempunyai kadar simptom kemurungan (depression) dan keresahan (anxiety) yang lebih tinggi berbanding individu lain.
Ini amat membimbangkan kerana kemurungan dan keresahan boleh menyebabkan seseorang berasa kurang berkemampuan dan akan menghadapi kesukaran untuk menguruskan penyakit asma mereka sendiri.
Asma merupakan penyakit kronik yang serius dan boleh memberi pelbagai kesan kepada penghidapnya dari segi mental dan fizikal. Selain itu, pengurusan asma juga boleh menjadi suatu kerunsingan dan beban buat penjaga-penjaga penghidap asma.
Kawalan asma yang baik dan mengurangkan kekerapan serangan asma dengan mengelak pencetus adalah antara cara yang baik untuk mencegah daripada penyakit asma menjadi serius.
Hadiri janji temu dengan doktor anda dan dapatkan nasihat tentang cara bersenam dan pemakanan serta aktiviti yang boleh membantu anda menangani penyakit ini dengan baik.
* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall