Bagaimana Mengelak Serangan Asma & Mengawalnya Dengan Berkesan?

Rawatan Asma - Cara Mengawal Asma Dengan Berkesan - DoctorOnCall

Umum mengetahui bahawa penyakit asma merupakan salah satu penyakit kronik yang utama dan perlu diberi perhatian yang serius. Penyakit ini terjadi disebabkan oleh keradangan pada sistem saluran pernafasan seterusnya mengakibatkan saluran paru-paru menjadi sempit dan menyukarkan pesakit untuk bernafas. Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019, terdapat pertambahan dalam kalangan individu di Malaysia yang menghidap penyakit asma sebanyak 15.8% dan angka ini agak membimbangkan. Setakat ini tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit asma dengan sepenuhnya tetapi penyakit ini boleh dikawal dengan penggunaan ubat yang betul. Justeru, pendidikan mengenai rawatan asma adalah penting untuk meredakan penyakit ini seterusnya mengurangkan risiko kadar kematian. 

Kaedah Rawatan Asma

Kaedah rawatan asma terbahagi kepada dua iaitu farmakologikal iaitu dengan ubat-ubatan dan bukan farmakologikal atau tanpa ubat-ubatan.


Rawatan asma dengan ubat-ubatan

Rawatan asma boleh diubati dengan pengambilan ubat-ubatan secara teratur. Penyakit asma dan cara penyembuhan biasanya bergantung kepada beberapa faktor seperti usia, gejala dan faktor pencetus. Lazimnya rawatan asma terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ubat pelega yang bertindak untuk jangka pendek manakala ubat pencegahan dan ubat kawalan bertindak untuk jangka masa panjang. Ubat ini diberikan mengikut keperluan dan tahap penyakit asma yang dihadapi oleh seseorang.


Ubat pelega (reliever)

  • Terbutaline
  • Salbutamol

Ubat pelega atau juga dipanggil sebagai bronkodilator atau dikenali sebagai short-acting β-agonists bertujuan untuk melegakan dan membuka saluran pernafasan lalu menjadikannya lebih mudah untuk bernafas. 

Ubat pelega diambil dalam situasi seperti sesak nafas, nafas berbunyi secara tidak teratur, sakit dada atau batuk. Pelega yang biasa digunakan datang dalam bentuk alat penyedut (puffer) berwarna biru atau kelabu yang memberi kesan yang lebih pantas. Namun, ubat ini bertindak memberi kesan kelegaan hanya untuk jangka masa yang pendek kepada pesakit. Contoh ubat pelega adalah seperti terbutaline (bricanyl), dan salbutamol (ventolin). 

Seseorang yang menghidap asma perlu membawa ubat ini kemana sahaja mereka pergi bagi menghadapi serangan asma akut yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Ubat ini berfungsi dalam masa beberapa minit dan mampu bertahan sehingga 4 atau 6 jam sahaja dan anda perlu mengulangi penggunaan ubat ini secara berkala. 

Rawatan asma ini disyorkan bagi mereka yang menghadapi gejala yang tidak kerap. Walau bagaimanapun, ubat ini mempunyai kesan sampingan seperti kegelisahan, berpeluh, kekejangan otot dan menggigil.

Bagi serangan asma yang serius, ubat pelega mungkin tidak mencukupi untuk melegakan serangan asma, jika ini berlaku, pesakit perlu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut seperti penggunaan nebuliser dan lain-lain. 


Ubat pencegah (preventer)

  • Beclometasone
  • Montelukast
  • Nedocromil

Ubat pencegah membantu mengawal gejala asma dengan mencegah serangan asma. Penggunaan ubat ini dapat mengurangkan keradangan seperti kemerahan atau bengkak pada saluran pernafasan lalu menjadikan paru-paru kurang sensitif. 

Ubat pencegah kebiasaannya mengandungi steroid dan digunakan dua kali sehari yang bertindak membuka saluran dan melegakan pernafasan. Ubat kortikosteroid seperti beclometasone berwarna coklat atau merah perlu digunakan secara terkawal selama beberapa bulan dan dos pencegah boleh dikurangkan setelah simptom beransur reda mengikut nasihat daripada doktor. 

Ubat pencegah kortikosteroid biasanya diberikan oleh doktor kepada pesakit yang mengalami simptom asma dua atau tiga kali dalam masa sebulan. Ubat pencegah mengambil masa selama beberapa hari atau minggu sebelum menunjukkan kesan dan tindak balas. Oleh itu, anda disarankan untuk menggunakan ubat ini setiap hari meskipun tidak bergejala. 

Ubat pencegah berbentuk kortikosteroid mempunyai kesan sampingan seperti kandidiasis pada mulut dan tekak. Oleh itu, anda digalakkan untuk berkumur setelah mengambil ubat jenis ini bagi mengelakkan jangkitan kulat yang tidak diingini. 


Ubat kawalan (controller) 

  1. Salmeterol
  2. Fluticasone

Ubat kawalan mempunyai kegunaan dua dalam satu iaitu gabungan pelega dan kortikosteroid yang bertindak dalam jangka masa yang lama dipanggil sebagai 'long-acting β-agonists'. 

Ubat ini diberi untuk rawatan asma yang kronik yang sukar dikawal dengan ubat pencegah atau ketika mendapat serangan asma yang mendadak seperti selepas bersukan atau melakukan aktiviti yang lasak. 

Ubat sedutan ini dapat memberi kelegaan pada saluran pernafasan selama 12 jam. Antara kesan sampingan ubat ini adalah seperti sakit kepala, gementar, kekejangan, loya, sakit sendi dan sebagainya. 


Ubat alahan

Ubat alahan atau alergi boleh membantu pesakit asma terutamanya bagi mereka yang mendapat serangan asma akibat alergi. Antara contoh ubat alahan adalah seperti anti-histamin.

Terdapat juga rawatan suntikan alahan atau dipanggil sebagai imunoterapi yang boleh diberikan dari semasa ke semasa secara beransur-ansur untuk mengurangkan tindak balas sistem imun terhadap alergen tertentu. Suntikan ini akan diberikan secara mingguan atau bulanan bergantung kepada tahap alergi yang dihadapi seseorang. Namun kaedah ini agak kompleks kerana terdapat pelbagai alergen yang wujud dan tindak balas pesakit terhadap jenis alergen adalah berbeza.


Rawatan asma melalui gaya hidup 

Selain mengetahui jenis ubat untuk rawatan asma, rawatan asma di rumah juga boleh dilaksanakan dengan perubahan gaya hidup.

1. Kenali jenis alergen dan elakkan dari terdedah kepada risiko yang membawa kepada serangan asma seperti asap rokok, bulu haiwan peliharaan, habuk, debunga, bauan seperti detergen atau parfum serta ubatan yang mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatan anda.

2. Sentiasa amalkan gaya pemakanan hidup sihat dan lakukan aktiviti fizikal seperti senaman yang bersesuaian dengan keadaan anda. Terdapat banyak aktiviti yang mengeluarkan peluh yang anda boleh lakukan tanpa rasa khuatir akan memberi kesan kepada serangan asma. Antara aktiviti yang disarankan seperti berjalan kaki, yoga, meditasi atau tai-chi. 

3. Pastikan anda mempunyai jadual pemakanan yang teratur dan elakkan makanan yang dapat meningkatkan tahap mukosa atau keradangan sebaliknya sentiasa banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. 

4. Sentiasa dapatkan nasihat dan pemantauan dari doktor. Penuhi setiap temujanji anda di hospital. Pastikan anda mematuhi dos ubat yang telah di preskripsi kepada anda dan menggunakan ubat dengan cara yang betul seperti yang diarahkan oleh doktor. 

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall