Ketahui Derita Penghidap Penyakit Endometriosis Dan Puncanya
Endometriosis adalah penyakit yang sering dialami oleh golongan wanita tanpa mengira usia yang berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor. Ramai yang masih belum mengerti maksud endometriosis yang sebenar dan apa itu endometriosis. Penyakit ini terjadi apabila tisu yang sepatutnya berada di dalam dinding rahim tumbuh pada bahagian atau organ di luar rahim. Meskipun tisu ini tumbuh pada bahagian luar rahim, namun proses menstruasi masih boleh berlaku seperti biasa tetapi akan menimbulkan rasa sakit dan mampu mempengaruhi kadar kesuburan bagi seorang wanita serta menjejaskan peluang untuk hamil. Jika dibiarkan berlarutan tanpa rawatan, tisu yang tumbuh berpotensi untuk pecah dan menyebabkan pendarahan yang banyak serta akan memberi kesan untuk jangka panjang.
Apa Itu Endometriosis?
Istilah endometriosis yang sebenar boleh ditakrifkan keadaan dimana selaput endometrium tumbuh secara abnormal pada bahagian luar dinding rahim yang dipanggil sebagai ektopic contohnya ia boleh tumbuh pada bahagian ovari, tiub fallopia, otot posterior ligamen, atau bahagian pelvik iaitu sendi dan usus yang mengakibatkan senggugut yang teruk, pendarahan yang tidak normal sama ada terlalu banyak atau terlalu sedikit dan sering sakit pada bahagian bawah perut atau pada sekitar kawasan pelvik.
Dianggarkan bahawa terdapat 10 hingga 15 peratus wanita mengalami penyakit ini saban tahun. Malangnya kebanyakan wanita tidak mendapat diagnosis awal berkaitan penyakit mereka dan hanya mengetahui apabila penyakit berada pada tahap kronik sehingga memberi kesan terhadap mutu dan kualiti hidup mereka. Endometriosis cyst merupakan keadaan terjadinya pergumpalan tisu di dalam ovari sama ada satu atau kedua-duanya bahagian yang dipanggil juga sebagai endometrioma. Tisu ini kebiasaannya tumbuh sekecil dua inci dan boleh membesar kira-kira 8 inci. Justeru, adalah penting untuk mendapatkan rawatan iaitu sama ada melalui ubatan atau pembedahan untuk membuang cyst bergantung kepada keadaan pesakit.
Berbeza pula dengan adenomyosis, ia merupakan keadaan dimana tisu endometrium tumbuh pada bahagian otot rahim. Lazimnya ramai wanita tidak menyedari mereka mengalami adenomyosis kerana penyakit ini jarang menunjukkan kehadiran simptom. Dianggarkan sekitar 25-65 peratus wanita mengalami penyakit ini dan jumlah kian meningkat.
Punca Endometriosis
Sehingga kini tidak ada jawapan yang tepat berkenaan faktor berlakunya endometriosis. Namun kebanyakan penyelidik hanya dapat memberikan jawapan secara teori. Antara kemungkinan berlakunya endometriosis adalah seperti berikut:
1. Menstruasi ‘retrograde’
Menstruasi retrograde adalah antara teori lama yang digunakan pakai sehingga kini dan dikatakan bahawa 90% daripada kajian ini boleh dipercayai. Keadaan ini berlaku dimana darah haid yang sepatutnya keluar dari rahim melalui saluran faraj sebaliknya memasuki kembali tiub fallopia seterusnya memasuki ruang pelvis. Keadaan ini normal bagi kebanyakan wanita tetapi jika kerap akan menyebabkan berlakunya endometriosis dan boleh menyebabkan risiko masalah kesihatan yang lain.
Sistem imuniti yang lemah lazimnya menjadi penyebab kepada pelbagai masalah kesihatan. Sistem imun yang sihat biasanya dapat mengenalpasti jika berlaku sebarang abnormaliti pada sel seterusnya menghancurkan sel yang jahat tetapi seseorang yang mempunyai sistem imun yang lemah tidak dapat menghasilkan enzim yang efektif dan gagal untuk memusnahkan tisu endometrium yang tumbuh di luar rahim. Justeru, faktor pemakanan haruslah dititikberatkan kerana ia memainkan peranan penting terhadap kekebalan sistem tubuh untuk melawan penyakit.
3. Kesan daripada pembedahan
Sesetengah wanita yang pernah menjalani pembedahan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat endometriosis terutama bagi wanita yang pernah mengalami sejarah pembedahan beberapa kali akibat bersalin secara cesarean atau histerektomi. Pembedahan cesarean berkemungkinan mencederakan lapisan endometerium, seterusnya menjadikannya sel-sel endometrium mudah melekat antara satu sama lain dan bergerak ke luar dari kawasan rahim.
4. Masalah hormon yang tidak stabil
Masalah hormon yang tidak stabil turut menyumbang kepada penyakit endometrosis. Untuk memastikan organ reproduktif wanita berjalan dengan lancar, penghasilan hormon estrogen dan progesteron haruslah seimbang. Jika terdapat ketidakseimbangan pada hormon ini maka berlaku gangguan kepada sistem reproduktif wanita selain endometrosis seperti pengaliran darah yang tidak normal, PMS, fibroid, keletihan, seterusnya mengakibatkan masalah seperti kegelisahan dan kemurungan. Terdapat sejenis hormon pada estrogen dipanggil sebagai estradiol yang berperanan untuk mengawal tisu pada rahim. Jika anda mempunyai penyakit endometriosis, kenaikan paras hormon ini dengan kadar yang tinggi akan mencetuskan keradangan dan rasa sakit yang kronik manakala wanita hamil yang menghidap endometriosis mendapati gejala kesakitan berkurangan kerana berlaku peningkatan kadar hormon progesteron yang mengawal sistem reproduktif semasa mereka hamil.
5. Faktor genetik
Seseorang yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap endometriosis juga mempunyai kemungkinan untuk mendapat menghidap endometriosis kerana genetik merupakan antara faktor terbesar yang menjadi kepada punca penyakit yang dialami oleh manusia. Selain itu wanita yang melahirkan anak pada usia yang lewat juga berpotensi untuk mengalami endometriosis.
Siapakah Yang Berisiko Menghidap Penyakit Endometriosis?
Wanita yang tidak pernah melahirkan anak dikatakan mempunyai risiko untuk mengalami endometriosis kerana penghasilan hormon semasa hamil dan melahirkan bayi mampu melindungi seorang daripada mendapat penyakit berbahaya termasuklah kanser.
Seseorang yang mengalami haid pada usia awal di bawah 12 tahun lebih berisiko tinggi.
Wanita yang melalui menopaus pada usia yang lewat turut berpotensi mendapat penyakit endometriosis yang dikaitkan dengan metaplasia, situasi dimana berlakunya perubahan sel kepada bentuk yang tidak normal pada tisu yang biasa ditemui.
Inidvidu yang mengalami kitaran haid yang singkat atau terlalu lama melebihi 7 hari turut menyumbang kepada penyakit endometriosis.
Untuk maklumat lanjut, sila berhubung dengan doktor atau ahli farmasi anda.
Maklumat yang diberikan adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh mengganti nasihat oleh pengamal perubatan berdaftar. Maklumat ini tidak boleh digunakan untuk menentukan masalah kesihatan atau untuk tujuan ubatan sendiri. Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kerugian yang timbul daripada penggunaan maklumat yang diberikan
Buat Kuiz penilaian kendiri Endometriosis untuk melihat sama ada anda berisiko menghidap endometriosis. Ketahui jika anda berisiko tinggi menghidap endometriosis dan bercakap dengan Pakar Sakit Puan kami secara sekarang!
Artikel pendidikan ini dibawakan kepada anda dengan kerjasama Bayer.
Approval code PP-VIS-MY-0223-1 (02/22)