Jangkitan Coronavirus

Adakah Coronavirus Boleh Dirawat & Apakah Cara Untuk Mencegahnya?

Baca Soalan

Rawatan

Rawatan novel coronavirus (2019 n-CoV) hanya terhad kepada pengurusan simptomatiknya. Pesakit yang dijangkiti harus dirawat mengikut tanda-tanda yang dimanifestasi mereka dan tujuan rawatan adalah untuk melegakan gejala serta simptom pesakit serta ianya bertujuan sebagai penjagaan sokongan. Jika pesakit telah pergi ke tahap yang lebih teruk, maka rawatan harus lebih fokus kepada sokongan organ vital dan untuk memastikan pesakit dalam keadaan yang stabil.

Prosedur Di Hospital

Dalam keadaan di hospital, sebaik sahaja pesakit disyaki atau disahkan dijangkiti jangkitan nCoV, mereka akan diuruskan mengikut strategi jangkitan dan kawalan pencegahan (IPC). Mereka akan diasingkan dengan segera dari pesakit lain di kawasan berasingan. Kakitangan kesihatan kemudian akan menguatkuasakan langkah berjaga-jaga untuk semua pesakit termasuklah kebersihan tangan dan pernafasan, penggunaan peralatan perlindungan peribadi (PPE), pengurusan sisa yang selamat, linen yang bersih, dan sterilisasi peralatan penjagaan pesakit.

Langkah-langkah untuk Kuarantin

Di samping langkah berjaga-jaga yang piawai, langkah berjaga-jaga empirik lain seperti sentuhan, titisan dan langkah berjaga-jaga udara juga perlu dikekalkan. Pesakit perlu diletakkan di dalam bilik yang mempunyai pengudaraan yang baik dan ianya penting untuk memastikan tingkap dibuka. Semua katil pesakit perlu diletakkan sekurang-kurangnya 1 meter berjauhan tanpa mengira sama ada mereka disyaki mempunyai jangkitan nCoV ataupun tidak supaya risiko penyebaran dapat dikurangkan antara pesakit di hospital. Pekerja kesihatan perlu menggunakan topeng muka, memakai perlindungan mata (googles) atau perlindungan muka untuk mengelakkan membran mukus daripada tercemar, memakai gaun bersih, steril, baju lengan panjang, dan sarung tangan ketika mengendalikan pesakit yang dijangkiti nCoV.

Pencegahan

Walaupun imunisasi dan vaksinasi telah memainkan peranan utama dalam membantu orang ramai mencegah banyak penyakit serius, malangnya tiada vaksin yang tersedia untuk novel coronavirus (n-CoV). Cara terbaik yang seseorang boleh cuba adalah untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada virus ini sendiri. Ini boleh dilakukan dengan mengamalkan langkah pencegahan yang disyorkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Anda disyorkan untuk mencuci tangan dengan kerap dengan sabun dan air. Pastikan anda mengikuti teknik yang betul untuk membasuh tangan dan mencuci sekurang-kurangnya selama 20 saat. Jika sabun dan air tidak tersedia, diingatkan untuk sentiasa membawa pembersih tangan dan menggunakannya dengan kerap. Ia juga penting untuk memakai topeng muka terutamanya semasa menaiki kenderaan atau pengangkutan awam yang sesak atau pergi ke tempat yang sesak seperti di pasar raya, pusat membeli-belah atau ke stesen pengangkutan.

Selain itu, pastikan anda tidak menyentuh mata, hidung dan mulut terutama sekali sebelum mencuci tangan. Tangan digunakan untuk menyentuh banyak benda dan ini akan meningkatkan risiko pencemaran pada tangan kita sendiri. Oleh itu, tidak disyorkan untuk menyentuh kawasan muka yang boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat jangkitan. Tutup hidung dan mulut menggunakan tisu apabila bersin atau batuk dan pastikan anda membuang tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas itu. Diingatkan untuk sentiasa membawa sapu tangan semasa musim wabak ini. Tambahan pula, orang ramai digalakkan untuk mengelakkan daripada mendekati orang yang sakit. Apabila anda mengalami gejala seperti coronavirus novel, dapatkan pemeriksaan kesihatan, tinggal di rumah dan berehat.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?