Terdapat banyak penyebab benjolan di ketiak. Walaupun kebanyakan benjolan di ketiak adalah tidak berbahaya, namun, benjolan di ketiak boleh disebabkan oleh masalah kesihatan yang lebih serius.
Antara sebab utama benjolan di ketiak termasuklah:
- Fibroadenoma
- Sista
- Jangkitan virus atau bakteria
- Lipoma
- Jangkitan kulat
- Penyakit lupus
- Kanser payudara
- Limfoma
- Leukemia
Benjolan di bawah ketiak boleh berlaku kepada lelaki dan wanita dari semua peringkat umur. Walau bagaimanapun, benjolan di bawah ketiak sering membimbangkan kaum wanita kerana ia boleh menjadi petanda kepada kanser payudara. Wanita disarankan untuk melakukan sendiri pemeriksaan payudara pada setiap bulan. Pemeriksaan ini boleh dilakukan ketika mandi atau di bilik tidur untuk mengesan sebarang perubahan pada payudara seperti:
- Perubahan pada puting payudara
- Struktur kulit yang berubah
- Bengkak
- Merah
- Bernanah
- Benjolan pada payudara
Sekiranya terdapat salah satu perubahan yang dinyatakan haruslah dirujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut. Kebiasaannya payudara akan terkesan dengan perubahan hormon semasa kedatangan haid, oleh itu payudara akan lebih sensitif dan sakit ketika ini. Oleh itu, pemeriksaan payudara ini sebaiknya dilakukan dalam 2-3 hari selepas haid berakhir.
Kanser payudara juga boleh terjadi kepada golongan lelaki walaupun jarang berlaku. Oleh itu, seorang lelaki yang mengalami tanda-tanda atau perubahan pada bahagian dada tersebut haruslah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.