Pernahkah anda terlihat dimana terdapat beberapa individu yang kuat makan tetapi badannya masih seperti biasa dan tiada peningkatan terhadap berat badannya. Ataupun, pernahkah anda mengalami peningkatan berat badan tanpa perbezaan pada jumlah pemakanan yang diambil? Apakah kemusykilan dan rahsia terhadap peningkatan dan penurunan berat badan yang sebenarnya? Untuk maklumat anda, sebenarnya berat badan dipengaruhi oleh beberapa faktor yang penting iaitu jumlah kalori yang diambil dan kadar metabolisma badan. Dengan kata mudah, semakin banyak kalori yang diambil, semakin tinggi peluang anda untuk menaikkan berat badan dan semakin tinggi metabolisma badan, semakin tinggi kadar pembakaran lemak dan tenaga yang berlaku di dalam badan seterusnya akan mengakibatkan peningkatan kepada penurunan berat badan.
Daripada hipotesis di atas, kita dapat lihat dimana peningkatan berat badan bermain dengan jumlah kalori yang diambil. Dalam erti kata lain, semakin tinggi kalori yang diambil, semakin tinggi peningkatan berat badan. Sesetengah makanan mempunyai kalori yang tinggi dan sesetengah yang lain mempunyai kalori yang rendah. Anda perlu ingat bahawa kalori tidak mempengaruhi untuk anda kenyang ataupun tidak. Kata mudahnya ialah, jika kalori makanan itu tinggi ia tidak bermaksud yang anda akan kenyang. Sebagai contoh, 1 mangkuk nasi putih mempunyai lebih kurang 130 kilo kalori dimana 1 mangkuk salad hanya mempunyai 13 kilo kalori. Jika anda lihat, kedua-dua jenis makanan ini memberikan tahap kekenyangan yang sama jika ia dimakan dalam jumlah 1 mangkuk. Namun, 1 mangkuk salad memberikan jumlah kalori yang jauh lebih rendah seterusnya menjadikan ia makanan yang lebih baik untuk dimakan untuk anda mengurangkan berat badan berbanding nasi. Jadi, anda tidak perlu risau untuk berlapar kerana tahap kekenyangan dan kelaparan sesuatu makanan adalah bergantung kepada jumlah makanan yang anda ambil dan tidak dipengaruhi oleh jumlah kalori makanan tersebut. Apa yang penting ialah anda perlu sentiasa makan pada waktunya pada jumlah yang normal dan memilih makanan yang mempunyai kalori yang rendah.
Kadar metabolisma badan juga penting dalam konteks penurunan berat badan. Metabolisma badan merujuk kepada proses penghasilan tenaga dan sisa badan. Semakin tinggi kadar metabolisma badan, semakin tinggi kadar pembakaran tenaga simpanan untuk penghasilan tenaga dan semakin tinggi peluang anda untuk menurunkan berat badan. Antara tenaga simpanan yang penting dalam badan ialah glikogen (glycogen) dan lemak (fat). Kadar metabolisma dipengaruhi oleh aktiviti seharian kita dimana individu yang aktif akan mempunyai kadar metabolisma yang lebih tinggi berbanding individu yang pasif. Selain itu, ia juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain seperti jumlah air dalam badan, berat badan, jumlah waktu kita tidur, pemakanan dan banyak lagi. Apabila anda melakukan sesuatu aktiviti, kadar metabolisma akan meningkat dimana ianya akan mengakibatkan proses penukaran glikogen kepada gula untuk menghasilkan tenaga. Anda perlu dingingatkan bahawa pembakaran glikogen akan berlaku sebelum pembakaran lemak dimulakan. Apabila jumlah gula dalam badan berkurang dan jumlah simpanan gula (glikogen) juga berkurang, proses pembakaran lemak akan mula berlangsung. Dengan cara ini, jumlah kalori yang hilang akan meningkat hasil daripada proses metabolisma badan dan dalam jangka masa panjang, jumlah lemak dalam badan juga akan berkurangan.