Terdapatkah risiko mempunyai sel darah putih tinggi (High White Cell Count) dan apa puncanya?
Anonymous
Hello doktor. Saya ingin bertanya tentang sesuatu yang dijumpai selepas saya mengambil ujian darah pada minggu lepas. Dua minggu lepas, saya telah ke klinik kerana sesak nafas. Sesak nafas ini bukanlah masalah yang baru kerana saya telah mengalami penyakit asma sejak kecil lagi. Semasa saya menjangkau umur dewasa, kekerapan mendapat asma kurang. Semasa saya berjumpa dengan doktor di klinik pada minggu lepas, saya diberi ubat seperti penyakit asma. Simptom saya beransur baik. Minggu seterusnya, saya telah demam panas selepas beberapa hari.Oleh kerana risau penyakit denggi, doktor saya mengambil sampel darah untuk menguji jika saya menghidapi denggi. Keputusan menunjukkan bahawa denggi negatif tetapi doktor saya juga memberitahu saya bahawa jumlah sel darah putih tinggi lebih dari biasa. Ia hanya meningkat lebih sedikit daripada kiraan normal dan doktor saya mengkhabarkan bahawa ia bukan perkara yang merisaukan. Saya sudah beransur sihat tetapi saya masih tertanya-tanya jika darah putih yang berlebihan akan membawa bahaya kepada saya. Perlukah saya mengambil darah sekali lagi untuk memantau jumlah sel darah putih saya? Terdapatkah cara untuk mengatasi masalah ini.
Anonymous
Hello doktor. Saya ingin bertanya tentang sesuatu yang dijumpai selepas saya mengambil ujian darah pada minggu lepa... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Terima kasih atas soalan anda. Untuk menjawab soalan anda, bacaan sel darah putih yang meningkat boleh disebabkan pelbagai perkara. Sel darah putih adalah salah satu sel imuniti dalam badan manusia. Sel ini berfungsi melawan dan menghapuskan objek asing yang masuk ke dalam tubuh seperti virus dan bakteria, maka jumlah sel ini akan meningkat apabila keadaan ini berlaku. Namun begitu, ia juga boleh meningkat akibat faktor lain seperti tekanan, radang, kecederaan, alergi dan penyakit-penyakit lain.
Dalam kes anda, ubat yang digunakan untuk merawat asma anda mungkin adalah sejenis steroid dan ubatan jenis ini boleh meningkatkan sel darah putih. Selain itu, anda juga menghidap demam panas dan peningkatan sel darah putih tersebut boleh disebabkan oleh sebarang jangkitan atau keradangan yang menjadi penyebab demam tersebut. Keputusan ujian darah perlu dilihat dan dinilai secara menyeluruh dari aspek keadaan dan pemeriksaan ke atas pesakit dan bukannya bergantung kepada nilai bacaan ujian tersebut sahaja.
Terima kasih atas soalan anda. Untuk menjawab soalan anda, bacaan sel darah putih yang meningkat boleh disebabka... See More
Apakah jenis sel darah putih?
Darah kita yang berwarna merah adalah disebabkan pigmen dalam sejenis sel darah iaitu sel darah merah. Fungsi sel darah merah adalah untuk membawa oksigen yang bergabung dengan hemoglobin supaya sel-sel dalam badan boleh mengguna oksigen tersebut untuk menghasilkan tenaga.
Dalam darah kita juga terdapat sejenis lagi kumpulan sel darah iaitu sel darah putih. Terdapat banyak jenis sel darah putih dan fungsi utama kesemua jenis sel darah putih ini adalah untuk melawan jangkitan kuman atau bahan yang bukan berasal dari badan.
Terdapat lima jenis sel darah putih utama di dalam darah. Sel-sel ini boleh meresap ke dalam tisu dari saluran darah untuk melawan jangkitan. Berikut adalah senarai jenis sel darah putih dan fungsi mereka:
Neutrofil: Ini merupakan jenis sel darah putih yang paling banyak berada di dalam darah. Neutrofil sangat penting kerana ia mampu bergerak dengan aktif. Melalui proses fagositosis, kuman bakteria dan badan asing akan ditelan oleh sel neutrofil dan dihancurkan. Neutrofil juga memainkan peranan dalam proses peradangan.
Eosinofil: Merangkumi antara satu hingga enam peratus dari jumlah sel darah putih. Ia memainkan peranan penting dalam proses alahan. Ia juga mampu membunuh organisme jenis prasit. Jumlah eosinofil yang tinggi mungkin menandakan terdapatnya proses alahan.
Basofil: Hanya merangkumi satu peratus dari sel darah putih. Ia mempunyai peranan dalam proses alahan dan dalam proses pembaikan selepas anda luka akibat kecederaan. BAsofil mengandungi heparin, sejenis bahan yang mengelakkan penggumpalan darah.
Limfosit: Merangkumi hampir dua puluh lima peratus dari jumlah sel darah putih. Limfosit mampu mengingati jenis jangkitan yang pernah mengancam badan dan ini menubuhkan reaksi yang lebih laju dan kuat. Terdapat dua kategori limfosit iaitu Sel B dan Sel T. Peranan Sel B adalah untuk mengenali antigen badan asing dan menjadi anitbodi. Sel T dikategorikan lagi dalam beberapa kumpulan dan peranan utama kumpulan sel T adalah melawan badan asing seperti virus, sel kanser dan sel asing seperti organ yang diterima dari pemindahan.
Monosit: Jenis sel darah yang saiznya paling besar. Seperti neutrofil, ia menghancurkan kuman melalui proses fagositosis. Walaubagaimanapun, jangka hayatnya lebih lama dari neutrofil. Monosit merangkumi dua hingga sepuluh peratus dari sel darah putih.
Apakah penyebab darah putih tinggi?
Senarai di bawah adalah antara penyebab utama terjadinya peningkatan jumlah sel darah putih:
Jangkitan kuman: Sel darah putih boleh meningkat akibat jangkitan virus atau bakteria. Dalam sistem imunisasi badan yang normal, sumsum tulang akan mengeluarkan lebih banyak sel darah putih apabila serangan virus atau bakteria dikesan.
Keradangan: Terdapat banyak jenis penyakit yang menyebabkan keradangan termasuk alahan dan jangkitan. Antara penyakit ini adalah asma, ‘rheumatoid arthritis’, Crohn’s dan sebagainya.
Melecur atau terbakar: Bahagian tubuh yang melecur atau terbakar juga boleh menyebabkan keradangan dan jangkitan.
Pembedahan: Selepas seseorang melalui pembedahan, jumlah darah putih akan meningkat. Doktor akan memantau tanda-tanda lain untuk memastikan perkara ini bukan berlaku akibat jangkitan pada luka pembedahan.
Ubat-ubatan: Pengambilan ubat - ubatan seperti steroid boleh menyebabkan sel darah putih meningkat.
Stres/tekanan: Tekanan emosi atau fizikal boleh meningkatkan jumlah sel darah putih.
Penyakit sumsum tulang: Sumsum tulang adalah tempat penghasilan sel darah putih dan merah. Sebarang masalah di bahagian ini boleh menyebabkan penghasilan sel darah putih terlalu tinggi atau terlalu rendah.
Kanser darah
Dua kumpulan utama kanser darah adalah leukemia dan lymphoma. Berikut adalah senarai gejala yang berkaitan dengan kanser darah.
Anemia - paras darah merah yang rendah
Lesu, cepat berasa penat, sesak nafas, pening kepala, jantung berdebar
Sering demam
Badan terasa lemah
Berpeluh dengan banyak pada waktu malam
Mudah lebam
Pendarahan pada hidung dan gusi
Masalah haid yang terlalu banyak
Lebih sering diserang jangkitan kuman dan jangkitan lebih serius
Kelenjar limfa bengkak
Turun berat badan tanpa sebab
Apakah risiko sel darah putih tinggi?
Jumlah sel darah putih meningkat bukanlah sesuatu yang bahaya dan tidak membawa risikonya yang tersendiri tetapi ia menjadi tanda atau gejala kepada beberapa punca yang mungkin membawa bahaya atau mengancam kesihatan. Secara umumnya, sel darah putih akan meningkat kerana sebab - sebab yang sudah pun diterangkan.
Apakah rawatan darah putih tinggi?
Oleh sebab darah putih tinggi berlaku akibat masalah kesihatan lain tiada rawatan yang khusus untuk merendahkan jumlah sel darah putih tinggi. Dengan merawat punca masalah yang berkaitan, dapat mengembalikan paras normal sel darah ini di dalam tubuh.
Jika terdapat seberang kemusykilan, sila berjumpa dengan doktor. Anda juga boleh bertanya dengan doktor di www.doctoroncall.com.my.
References
1. What to know about high white blood cell count, Medical News Today
2. Leukemia, MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia