Biasakah bagi bayi mendapat ekzema (Eczema) dan apa gejalanya?

Anonymous

Selamat pagi, doktor. Saya seorang remaja yang berusia 20 tahun yang sedang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi dan sangat aktif dalam aktiviti kokurikulum dan sukan. Saya mempunyai penyakit asma dari kecil. Sejak beberapa bulan yang lalu, saya telah mengalami sejenis ruam kulit pada bahagian siku dan ada kalanya pada kaki. Ruam kulit ini beradang dan amat gatal menyebabkan saya menggaru sehingga ia berdarah. Ruam kulit ini menjejaskan penampilan diri saya.

Oleh itu, saya telah berjumpa dengan doktor dan beliau mengatakan bahawa ruam kulit tersebut merupakan sejenis ekzema. Beliau memberi ubat sapuan krim untuk bahagian badan yang terjejas. Walau bagaimanapun, gejala kegatalan tidak bertambah baik malah menjadi semakin teruk di mana ia sekarang melibatkan bahagian badan yang lain seperti leher dan lipatan lutut. Saya risau sekiranya keadaan ini akan menjejaskan penampilan diri saya. Ibu saya juga pernah mengalami masalah kulit ini tetapi keadaannya terkawal. Apakah harus saya lakukan, doktor?

Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang remaja yang berusia 20 tahun yang sedang belajar di sebuah institusi pengajian tin... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih atas soalan anda. Penyakit kulit ekzema (Eczema) adalah sejenis keadaan kulit yang menyebabkan kegatalan dan keradangan kulit. Kebanyakan pesakit boleh menguruskan penyakit ekzema dengan rawatan perubatan dan dengan mengelakkan aktiviti atau perbuatan yang akan menyebabkan kerengsaan. Anda harus berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang efektif untuk keadaan anda. Doktor anda mungkin akan menukar ubatan yang sedia ada atau mengesyorkan terapi atau rawatan lain berdasarkan tahap serius anda. Keadaan ini bukan penyakit yang mudah merebak.

Terima kasih atas soalan anda. Penyakit kulit <b>ekzema (Eczema)</b> adalah sejenis keadaan kulit yang menyebabkan ke... See More

Apakah itu ekzema?

Ekzema (eczema) adalah istilah untuk sekumpulan keadaan perubatan yang melibatkan keradangan dan kegatalan kulit. Ekzema yang paling biasa dihidapi orang ramai adalah dermatitis atopik (atopic dermatitis), atau ekzema atopik (atopic eczema). Atopik merujuk kepada sekumpulan penyakit yang mempunyai kecenderungan untuk diwarisi sehingga menyebabkan perkembangan keadaan alahan lain misalnya asma dan demam Hay.

Ekzema boleh menjejaskan golongan bayi, kanak-kanak dan orang dewasa. Sesetengah bayi boleh mengalami keadaan ini untuk beberapa tahun sahaja manakala terdapat segelintir individu pula boleh mengalami tanda-tanda ekzema untuk sepanjang hayat. Ia sering berlaku di wajah bayi, di siku dan di belakang lutut kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Dengan kaedah rawatan yang betul, penyakit ini mudah dikawal.

Ekzema bermula dengan lepuh kecil yang mengandungi cecair yang jelas di atas plak berwarna merah dan kulit yang tebal. Apabila lepuh pecah, cecair tersebut akan mengalir keluar. Bagi ekzema jenis kronik, lepuh kurang menonjol tetapi kulit menjadi tebal dan kelihatan pucat. Ekzema sering menyebabkan simptom gatal.

Apakah jenis-jenis ekzema?

  • “Atopic dermatitis”: Keadaan kulit ini sering kali diwarisi secara genetik dan merupakan jenis ekzema yang paling lazim. Ruam kulit tersebut berlaku pada pipi, leher, siku, lipatan lutut, dan pergelangan kaki.
  • “Irritant dermatitis”: Keadaan ini berlaku apabila kulit berulang kali terdedah kepada bahan pencuci yang berlebihan atau bahan toksik.
  • “Allergic contact dermatitis”: Selepas pendedahan berulang kepada bahan yang sama, sistem imun badan menjadi aktif di tempat yang terdedah kepada bahan tersebut dan menghasilkan dermatitis. Contohnya alahan racun ivy.
  • “Stasis dermatitis”: Ia biasanya berlaku kepada individu dengan kaki yang bengkak akibat peraliran darah yang lemah di urat kaki.
  • Jangkitan kulat: Jangkitan ini menghasilkan corak yang serupa dengan jenis ekzema lain, tetapi terdapat jangkitan kulat apabila sampel kulit digambarkan di bawah mikroskop atau ditumbuhkan dalam bahan “culture”.
  • “Scabies”: Scabies berpunca daripada jangkitan microorganisma yang dipanggil Sarcoptes scabiei. Simptom termasuk kegatalan kulit dan ruam yang kelihatan serupa dengan ekzema.
  • “Pompholyx (dyshidrotic eczema)”: Penyakit kulit yang biasa dijumpai tetapi kurang difahami. Keadaan kulit ini menjejaskan tangan serta kaki dan menghasilkan ruam gatal berbentuk lepuh kecil (“vesicles”) pada jari tangan atau kaki dan telapak tangan atau tapak kaki.
  • “Lichen simplex chronicus”: Ia menghasilkan plak kulit yang tebal yang biasa dijumpai pada bahagian hadapan kaki dan leher.
  • “Nummular ekzema”: Ini adalah istilah untuk plak berbentuk duit syiling yang paling kerap dijumpai kaki bahagian bawah kaki dalam golongan warga berusia.
  • “Seborrheic dermatitis”: Ia merupakan ruam pada kulit kepala, muka, telinga, dan kadang-kadang di tengah dada orang dewasa. Ruam pada golongan bayi pula boleh terbentuk di belakang telinga atau seluruh badan.
  • “Dyshidrotic dermatitis”: Masalah kulit ini menjejaskan jari, telapak tangan, dan tapak kaki. Simptom melibatkan kegatalan kulit, tompok-tompok kulit bersisik yang berubah menjadi merah, retak, dan menyakitkan. Keadaan ini lebih biasa terjadi kepada para wanita.

Apakah penyebab ekzema?

Penyebab sebenar ekzema tidak diketahui dan tidak difahami sepenuhnyatetapi ia dipercayai berkaitan dengan tindak balas sistem imun badan yang terlalu sensitif terhadap kerengsaan. Ekzema juga disebabkan oleh tindak balas yang tidak normal terhadap protein yang merupakan sebahagian daripada sel tubuh badan. Antara penyebab yang meningkatkan risiko untuk mengidap ekzema adalah:

  1. Sejarah alahan lain atau asma dalam keluarga.
  2. Kecacatan pada sistem perlindungan kulit boleh menyebabkan lapisan kulit kehilangan kelembapan dan terdedah kepada jangkitan kuman.
  3. Bersentuhan dengan bahan kasar.
  4. Pendedahan kepada cuaca atau keadaan yang terlalu panas atau terlalu sejuk.
  5. Pendedahan kepada produk rumah tertentu seperti sabun atau detergen.
  6. Bersentuhan dengan dander haiwan.
  7. Tekanan atau stres.
  8. Kain yang diperbuat daripada material sintetik.
  9. Peluh badan.
  10. Penurunan mendadak dalam tahap kelembapan sekeliling.
  11. Alahan makanan

Apakah gejala ekzema?

Ekzema menyebabkan simptom kulit gatal, kering, kasar dan meradang. Gejala ekzema mampu menyerang dan pulih secara sendiri. Ia boleh berlaku di mana-mana bahagian badan terutamanya di kawasan lengan, siku, belakang lutut, atau kepala (terutama pipi dan kulit kepala). Ia bukan penyakit mudah merebak dan menjadi kurang teruk mengikut usia. Antara gejala penyakit kulit ekzema adalah seperti yang berikut:

  • Tompok merah atau coklat-kelabu.
  • Lepuh kecil yang mengandungi cecair jernih dan akan mengalir keluar.
  • Kulit boleh menjadi berkerak apabila digaru dan terdedah kepada jangkitan bakteria sekunder.
  • Kulit tebal dan bersisik.
  • Kegatalan kulit.
  • Ruam kulit.

Hampir semua pesakit dengan ekzema mengadu kegatalan. Oleh kerana gejala antara penyakit kulit jenis ekzema adalah sama, ciri-ciri plak atau ruam kulit boleh membantu dalam membezakan antara jenis ekzema. Sebagai contoh, ”stasis dermatitis” paling kerap berlaku di bahagain bawah kaki manakala “atopic dermatitis” berlaku di bahagian hadapan siku dan di belakang lutut.

Apakah rawatan ekzema?

Matlamat rawatan untuk ekzema adalah untuk melegakan dan mencegah kegatalan, yang boleh menyebabkan jangkitan.

Perubahan gaya hidup

  • Oleh kerana penyakit ini menjadikan kulit kering dan gatal, losyen dan krim disyorkan untuk memastikan kelembapan kulit. Produk ini digunakan apabila kulit lembap terutamanya selepas mandi agar kulit kekal lembap.
  • Pemampatan sejuk juga boleh digunakan untuk melegakan kegatalan.
  • Untuk mengurangkan tekanan atau stress pesakit boleh mempraktikkan senaman pernafasan dalam, melakukan yoga, bermeditasi, mendengar muzik, dan mengutamakan tidur malam yang nyenyak.

Ubat-ubatan

  • Produk “over-the-counter” (OTC) seperti krim “hydrocortisone” 1% atau krim preskripsi dan salap yang mengandungi kortikosteroid sering disyorkan untuk mengurangkan keradangan. Namun, ubat ini tidak boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang disebabkan kesan sampingan.
  • Jika kawasan yang terjejas dijangkiti, doktor anda akan memberikan antibiotik untuk membasmi bakteria.
  • Ubat “antihistamine” untuk mengurangkan kegatalan kulit.
  • Ubat “cyclosporine” untuk digunakan apabila rawatan lain tidak berkesan.
  • Ubat “topical immunomodulators” (TIM) adalah krim kulit yang berfungsi dengan cara mengubah tindak balas sistem imun badan yang terlalu sensitif.
  • Ubat “immunosuppressants” adalah ubat preskripsi yang menghalang sistem imun daripada bertindak di luar kawalan. Kesan sampingan termasuk peningkatan risiko kanser,penyakit buah pinggang serta kegagalan hati.

Terapi

  • Fototerapi merupakan sejenis terapi yang menggunakan cahaya “ultraviolet” pada kulit untuk membantu mencegah tindak balas sistem imun yang mengakibatkan ekzema. Ia memerlukan beberapa siri rawatan untuk membantu mengurangkan ekzema. Ia juga boleh mencegah jangkitan bakteria pada kulit.

Sekiranya gejala penyakit ekzema anda tidak bertambah baik selepas menjalani rawatan, anda harus merujuk kepada doktor dengan segera . Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada para doktor kami di laman web www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.

References