Organ ini mempunyai fungsi eksokrin dan endokrin dimana eksokrin berfungsi dalam sistem pencernaan manakala endokrin bertindak untuk mengawal selia hormon dalam badan. Sistem pencernaan oleh kelenjar ini bertindak dengan merembes enzim seperti tripsin, lipase dan amilase yang boleh mencerna protein, lemak, dan karbohidrat. Dengan ini, penghadaman makanan akan menjadi lebih lancar. Selain itu, kelenjar ini juga bertindak sebagai organ endokrin dimana ia boleh menghasilkan beberapa hormon untuk mengawal selia kandungan gula dalam darah dan juga untuk mengawal kandungan hormon lain dalam tubuh badan. Antara hormon yang dirembeskan kelenjar ini serta fungsinya ialah:
Insulin adalah hormon yang bertanggungjawab dalam meningkatkan penyerapan, penyimpanan atau pengambilan gula dari darah ke dalam sel. Kandungan gula yang tinggi dalam darah adalah merbahaya kerana ia boleh menyebabkan kerosakan kepada urat saraf dan hal ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti rabun mata, hilang deria pada hujung anggota badan, mati pucuk dan banyak lagi. Ia juga menjadi punca utama untuk penyakit kencing manis dimana pesakit tidak dapat menghasilkan hormon Insulin dengan secukupnya atau sel mereka sudah tidak sensitif lagi dengan tindak balas hormon ini. Dengan meningkatkan pengambilan gula dari darah, hormon ini mampu mengelakkan pesakit untuk mendapatkan komplikasi kencing manis.
Berbeza dengan hormon Insulin, hormon Glukagon bertindak apabila kandungan gula dalam darah menjadi rendah. Glukagon akan mengangkut gula dari sel ke dalam darah. Hal ini akan meningkatkan kandungan gula dalam darah dan membantu tubuh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukagon selalunya aktif bertindak apabila seseorang sedang bersenam atau bersukan dimana tubuh badan akan menggunakan lebih gula untuk menghasilkan tenaga. Perkara ini juga berlaku semasa seseorang sedang berpuasa dimana kandungan gula dalam darah akan menjadi sedikit.
Somatostatin tidak mempunyai fungsi yang spesifik terhadap pengawalan gula dalam darah. Namun, hormon ini boleh bertindak dengan cara menghalang rembesan hormon tumbesaran, hormon Insulin, hormon Glukagon, hormon Gastrin yang berfungsi dalam sistem penghadaman, dan hormon yang berfungsi untuk merangsang hormon tiroid.
Hormon lain yang dirembes oleh kelenjar ini ialah Ghrelin, Pancreatic Polypeptide dan Amylin.