Kenali 7 Penyebab Telinga Berdengung Dan Bagaimana Anda Dapat Merawatnya!

Apakah Penyebab Dan Cara Mengatasi Telinga Berdengung - DoctorOnCall
Anonymous
Salam sejahtera doktor. Nama saya Hairi dan saya ingin bertanyakan kepada doktor mengenai kondisi telinga yang saya alami. Saya berumur 21 tahun dan 2 minggu lepas saya bermain bola dan ketika bermain, saya ada berlaga kepala dengan kawan saya secara tidak sengaja. Selepas pulang ke rumah, saya berasa telinga kiri berdenging terus menerus. Pada masa yang sama saya juga mendapat selesema dan mula menghidap jangkitan telinga. Saya berasa telinga tersumbat akibat selsema disamping sensasi telinga berdengung yang semakin bertambah teruk. Saya ada diberikan ubat antibiotik dan ubat tahan sakit dan selepas kebah dari demam dan sakit telinga, saya masih perasan bahawa dengungan didalam telinga saya tidak hilang. Saya berasa risau sekiranya ia akan berkekalan seperti yang dialami oleh pakcik saya yang berusia 65 tahun. Diharap doktor dapat membantu masalah saya ini. Terima kasih.
Anonymous
Salam sejahtera doktor. Nama saya Hairi dan saya ingin bertanyakan kepada doktor mengenai kondisi telinga yang saya alam... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih atas pertanyaan saudara. Saya memahami kerisauan yang dialami oleh saudara mengenai gejala ini. Telinga berdengung berdesing atau berdenging adalah istilah dalam Bahasa Melayu yang membawa makna yang sama dalam istilah perubatan iaitu “tinnitus”. Terdapat beberapa kemungkinan mengapa saudara mengalami gejala ini antaranya ialah kesan ubat-ubatan seperti ubat antibiotik atau ubat tahan sakit, kesan hentakan pada kepala ataupun penyakit warisan. Informasi lebih mendalam akan saya terangkan didalam artikel dibawah mengenai punca dan cara mengatasi masalah telinga berdenging ini.
Terima kasih atas pertanyaan saudara. Saya memahami kerisauan yang dialami oleh saudara mengenai gejala ini. Telinga ber... See More

Apa yang boleh menyebabkan telinga saya berdengung untuk jangka masa panjang?

Setiap orang pasti akan mengalami sekurang-kurangnya telinga berdengung sekali dalam hidup mereka dan ini boleh disebabkan oleh banyak faktor. Walaubagaimanapun, kebanyakan orang akan mengalami simptom ini untuk masa yang sekejap sahaja. “Tinnitus” ini pada dasarnya bukanlah simptom kepada kondisi perubatan yang berbahaya walaupun terdapat beberapa diagnosis yang memerlukan perhatian yang lebih. Antara penyebab telinga berdesing adalah:

  • Faktor penuaan atau “Presbycusis”

“Presbycusis” adalah istilah perubatan untuk menerangkan kehilangan pendengaran frekuensi tinggi yang sering dialami oleh golongan tua. Ia juga acapkali disertai dengan sensasi telinga berdengung. Gejala ini berlaku mungkin disebabkan oleh keadaan gegendang telinga yang semakin keras atau keadaan otot sekeliling gegendang telinga yang kurang fleksibel. 

  • Pendedahan kepada bunyi kuat berpanjangan

Bagi mereka yang bekerja dalam sektor buruh, pekerja lapangan terbang atau mereka yang sering menggunakan “earphone”/”headphone”, risiko mengalami gejala telinga berdengung berpanjangan adalah lebih tinggi. Hal ini berikutan kerana pendedahan terhadap bunyi kuat berterusan atau berpanjangan pada telinga. 

  • Kecederaan pada kepala ataupun pada tengkuk

Struktur dalaman telinga sangat sensitif kepada perubahan drastik posisi kepala seperti apabila ada hentakan luaran. Trauma atau hentakan pada kepala atau tengkuk boleh menyebabkan struktur yang berfungsi untuk pendengaran dan kestabilan boleh terjejas dan seterusnya menyebabkan “tinnitus”. Ia pada amnya tidak akan berkekalan atau berpanjangan melainkan kecederaan yang dialami tersebut lebih serius. 

  • Jangkitan dalam telinga

Jangkitan dalam telinga atau “otitis media” jarang mempunyai gejala telinga berdesing namun ianya masih boleh berlaku. Jangkitan kuman dalam telinga boleh menyebabkan telinga tersumbat dan juga gegendang telinga pecah disamping gejala lain seperti sakit telinga dan demam. Selesema juga boleh berkait dengan “tinnitus” akibat tiub Eustachian tersumbat. Masalah ini selalunya akan surut apabila jangkitan kuman tersebut juga surut.

  • Kesan ubat-ubatan

Bolehkah ubat-ubatan menyebabkan kondisi “tinnitus” ini? Ya, sememangnya boleh dan terdapat beberapa jenis ubat yang umum dalam dunia perubatan yang telah diketahui kesannya terhadap pendengaran seseorang. Antara ubat yang boleh menyebabkan masalah pendengaran dan berdenging adalah antibiotik seperti gentamicin, ubat tahan sakit seperti aspirin dan ubat anti-malaria. Oleh yang demikian, jika anda atau siapa-siapa yang mengalami masalah berkaitan telinga selepas mengambil ubat-ubat yang diberikan oleh doktor mereka, mereka perlu berjumpa semula dengan doktor mereka bagi pemeriksaan lanjut. 

  • Ketumbuhan Schwannoma Vestibular

Juga dikenali sebagai Neuroma Akustik, ia merupakan ketumbuhan yang berasal daripada urat saraf telinga iaitu urat saraf vestibular. Penyakit ini mempunyai gejala-gejala lain seperti pening/sakit kepala, kebas muka, badan tidak seimbang dan pekak. Kondisi ini lebih ditemui dalam kalangan orang yang lebih tua ataupun yang mempunyai sindrom Neurofibromatosis Jenis 2. 

  • Masalah saluran darah

Saluran darah terbahagi kepada tiga jenis iaitu arteri, vena dan kapilari. Gejala telinga berdengung juga boleh terjadi kerana aliran darah yang tidak selari atau terlalu “bergelora” didalam saluran darah arteri atau vena. Antara saluran yang sering menyebabkan permasalahan ini adalah “Sinus Kavernous-Karotid Fistula” dan “Kecacatan Fistula Arteriovena”. Faktor risiko kepada masalah saluran darah seperti tekanan darah tinggi, masalah pembekuan darah, kolesterol dan gula tinggi boleh menyumbang kepada terjadinya gejala ini. Ia boleh menjadi lebih teruk jika tekanan darah di kepala terlalu tinggi dan menyebabkan strok (angin ahmar). 




Bolehkah doktor terangkan bagaimana cara mengatasi gejala telinga berdengung ini?

Masalah “tinnitus” ini sukar untuk dirawat kerana ia boleh untuk kerap kembali. Cara mengatasi telinga berdengung sebelah kanan dan kiri akan dibincangkan dibawah. Kaedah-kaedah yang dibincangkan dibawah adalah cara bagi pesakit jangka masa panjang untuk mengadaptasi dengan masalah secara psikologi dan ubat-ubatan dan ianya tidak termasuk rawatan khusus bagi punca yang disebabkan oleh masalah saluran darah, trauma mahupun ketumbuhan. Antara langkah-langkah mengatasi masalah telinga berdesing ini adalah:

  • Penggunaan Alat Bantu Pendengaran

Alat bantu dengar sangat berguna sekiranya pesakit “tinnitus” juga mempunyai masalah pendengaran atau pekak. Hal ini kerana dengan menyelesaikan masalah pendengaran, pesakit akan mendapati masalah berdenging ini juga tidak seberapa teruk dan dapat adaptasi bersama dengan alat bantu dengar mereka. 

  • Terapi Latihan Tinnitus

Ini adalah kaedah latihan minda untuk mengabaikan sensasi tidak selesa “tinnitus” untuk pesakit telinga berdengung kronik. Ianya akan dikendalikan oleh pakar dan objektifnya adalah untuk membantu pesakit melatih otak mereka untuk melupakan dan menerima “tinnitus” mereka. Cara psikologi ini memerlukan latihan yang lebih lama dan mungkin tidak semua pesakit dapat menyesuaikannya. 

  • Teknik Maklumbalas-Bio

Teknik ini juga merupakan kaedah psikologi bagi membantu pesakit tinnitus untuk mengadaptasi dengan permasalahan mereka. Pesakit perlu menarik nafas panjang dan dalam semasa berlakunya gejala telinga berdesing dan fokuskan perhatian mereka kepada perkara lain. 

  • Terapi Tingkah-laku Kognitif (“Cognitive Behaviour Therapy”)

Terapi ini juga dikenali sebagai CBT dan ia mempunyai konsep yang hampir serupa dengan teknik/terapi diatas dimana pesakit akan bertemu dengan kaunselor atau pakar CBT untuk belajar teknik mengalihkan tumpuan dan relaksasi semasa berlakunya simptom telinga berdenging ini. 

  • Penggunaan bunyi latar

Apa yang dimaksudkan dengan kaedah ini adalah dengan mendengar bunyi atau lagu untuk memfokuskan otak ke arah bunyi tersebut daripada bunyi berdesing yang dialami oleh pesakit. 

  • Ubat-ubatan

Selain daripada kaedah psikologi, terdapat juga kaedah ubat-ubatan yang boleh digunakan. Namun begitu, keberkesanan mereka adalah terhad kepada beberapa punca telinga berdengung sahaja. Antara ubat-ubatan yang digunakan adalah seperti ubat Misoprostol, ubat steroid (Dexamethasone), ubat bius (Lidocaine) dan ubat anti-sawan iaitu Carbamazepine. Ubat-ubatan untuk masalah “tinnitus” memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor untuk mengetahui punca gejala ini dan jika ianya sesuai ataupun tidak untuk digunakan.

Akhir kata, terdapat pelbagai punca kepada berlakunya telinga berdengung ini dan pemeriksaan rapi oleh doktor adalah amat disarankan bagi menentukan rawatan yang bersesuaian dengan pesakit. 

References