Tubuh wanita mengalami banyak perubahan semasa 12 minggu pertama sewaktu hamil. Hal ini adalah kesan daripada perubahan hormon dalam tubuh yang mempengaruhi hampir setiap organ dalam badan. Kesan daripada itu, beberapa wanita mengalami simptom semasa mengandung seperti:
- Penat
- Sakit perut
- Muntah
- Perubahan emosi
- Payudara menjadi lebih lembut
- Pedih ulu hati
- Kenaikan berat badan
- Sakit kepala
- Mengidam
- Sensitif pada bau atau makanan tertentu
- Sembelit
Tambahan lagi, sekiranya ini adalah kandungan pertama, gejala yang dialami serta kebimbangan untuk persediaan mengandung kali pertama akan memberi cabaran yang hebat buat wanita tersebut dan juga pasangannya. Para wanita yang bakal menjadi ibu mungkin perlu berehat lebih banyak atau makan dalam kuantiti yang lebih kecil. Walaubagaimanapun, tidak semua wanita akan mengalami gejala di atas.
Tips ibu mengandung anak pertama termasuklah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan buku merah jambu di klinik kesihatan sewaktu trimester pertama. Hal ini kerana bakal-bakal ibu juga akan melakukan beberapa ujian serta saringan darah untuk memastikan status kesihatan mereka terjamin sewaktu mereka hamil. Kesemua rekod tentang maklumat kesihatan wanita mengandung akan dicatat dalam buku merah jambu tersebut. Doktor juga akan membuat pertimbangan sama ada wanita mengandung itu memerlukan ubat bagi menjaga kesihatan mereka sewaktu tempoh kehamilan.
Perkembangan saiz janin berlaku dengan pantas pada trimester pertama. Tempoh ini adalah sangat penting kerana berlakunya penanaman janin ke dalam dinding rahim dan pembentukan organ-organ penting dalam tubuhnya. Oleh itu, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini ketika tempoh trimester pertama, kesan buruk boleh berlaku. Para bakal ibu dinasihati agar berhati-hati dalam melakukan aktiviti atau mengambil ubat sepanjang tempoh ini.
Jantung bayi akan mula berdegup pada trimester pertama. Para bakal ibu boleh mendengar degupan jantung bayi mereka menggunakan alat doppler seawal 7 minggu umur kandungan. Menjelang detik-detik akhir trimester pertama, organ seks bayi telah terbentuk. Oleh itu, jantina bayi boleh diketahui seawal 14 minggu umur kandungan. Namun, kebiasaannya pemeriksaan jantina akan dilakukan lebih lewat dari tempoh tersebut.