Mengapa keluar darah saat berhubungan tapi tidak sakit (Post-coital Bleeding)?

Anonymous

Selamat pagi doktor. Hari ini saya ada soalan yang saya segan nak bertanya jika berjumpa dengan doktor di klinik. Saya seorang wanita berumur 46 tahun yang belum berkahwin. Saya mempunyai seorang teman lelaki yang merupakan pasangan seks saya. Biasanya kami akan menggunakan kondom semasa menjalankan hubungan.

Dalam beberapa minggu yang lepas, selepas menjalankan hubungan saya mendapati bahawa saya akan berdarah dari vagina. Darahnya tidak banyak, hanya setompok bersaiz 50 sen sahaja. Kadang-kadang pada hari seterusnya saya mendapati ada sedikit darah pada seluar dalam walaupun bukan waktu untuk datang haid. Saya tidak mengalami sebarang kesakitan semasa menjalinkan hubungan. Mengapakah keluar darah saat perhubungan tetapi tidak sakit ini boleh berlaku doktor? Adakah perkara ini normal? Saya dan teman lelaki agak risau untuk menyambung hubungan intim.

Anonymous
Selamat pagi doktor. Hari ini saya ada soalan yang saya segan nak bertanya jika berjumpa dengan doktor di klinik. Say... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih cik atas soalan anda. Cik tidak perlu berasa segan kerana ramai wanita pernah mengalami gejala sedemikian. Simptom yang dialami oleh cik ini dipanggil “Post-coital Bleeding” dalam istilah perubatan dan berlaku dalam kalangan wanita tidak mengira umur. Gejala ini berlaku dalam 9% wanita yang masih datang haid, dan 63% dalam kalangan wanita yang sudah putus haid. BBiasanya, penyebab keluar darah selepas perhubungan tidaklah serius kecuali jika cik mempunyai sesetengah faktor risiko contohnya usia yang lanjut atau keluar lendir bernanah dari faraj.

Cik tidak perlu berasa terlalu risau tentang gejala ini, tetapi sebagai seorang doktor saya mencadangkan bahawa lebih baik cik berjumpa dengan doktor pakar puan untuk menjalankan pemeriksaan supaya dapat mengecualikan punca-punca yang berbahaya. Pendarahan yang kerap berlaku selepas seks adalah tidak normal dan memerlukan perhatian doktor. Punca yang paling serius ialah kanser pangkal rahim.

Setiap wanita yang pernah menjalankan hubungan seks juga disyorkan untuk menjalankan pemeriksaan Pap smear setiap 2 tahun.. Ujian Pap smear ini bertujuan untuk menguji sel pangkal rahim supaya dapat mengesan kanser pangkal rahim pada peringkat awal. Di samping itu, saya juga ingin memuji cik kerana mengambil inisiatif untuk melindungi diri daripada penyakit kelamin dengan menggunakan perlindungan kondom semasa menjalankan hubungan.

Terima kasih cik atas soalan anda. Cik tidak perlu berasa segan kerana ramai wanita pernah mengalami gejala sedemikia... See More

Apakah penyebab keluar darah saat perhubungan tetapi tidak sakit

Pendarahan dari faraj semasa atau selepas perhubungan boleh berpunca dari cerviks, rahim, faraj ataupun salur kencing. Antara punca-punca biasa berlakunya pendarahan yang tidak sakit ini adalah:

1. Faraj kering (“vaginal dryness”)

  • Hal ini lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita yang sudah putus haid.
  • Hormon estrogen diperlukan untuk memastikan faraj kekal lembap dan elastic. Wanita yang sudah putus haid mempunyai tahap estrogen yang lebih rendah dan mungkin mengalami masalah “atrophic vaginitis” di mana faraj kering dan mudah berdarah semasa perhubungan seks.

2. Penyakit kelamin (“sexually-transmitted diseases”)

  • Pelbagai jenis penyakit kelamin boleh mengakibatkan keradangan faraj dan pangkal rahim. Justeru itu tisu faraj lebih mudah berdarah semasa hubungan seks.
  • Penyakit kelamin seperti chlamydia dan gonorrhea lazim berlaku dalam wanita yang mempunyai ramai pasangan seksual dan tidak menggunakan perlindungan kondom.

3. Jangkitan kulat candidiasis (“vaginal thrush”)

  • Kulat candida akan menjangkiti bahagian faraj apabila bakteria biasa pada faraj tidak mampu mencegah pertumbuhan kulat tersebut
  • Penyakit ini biasa berlaku kepada para wanita dan menyebabkan gejala seperti gatal, kemerahan, keputihan yang pekat dan pendarahan selepas seks.

4. Fibroid

  • Fibroid merupakan ketumbuhan yang berlaku dalam lapisan otot rahim. Hal ini biasanya berlaku dalam wanita selepas umur 30 tahun dan tidak mengakibatkan gejala sehinggalah umur yang lanjut.
  • Fibroid mengakibatkan gejala berdasarkan lokasinya namun simptom paling lazim tidak kira lokasi adalah pendarahan yang banyak dan senggugut. Fibroid yang tumbuh di pangkal rahim boleh menyebabkan pendarahan selepas hubungan seks.

5. Polip serviks (“cervical polyps”)

  • Polip merupakan ketumbuhan yang bukan kanser dalam serviks. Punca ini merupakan suatu punca utama untuk pendarahan selepas seks.
  • Polip ini juga boleh menyebabkan istihadah dan cecair vagina yang kekuningan. Polip ini boleh dirawat melalui kaedah surgikal ataupun laser.

6. Ektropion serviks (“cervical ectropion”)

  • Keadaan ini berlaku apabila lapisan tisu dalaman serviks tumbuh di permukaan luar. Tisu dalaman serviks sangat lembut dan dipenuhi saluran darah yang kecil. Pendarahan boleh berlaku hanya dengan sentuhan lembut sahaja.
  • Ektropion ini sering berlaku kepada wanita yang hamil atau mereka yang mengambil pil perancang. Masalah ini mudah dirawat menggunakan laser atau ‘diathermy’.

7. Kanser serviks (“cervical cancer”)

  • Pendarahan selepas seks merupakan satu gejala utama kanser serviks. 10.8% wanita di Malaysia yang menghidap kanser serviks.
  • Sebelum sel serviks menjadi kanser, sel tersebut akan mengalami perubahan tidak normal yang dipanggil ‘dysplasia’ serviks. Hal ini kerana keadaan tersebut merupakan keadaan pre-kanser dan boleh dikesan melalui ujian saringan Pap smear..
  • Sekiranya kanser serviks dikesan pada peringkat awal, rawatannya mempunyai prognosis yang baik.

8. Kanser rahim (“endometrial cancer”)

  • Kanser rahim yang lazimnya terjadi pada lapisan endometrium juga boleh menyebabkan pendarahan selepas seks.
  • Selain dari pendarahan selepas seks, kanser ini juga boleh menyebabkan pendarahan berlarutan di luar kitaran haid.
  • Kanser ini lebih biasa berlaku dalam wanita yang usianya melebihi 50 tahun atau sudah putus haid.

9. Faraj luka (“vaginal tears”)

  • Hubungan seks yang lasak boleh menyebabkan luka dalam faraj yang tidak mendatangkan kesakitan kerana tisu dalam faraj tidak mempunyai saraf yang peka terhadap perasaan sakit.
  • Selaput dara sekiranya terkoyak juga mungkin menyebabkan pendarahan.
  • Pasangan seks juga digalakkan untuk memastikan kukunya pendek untuk mengelakkan luka pada faraj.

Apakah cara untuk menghentikan pengeluaran darah ini

Cara untuk menghentikan pengeluaran darah selepas seks ini terpulang kepada puncanya. Sekiranya puncanya disebabkan oleh faraj kering atau luka, anda boleh mengamalkan hubungan seks yang tidak terlalu lasak atau menggunakan bahan pelincir untuk mengurangkan insiden luka pada faraj. Selain itu, anda juga boleh mengamalkan teknik “foreplay” untuk memastikan betul-betul terangsang sebelum akitiviti seksual supaya mengelakkan dari luka.

Sekiranya pendarahan selepas seks ini kerap berlaku dan melibatkan simptom-simptom di bawah, anda haruslah berjumpa doktor dengan segera:

  1. Rasa gatal pada faraj
  2. Rasa sakit semasa kencing
  3. Sakit perut
  4. Keputihan yang tidak biasa
  5. Pendarahan yang melampau

Untuk kalangan wanita yang sudah putus haid, sebarang pendarahan dari faraj selepas putus haid merupakan sesuatu gejala yang serius dan berkemungkinan adalah kanser rahim. Oleh itu, para wanita tidak haruslah segan untuk berjumpa dengan doktor untuk sebarang masalah kesihatan wanita kerana rawatan yang lambat dicapai akan menyebabkan prognosis tidak memberangsangkan.

Saya berharap segala persoalan cik telah terjawab. Sekiranya cik mempunyai sebarang pertanyaan yang lain, cik boleh mendapat bantuan doktor kami pada laman web www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.

References