Sakit leher merupakan suatu gejala umum yang kerap dialami oleh masyarakat kita.Sakit leher boleh terjadi dengan sendirinya atau terjadi berikutan masalah kesihatan lain.
Terdapat beberapa punca berlakunya masalah sakit leher ini.
- Punca utama berlakunya masalah sakit leher adalah posisi tidur yang salah atau kerap disebut sebagai silap tidur. Hal ini kerana apabila kita tidur dalam posisi yang salah untuk berjam lamanya dan apabila kita bangun, leher kita boleh menjadi kejang. Ini kerana kekejangan pada otot leher adalah disebabkan oleh postur tidur yang salah.
- Selain itu, kita juga akan menghadapi masalah sakit leher akibat kecederaan pada leher. Hal ini selalunya terjadi kepada atlit. Kecederaan pada leher berkemungkinan melibatkan saraf lalu menyebabkan rasa sakit yang melampau serta menyebabkan leher menjadi kaku dan tidak boleh digerakkan.
- Di samping itu, kecederaan pada leher juga boleh diakibatkan oleh kemalangan jalan raya. Hal ini kerana apabila kepala terhantuk kuat, otot, saraf, urat dan struktur lain yang terdapat pada leher akan cedera lalu menyebabkan berlakunya masalah sakit leher.
- Sakit leher juga boleh terjadi kepada mereka dengan postur badan yang salah. Hal ini kerana mereka sering kali berjalan atau duduk dengan postur badan yang salah. Golongan ini lebih suka tunduk sedikit apabila berjalan. Ini lama kelamaan akan menyebabkan masalah sakit leher kerana otot dan saraf perlu bekerja keras untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
- Seterusnya, masalah sakit leher boleh terjadi apabila berlaku degenerasi pada disk di bahagian leher. Ini merupakan suatu keadaan yang sering menghantui golongan dewasa dan selalunya menjadi punca utama mereka mendapat sakit leher. Isu ini berlaku apabila air tulang belakang pada bahagian leher berkurang atau kering sehingga mengakibatkan disk bergesel lalu menyebabkan sakit leher.
- Selain itu, masalah sakit leher juga boleh berpunca dari penyakit meningitis. Meningitis merupakan suatu keadaan di mana terdapat jangkitan bakteria atau virus pada bahagian meninges dalam otak. Individu yang terlibat akan mengalami demam, sakit leher atau leher menjadi kaku serta sensitif terhadap cahaya.