Pneumonia merupakan suatu kondisi di mana terdapat jangkitan pada paru-paru. Umumnya, ia sering disebabkan oleh jangkitan kuman dan jarang sekali disebabkan oleh virus. Secara patologi, ianya boleh diklasifikasikan kepada bronkopneumonia ataupun ‘lobar pneumonia’ (jangkitan paru-paru secara bersegmen). Ciri-ciri bronkopneumonia ialah, ia mempunyai tompok-tompok keras yang berada di serata paru-paru dan bahagian yang terkesan tidak tertakluk hanya kepada satu segmen, bahagian atau satu belah paru-paru sahaja. Berbeza dengan ‘lobar pneumonia’ di mana ianya bercirikan keradangan yang melibatkan seluruh bahagian atau segmen paru-paru.
Mengapa Bronkopneumonia Menyebabkan Komplikasi Pada Paru-Paru Bayi Dan Dewasa?
Selamat sejahtera doktor. Bapa saya berumur 65 tahun merupakan seorang perokok tegar. Sejak seminggu lepas, bapa saya mengalami batuk yang tak henti-henti. Selalunya, batuknya akan menjadi lebih teruk pada waktu petang. Batuknya berkahak dan dia selalu mengadu kesukaran untuk bernafas serta sakit dada. Dia juga mengalami demam panas yang tak surut-surut. Bapa saya ada makan panadol dan demamnya ada surut sikit tapi selepas beberapa jam demamnya kembali lagi. Selera makannya juga sudah berkurang. Saya dan keluarga risau adakah dia menghidap penyakit batuk tibi atau kanser paru-paru? Ke boleh jadi pneumonia atau bronkopneumonia sebab saya ada terbaca tapi tak faham sangat.
- Pneumonia (jangkitan paru-paru) samada Bronkopneumonia atau 'Lobar pneumonia'
- Batuk tibi
- Kanser paru-paru
Kenali Penyakit Bronkopneumonia
Penyebab Bronkopneumonia
Golongan yang terdedah kepada masalah ini adalah mereka yang berusia 2 tahun ke bawah dan yang berusia lebih dari 60 tahun. Kebanyakkan kes adalah disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria pada paru-paru. Ianya boleh berjangkit dan tersebar melalui udara dan pesakit yang bersin dan batuk berupaya untuk menyebarkan kuman di sekeliling kawasan seterusnya menyebabkan bronkopneumonia pada bayi, warga emas ataupun mereka yang mempunyai imuniti badan yang lemah. Antara bakteria yang mampu menyebabkan jangkitan paru-paru ini ialah Staphylococcus aureus, Haemophilus influenzae, Pseudomonas aeruginosa, Escherichia coli, Klebsiella pneumoniae, dan spesis Proteus.
Gejala Penyakit Bronkopneumonia
Gejala atau simptom yang mungkin terdapat pada pesakit ialah:
- Demam
- Kesukaran bernafas
- Sakit dada yang menjadi lebih teruk apabila batuk atau menarik nafas dalam-dalam
- Batuk berlendir
- Berpeluh
- Menggigil
- Sakit-sakit otot
- Kurang bertenaga dan penat
- Kurang selera makan
- Sakit kepala
- Kekeliruan atau pening kepala (selalunya di kalangan dewasa)
- Loya dan muntah-muntah
- Batuk berdarah
Komplikasi Bronkopneumonia
Komplikasi bronkopneumonia ini bergantung kepada sebab jangkitan dan ianya berbeza mengikut jenis kuman. Secara amnya, ia boleh mengakibatkan jangkitan dalam darah atau sepsis, abses pada paru-paru, paru-paru berair/ paru-paru basah, kegagalan paru-paru dan sistem pernafasan, kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung seperti kegagalan jantung, serangan jantung, dan jantung berdebar-debar yang tidak teratur.
Ujian Bronkopneumonia
Sebelum memulakan rawatan, pesakit perlu menjalani beberapa ujian yang membolehkan perawat atau doktor untuk mengetahui punca atau jenis kuman yang mengakibatkan masalah ini. Dengan ini, rawatan yang bakal diterima pesakit akan menjadi lebih spesifik dan efektif. Ujian yang dijalankan merangkumi:
- ‘X-ray’ paru-paru
Ujian x-ray paru-paru dijalankan apabila terdapat kriteria klinikal yang menyarankan pnuemonia. Namun, jika fasiliti atau tempat rawatan tidak menyediakan perkhidmatan x-ray, ianya tidak perlu dilakukan. Tambahan lagi, ianya tidak boleh mengenalpasti secara spesifik kuman yang mengakibatkan jangkitan tersebut.
- Ujian sel darah putih
Ujian ini membantu kerana apabila nilai sel darah putih bersama sel polimorfonuklear bertambah, ia mungkin menyarankan jangkitan bakteria. Hal ini membantu dalam memfokuskan punca jangkitan yang menyebabkan bronkopneumonia.
- Kultur darah
Piawai emas untuk ujian yang tidak invasif bagi pengesanan bronkopneumonia ialah ujian kultur darah. Ujian ini mampu mengesan dengan tepat etiologi bagi penyakit pneumonia. Namun, ujian ini mempunyai daya sensitif yang rendah dan hanya 10% - 30% pesakit pneumonia yang positif terhadap ujian ini. Ujian kultur darah perlu dijalankan terhadap pesakit yang berkeadaan teruk atau apabila pesakit tidak mempunyai tindak balas terhadap antibiotik pertama (first line antibiotic) yang diberikan.
- Kultur kahak
Ujian ini tidak dilakukan secara rutin kerana kuman yang dikenalpasti dari kultur kahak adalah dari rembesan salur pernafasan atasan ’secretions from upper respiratory tract’ dan ianya tidak menggambarkan jangkitan yang berlaku pada bahagian paru-paru. Malah, sampel dari hidung dan tekak sebenarnya tidak mempunyai sebarang nilai ramalan.
- Ujian lain
‘Bronchoalveolar lavage’ dilakukan dengan cara doktor memasukkan tiub ke dalam tekak dan saluran pernafasan dan mencerat air ke dalam paru-paru. Lalu, sampel diambil untuk ujian lanjut. Ianya diperlukan untuk mendiagnos jangkitan Pneumocystis carini yang selalunya ada pada kanak-kanak yang mempunyai imuniti badan yang lemah. Ianya dilakukan hanya apabila fasiliti dan kepakaran boleh didapati.
Cara Merawat Bronkopneumonia
Rawatan bronkopneumonia bergantung kepada penyebabnya dan apabila keadaan pesakit tidak teruk dan simptomnya sederhana, ianya selalu disebabkan oleh virus dan boleh sembuh tanpa ubatan dan rawatan yang spesifik dalam masa beberapa hari atau minggu. Walaubagaimanapun, hal ini berbeza apabila ianya disebabkan oleh jangkitan bakteria yang memerlukan rawatan antibiotik. Jika keadaan pesakit stabil, doktor mungkin menyarankan pesakit untuk berehat di rumah dan menghabiskan ubat antibiotik yang diberikan. Doktor juga mungkin menyarankan pesakit agar menjauhi asap rokok atau asap kotor yang boleh menjejaskan lagi keadaan paru-paru. Jika doktor mendapati bahawa keadaan pesakit adalah teruk, pesakit akan dimasukkan ke dalam wad untuk mendapatkan rawatan. Doktor mungkin menggunakan ubat antibiotik secara suntikan terus ke dalam darah bagi mempercepatkan proses penyembuhan penyakit ini. Antara antibiotik untuk bronkopneumonia yang selalu digunakan ialah Penicillin, Cephalosporins, Ampicilin, Chloramphenicol, Cloxacillin, Erythromycin dan Azithromycin.
Rawatan Sokongan
Selain daripada antibiotik, terdapat beberapa rawatan sokongan yang penting dalam mengubat pesakit bronkopneumonia:
- Terapi air
Pengambilan air perlu dihadkan dikalangan kanak-kanak yang menghidapi penyakit tersebut kerana rembesan hormon ‘anti-diuretic’ bertambah dan hal ini akan menyebabkan peningkatan jumlah air dalam badan.
- Oksigen
Doktor akan menyarankan pesakit untuk memakai topeng oksigen jika kepekatan oksigen dalam darah menjadi rendah dan apabila keadaan pesakit bertambah teruk, pesakit menjadi lebih sukar untuk bernafas atau doktor mendapati pesakit menjadi semakin biru.
- Fisioterapi pernafasan
Fungsi fisioterapi pernafasan adalah untuk membantu pesakit mengeluarkan kahak yang terkumpul di dalam paru-paru. Rawatan ini mampu meningkatkan kelegaan kepada pesakit dan pertukaran gas oksigen akan menjadi lebih efisyen di kalangan pesakit pneumonia.