Selamat pagi, doktor. Saya berusia 16 tahun dan merupakan seorang pelajar berasrama penuh. Saya anak sulung dari 3 beradik. Ibu saya seorang pensyarah di sebuah universiti swasta manakala ayah saya seorang pegawai pentadbir. Baru-baru ini saya mendapati muka saya mengalami sedikit perubahan. Perubahan yang berlaku ialah muka saya menjadi lebih berminyak dari biasa. Hal ini berlarutan dan mengakibatkan saya mendapat banyak bintik-bintik merah pada kulit muka. Ada juga bintik yang bernanah dan salah satunya telah terpecah apabila saya menggaru muka saya dan mengakibatkan saya mempunyai parut.
Saya melayari internet untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bintik merah ini dan memahami bintik merah ini bernama jerawat. Hari demi hari berlalu dan saya mendapati bilangan jerawat di muka saya bertambah. Bukan sahaja muka saya yang ada jerawat manakala bahagian belakang badan saya juga terdapat benda yang sama. Rakan-rakan saya memberitahu saya ianya kerana saya gemar makan makanan berminyak dan sentiasa makan kacang pada masa lapang. Saya juga tidak menggunakan sebarang pencuci muka dan hanya membasuh muka dengan air sahaja kerana bimbang pencuci muka akan mendatangkan lebih banyak jerawat. Bolehkah doktor menerangkan kepada saya tentang jerawat dan bagaimanakah makanan berminyak boleh mendatangkan jerawat? Apakah yang boleh saya lakukan untuk menjaga kulit muka saya ini?
Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya berusia 16 tahun dan merupakan seorang pelajar berasrama penuh. Saya anak sulung dari 3 ... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Pertama sekali, cik harus memahami bahawa usia dalam lingkungan 13-20 tahun merupakan waktu dimana terdapat banyak pertukaran hormon dalam tubuh badan kita. Hormon tersebut akan mengakibatkan kelenjar sebum di muka kita untuk menghasilkan lebih banyak minyak. Pengeluaran minyak yang tidak terkawal akan menyumbatkan liang pori kulit muka sehingga menimbulkan jerawat. Sememangnya, amalan pemakanan tertentu seperti makanan bergoreng atau kekacang mempunyai kecenderungan untuk menyebabkan kulit muka menjadi lebih berminyak serta sumbatan liang pori muka pada sesetengah individu. Justeru, perkara tersebut mengakibatkan jerawat di muka tumbuh dengan lebih banyak. Jerawat lebih cenderung untuk tumbuh di kulit muka yang berminyak kerana ianya digemari oleh bakteria yang bernama ‘Proprionibacterium acnes’. Bakteria inilah yang menyebabkan jerawat bernanah dan apabila jerawat bernanah tersebut pecah, ia akan meninggalkan parut. Seterusnya, berkenaan dengan keterangan bahawa cik tidak menggunakan sebarang pencuci muka, perkara ini perlu diubah kerana boleh memperburuk masalah jerawat. Hal ini kerana untuk kulit muka yang berminyak, penggunaan pencuci muka dapat menghilangkan minyak di muka. Apabila cik hendak memilih pencuci muka, pastikan ia sesuai dengan kulit muka cik. Sehubungan itu, cik bolehlah mendapatkan nasihat doktor kulit untuk mengetahui pencuci muka yang mana terbaik untuk muka cik. Selain itu, cik juga harus memastikan untuk berhenti memakan makanan berminyak dan kacang. Banyakkan makan sayur-sayuran seperti timun dan tomato serta buah-buahan seperti betik. Ini semua merupakan tips untuk menjadikan wajah cik lebih berseri. Untuk parut di muka, cik boleh juga bertanya kepada doktor kulit atau di farmasi mengenai ubat yang dapat menghilangkan parut. Selalunya ubat yang mengandungi vitamin E yang tinggi merupakan rawatan yang selalu disarankan untuk menghilangkan parut. Cik juga dinasihatkan untuk tidak memicit jerawat atau mengusiknya. Cik hanya perlu menggunakan ubat dan kerap mencuci muka untuk jerawat tersebut hilang dengan sendirinya tanpa meninggalkan parut.
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Pertama sekali, cik harus memahami bahawa usia dalam lingkungan 13-20 tahun mer... See More
APAKAH PENYEBAB JERAWAT?
Penyebab utama pertumbuhan jerawat ialah kerana sebum yang dihasilkan dari kelenjar sebum di kulit muka mengakibatkan pori muka tersumbat sekaligus menghasilkan jerawat.Selain itu, pori muka juga boleh tersumbat akibat kekotoran yang terdapat di udara. Dedebu dari permukaan udara boleh menyumbatkan pori muka dan juga mendorong kepada penghasilan jerawat.
Tambahan pula, sekiranya seseorang itu gemar makan makanan yang berminyak seperti makanan goreng maka ia juga boleh menyebabkan muka kita menjadi lebih berminyak serta menyebabkan pori muka tersumbat dan mendatangkan jerawat.
Makanan laut seperti udang, sotong, ketam, kepah dan lain-lain juga boleh mendatangkan jerawat pada sesetengah individu. Jerawat yang tumbuh bukan sahaja besar dan merah malah juga gatal dan senang meninggalkan parut. Maka, anda boleh mengenal pasti pencetus timbulnya jerawat anda dan menghindarinya.
Selain itu, pengumpulan sebum di muka merupakan permukaan terbaik untuk pertumbuhan bakteria yang bernama ‘Propionibacterium acnes’. Bakteria ini akan bertindak balas dengan sebum di muka dan merangsangkan sistem imun. Oleh itu, apabila sistem imun bertindak maka ianya akan mengakibatkan keradangan dan menumbuhkan jerawat.
Sesetengah orang juga berpendapat bahawa makanan kekacang boleh menyebabkan pertumbuhan jerawat. Hal ini kerana kacang mengakibatkan muka menjadi lebih berminyak kerana kandungan nutriennya. Jadi, sekiranya dimakan berlebihan akan menjadikan muka sangat berminyak langsung menghasilkan jerawat.
Selain itu, gadis atau jejaka muda yang baru mencapai akil baligh juga sangat mudah mendapat jerawat. Hal ini kerana pertukaran hormon dalam badan mereka. Pertukaran hormon ini akan mengakibatkan kelenjar sebum menghasilkan minyak yang berlebihan sekaligus membawa kepada pertumbuhan jerawat yang banyak.
Hal ini kerana muka kita terdedah kepada segala kotoran yang terdapat di udara. Jadi, apabila kita kerap membasuhnya, kita berpeluang mengeluarkan kotoran yang tersumbat di pori muka dan menjadikan muka tidak berminyak dan mengembalikan oksigen untuk muka.
Selain itu, kita juga haruslah memilih pencuci muka yang sesuai dengan kulit muka kita. Hal ini kerana setiap pencuci muka mempunyai pH yang berbeza. Sekiranya pH pencuci muka terlalu rendah maka ia ada kemungkinan besar untuk menjejaskan kulit muka kita kerana kandungannya yang terlalu asidik. Oleh itu, pencuci muka yang dipilih haruslah sesuai untuk digunakan hari-hari.
Kita juga bolehlah mengambil serbuk kunyit hidup dan menitiskan beberapa titik air padanya untuk dijadikan pes muka. Kemudian, pes muka tersebut hendaklah disapu pada bahagian jerawat dan tunggu sehingga kering.
Setelah kering, kita bolehlah cuci muka dan mengulang kaedah ini untuk mengecutkan jerawat yang tumbuh
Kunyit mempunyai ciri-ciri anti-bakteria. Oleh itu, dengan menyapu pes ini, bakteria yang tumbuh di permukaan kulit muka akan mati justeru menghilangkan jerawat.
Kita juga bolehlah menghiris timun dan merendamkannya dalam air. Air tersebut bolehlah diminum setiap hari.
Bukan sahaja timun yang digunakan untuk usaha mencantikkan kulit muka, malah tomato juga mempunyai khasiat yang tinggi untuk kesihatan kulit.
DI MANAKAH KAWASAN SERING BERLAKUNYA PERTUMBUHAN JERAWAT?
Kawasan yang sering menjadi sasaran jerawat yang paling umum ialah ‘T-zone’. ‘T-zone’ ialah bahagian muka yang terdiri daripada dahi, hidung dandagu. Selain itu, jerawat juga sering kali datang di bahagian pipi. Tempat- tempat ini adalah yang paling umum untuk muka kerana tempat inilah yang kerap berminyak.
Kita juga boleh mendapat jerawat pada bahagian belakang badan. Semestinya kita boleh mendapat jerawat di kawasan yang mempunyai kelenjar sebum tetapi yang paling umum ialah muka dan bahagian belakang badan.
ADAKAH UBAT YANG DAPAT MENGHILANGKAN JERAWAT?
Jerawat tidak dapat dihilangkan begitu sahaja atau sekelip mata. Oleh itu, kita haruslah mengambil langkah sedikit demi sedikit. Terdapat beberapa ubat yang dapat mengecutkan jerawat. Ubat yang kerap kali diberi oleh doktor kulit ialah ‘Benzoyl Peroxide’.
Selain itu, jika jerawat tersebut bernanah maka dicadangkan ubat yang mempunyai antibiotik untuk membunuh bakteria. Ubat antibiotik memerlukan preskripsi daripada doktor.
Sekiranya anda telah memicit jerawat anda sehingga meninggalkan parut maka terdapat juga beberapa ubat yang boleh diberikan oleh doktor kulit untuk membantu menghilangkan parut.
Seperti yang diketahui, proses menghilangkan parut mengambil masa yang agak lama. Maka, amalan memicit jerawat adalah tidak digalakkan untuk memastikan kulit anda sentiasa sihat dan cantik.
Kesimpulannya, masalah jerawat perlu ditangani dengan langkah yang betul. Jika masalah ini tetap berlarutan dan tidak hilang walaupun setelah menggunakan pelbagai kaedah yang mungkin anda cuba sendiri, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor atau pakar kulit bagi mendapatkan nasihat selanjutnya. Konsultasi secara langsung dapat memudahkan pemeriksaan susulan dilakukan agar rawatan yang tepat dapat diberikan kepada anda. Layari laman web www.doctoroncall.com.my untuk info lanjut.
References
1. Acne, Mayo Clinic
2. Acne Causes, Risk factors and Treatment, Healthline