Walaupun kita kerap disogokkan dengan kes-kes kematian akibat virus ini, namun, mengikut statistik, sebanyak 80% pesakit virus ini adalah tidak teruk. Akan tetapi, jika pesakit mempunyai gejala yang teruk, majoriti adalah disebabkan gejala sesak nafas. Mengapakah hal ini berlaku?
Kebanyakan pesakit yang menghidap masalah asma, kegagalan jantung dan penyakit paru-paru yang kronik ada alami masalah sesak nafas. Walaupun begitu, sesak nafas yang dialami oleh pesakit virus ini berbeza kerana jika ia berlaku, pesakit lebih tercungap-cungap untuk menghirup udara. Statistik juga menunjukkan hampir 20% pesakit positif alami sesak nafas dan kebanyakannya mempunyai penyakit kronik yang lain serta berusia 60 tahun dan keatas.
Apabila gejala sesak nafas ini mencapai tahap yang amat teruk, paru-paru pesakit mungkin mengalami jangkitan seperti Pneumonia atau paru-paru telah mencapai tahap keradangan sehingga menyebabkan parut berlaku pada organ tersebut dan mengurangkan kapasitinya untuk berfungsi. Pada ketika ini, aktiviti seperti mengambil segelas air di dapur daripada bilik pada tingkat yang sama sudah cukup untuk menyumbang kepada gejala sesak nafas ini. Pesakit juga mungkin alami sesak nafas walaupun sedang berehat. Kedua-dua situasi ini membuktikan sesak nafas yang dialami pesakit sudah mencapai tahap yang akan merunsingkan.