Apakah cara rawatan dan penyebab Kayap (Shingles)?

Anonymous

Salam doktor. Saya seorang lelaki yang berusia 65 tahun. Sejak 2 hari yang lalu, saya telah mengalami rasa sakit yang teruk pada kulit badan sebelah kiri walaupun seingat-ingat saya, tak ada pun saya tercederakan diri. Rasa sakit ini sebagai seekor ular yang melilit dari bawah ketiak kiri saya hingga ke belakang. Perasaannya seolah-olah saya dicucuk oleh jarum dan juga berasa kebas dan semut.

Pada hari ini, saya perasan bahawa terdapat beberapa lepuh kecil yang timbul di bahagian kulit yang sakit. Pada mulanya saya khuatir bahawa saya terkena jangkitan cacar air kerana cucu saya baru sahaja sembuh daripada jangkitan cacar air, tetapi saya teringat bahawa semasa kecil dulu, saya sudah pernah terkena jangkitan ini dan setahu saya biasanya orang yang pernah menghidap cacar air tidak akan dijangkiti lagi. Isteri saya mengesyaki bahawa saya menghidap kayap kerana dia pernah melihat gejala yang sama pada ayahnya.

Betulkah saya menghidap penyakit kayap ini, doktor? Apa itu kayap? Apa yang boleh saya lakukan untuk mengurangkan kesakitan ini? Sudah 2 malam saya tidak dapat tidur lena kerana teramat sangat sakit ini.

Anonymous
Salam doktor. Saya seorang lelaki yang berusia 65 tahun. Sejak 2 hari yang lalu, saya telah mengalami rasa sakit yang... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih tuan atas soalan tersebut. Pada pendapat saya, berdasarkan simptom-simptom yang diceritakan oleh tuan, tuan mungkin menghidapi penyakit kayap (shingles) seperti yang disyaki oleh isteri tuan. Penyakit kayap ini juga digelar sebagai ‘shingles’ dalam Bahasa Inggeris dan berpunca daripada virus dipanggil ‘varicella zoster’. Virus ini juga merupakan penyebab kepada penyakit cacar air (chicken pox).

Dalam kepercayaan masyarakat tempatan, ramai yang percaya bahawa sekiranya ruam kayap ini bertemu mengelilingi badan akan membawa maut, tetapi sebenarnya kepercayaan ini adalah salah dan penyakit ini jarang menyebabkan kematian. Oleh itu, tuan tidak perlu risau. Untuk merawat kesakitan tuan yang teruk sehingga menganggu aktiviti harian, beberapa jenis ubat tahan sakit dapat digunakan untuk mengurangkan rasa sakit dari ruam kayap ini. Selain itu, ubat ‘anti-viral’ untuk merawat jangkitan virus juga boleh digunakan untuk memendekkan jangka masa pemulihan penyakit kayap ini. Tuan boleh mendapatkan nasihat daripada doktor-doktor pada laman www.doctoroncall.com.my

Terima kasih tuan atas soalan tersebut. Pada pendapat saya, berdasarkan simptom-simptom yang diceritakan oleh tuan, t... See More

Apakah itu kayap

  • Penyakit kayap merupakan suatu jangkitan virus yang mengakibatkan ruam yang sakit. Walaupun kayap boleh berlaku di mana-mana bahagian badan, pada kebiasaannya ia akan timbul sebagai ruam yang melilit pada bahagian kiri atau kanan tubuh.

  • Ruam kayap tidak akan melintas garis tengah badan dan biasanya hanya melibatkan satu bahagian badan sahaja.

  • Sekiranya ruam kayap ini timbul pada muka, ia mungkin akan melibatkan mata, saraf muka, atau telinga. Dalam kes-kes tersebut, pesakit-pesakit kayap dinasihati untuk berjumpa dengan doktor segera kerana ruam kayap ini boleh mengakibatkan kerosakan mata yang berkekalan.

  • Seseorang yang menghidap penyakit kayap boleh menjangkiti orang yang tidak pernah menghidap penyakit cacar dengan virus ‘varicella zoster’. Virus ini mudah disebarkan melalui cecair pada ruam kayap.

  • Namun demikian, individu yang dijangkiti ini akan menghidap penyakit cacar dan bukan kayap.

  • Oleh itu, sekiranya ruam kayap belum berkuping, pesakit kayap dinasihati supaya menjauhkan diri dari golongan yang belum menghidap penyakit cacar terutamanya bayi dan wanita yang mengandung.

Apakah penyebab kayap

Penyakit kayap ini diakibatkan oleh pengaktifan semula virus ‘varicella zoster’ yang juga merupakan punca penyakit cacar air. Sesiapa yang pernah menghidap penyakit cacar berkemungkinan untuk mendapat kayap pada masa hadapan. Hal ini disebabkan virus ‘varicella zoster’ ini akan kekal dalam sistem saraf dalam bentuk yang tidak aktif selepas seseorang itu pulih daripada jangkitan cacar air.Kadang-kadang, virus ini akan menjadi aktif semula dan merebak mengikut saluran saraf pada kulit, lalu mengakibatkan ruam kayap yang melilit pada badan. Walaupun demikian, bukan semua orang yang mendapat penyakit cacar akan menghidap kayap.

Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko mengalami kayap

  • Usia yang meningkat
  • Sistem pertahanan badan yang lemah disebabkan oleh penyakit HIV atau rawatan kemoterapi dan ubat-ubat seperti steroid

Apakah gejala kayap

Penyakit kayap biasanya mengambil masa 3-5 minggu untuk pulih. Selalunya seseorang hanya akan menghidap kayap sekali sahaja dalam kehidupan. Penyakit kayap mempunyai 3 fasa jangkitan yang mempunyai gejala berlainan:

1) Fasa sebelum ruam

Pada masa ini, pesakit akan mengadu rasa sakit pada kawasan kulit yang terlibat. Biasanya hal ini berlaku 2-3 hari sebelum ruam terjadi. Pesakit juga mungkin mengalami:

  • Demam
  • Sakit kepala
  • Sakit-sakit badan
  • Berasa letih

2) Ruam

Ketika ini, ruam akan timbul pada kawasan kulit yang terlibat. Ruam ini:

  • Berbentuk lepuh (‘blister’) kecil yang akan mengeluarkan air dan kering dalam masa 7-10 hari. Parut akan hilang dalam masa 2-4 minggu.
  • Sakit yang teruk di bahagian kulit tersebut akibat keradangan saraf oleh virus
  • Berasa kebas dan seperti terbakar atau dicucuk
  • Kulit yang terlibat berasa sensitif jika disentuh
  • Gatal
  • Sekiranya ruam timbul pada muka, pesakit hendaklah berjumpa dengan doktor dengan segera untuk mengelakkan berlakunya komplikasi berpanjangan.

3) Selepas ruam

Selepas ruam kayap telah sembuh, pesakit kayap mungkin masih berasa sakit pada bahagian tersebut untuk beberapa bulan. Perkara ini berlaku dalam 20-40% dari pesakit kayap.

Apakah ubatan kayap

  1. Penyakit kayap tidak dapat disembuhkan sepenuhnya dengan ubat, namun rawatan kayap akan tertumpu untuk mengurangkan kesakitan dan memendekkan jangka masa untuk pulih.

  2. Ubat antiviral: Ubatan utama untuk mencepatkan pemulihan ruam kayap ialah aciclovir, sejenis ubat antiviral. Ubat ini paling berkesan sekiranya dimulakan dalam masa 3 hari selepas ruam timbul. Sebelum mengambil ubat ini, pesakit kayap haruslah memahami kesan-kesan sampingan ubat ini. Ubat ini haruslah diambil mengikut arahan doktor.

  3. Ubat tahan sakit: Biasanya diberikan kepada pesakit supaya lebih selesa. Ubat tahan sakit yang biasa seperti Panadol selalunya tidak berkesan untuk mengurangkan kesakitan kayap kerana sakit radang saraf menyebabkan jenis sakit yang lain. Justeru, ubat tahan sakit lain yang lebih kuat haruslah diberikan.

  4. Ubat sapu yang mampu mengebaskan kawasan kulit yang sakit

  5. Ubat narkotik seperti codeine

  6. Ubat sawan yang berkesan dalam mengurangkan sakit kayap

  7. Losyen ‘calamine’ yang biasa digunakan untuk merawat ruam juga boleh digunakan untuk melegakan kawasan kulit yang terlibat. Pesakit juga digalakkan supaya tidak menggaru ruam tersebut untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman pada lepuh-lepuh yang pecah.

  8. Vaksin untuk kayap merupakan suntikan sekali sahaja. Vaksin kayap (digelar Zostavax) juga disyorkan kepada orang ramai, terutamanya golongan yang sudah lanjut usianya (60 ke atas), serta golongan yang mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah. Golongan tersebut digalakkan untuk mendapat perlindungan vaksin ini walaupun sudah pernah mendapat kayap atau tidak pernah mendapat penyakit cacar. Walaupun vaksin kayap tidak boleh merawat kes kayap yang sedang aktif, namun vaksin ini mampu mengelakkan kayap dari berlaku sekali lagi.

Tuntasnya, pesakit yang mengalami gejala kayap haruslah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai rawatan yang sesuai serta haruslah prihatin dalam mengasingkan diri daripada golongan yang tidak pernah mendapat penyakit cacar. Bagi golongan yang tidak pernah mendapat kayap, langkah yang paling penting untuk mencegah penyakit ini adalah dengan mengambil vaksin Zostavax.

Saya nasihatkan supaya anda perlulah dengan segera merujuk kepada doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada para doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.

References