Kenali Tanda & Simptom HIV / AIDS Yang Boleh Menggugat Kesihatan Anda

HIV / AIDS - Tanda & Simptom HIV Kepada Pesakit - DoctorOnCall
Anonymous
Selamat sejahtera doktor. Saya lelaki berusi 32 tahun ingin mengadu kisah dan masalah kesihatan yang saya hadapi. Untuk maklumat doktor, saya telah didiagnos dengan penyakit HIV tiga tahun yang lalu ketika saya berjumpa dengan doktor di hospital kerajaan kerana masalah jangkitan kulat pada mulut saya. Saya telah mengikuti rejimen rawatan HAART sejak 3 tahun lalu. Walaubagaimanapun, akibat daripada kekangan masalah kewangan, saya telah berhenti mendapatkan rawatan tersebut kerana tidak mampu untuk membeli ubatnya yang terlalu mahal sejak 10 bulan yang lepas. Sejak kebelakangan ini, saya telah mengalami beberapa masalah seperti demam yang masih tidak kebah, batuk berpanjangan dan kepenatan. Apakah hal ini normal doktor? Adakah ianya disebabkan oleh saya tidak mengikuti rawatan yang telah ditetapkan? Bolehkah doktor cerita sedikit tentang simptom HIV dan serba sedikit tentang penyakit tersebut? Terima kasih doktor.
Anonymous
Selamat sejahtera doktor. Saya lelaki berusi 32 tahun ingin mengadu kisah dan masalah kesihatan yang saya hadapi. Untuk ... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk pengetahuan encik, penyakit HIV adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus yang boleh tersebar melalui cecair badan seperti darah, air mani dan cecair faraj. Ia juga boleh merebak melalui susu ibu, hubungan seks bebas, perkongsian jarum, ketika melahirkan anak dan banyak lagi. Selalunya, pesakit yang dijangkiti HIV hanya akan memanifestasikan simptom dan gejala apabila bacaan CD4 menjadi terlalu rendah dan hal ini merupakan tanda-tanda bahawa pesakit telah menghidapi AIDS. Simptom dan gejala pesakit AIDS bergantung kepada jangkitan yang mereka alami dan ianya adalah berbeza. Rawatan dan rejimen HAART perlu diikuti dengan penuh disiplin untuk memastikan imuniti badan meningkat dan supaya pesakit terhindar daripada jangkitan oportunistik (opportunistic infection). Anda boleh baca dengan lebih lanjut tentang HIV melalui artikel di bawah.
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk pengetahuan encik, penyakit HIV adalah penyakit berjangkit yang disebabkan... See More

Pengenalan Mengenai HIV / AIDS

HIV adalah singkatan kepada (Human Immunodeficiency Virus) dan merupakan penyakit berjangkit di Malaysia yang digeruni. Virus tersebut mampu menyebabkan imuniti badan menurun. HIV akan memberi kesan terhadap CD4 dan jangkitan tersebut akan menyebabkan bacaan CD4 menjadi rendah. Apabila membincangkan perihal HIV dan penyakit oportunistik akibat daripada penyakit ini, topik tentang bacaan CD4 dalam darah menjadi suatu yang perlu dikupas. Untuk mengetahui tahap ketahanan atau imuniti badan, adalah penting untuk mengetahui bacaan CD4 individu tersebut. Bacaan CD4 mampu memberi gambaran terhadap tahap daya ketahanan atau imuniti badan seseorang kerana ianya bertanggungjawab dalam melawan jangkitan kuman. Apabila bacaan CD4 menjadi rendah, individu terbabit terdedah dan memiliki risiko yang lebih tinggi untuk mendapatkan jangkitan kuman dan penyakit lain atau penyakit oportunistik seperti siplis, tuberkulosis, toxoplasmosis dan sebagainya. Oleh itu, adalah penting bagi penjawat kesihatan untuk mengambil bacaan CD4 pada pesakit yang dijangkiti HIV untuk mengetahui status tahap imuniti badan semasa mereka. Penyakit ini berbeza dengan leukimia kerana pesakit leukimia memiliki sel darah putih normal yang rendah dan pesakit HIV mempunyai bacaan CD4 (sejenis antibodi dalam darah) yang rendah.

Bagaimana Penyebaran HIV Berlaku?

HIV merupakan virus yang boleh tersebar ia adalah penyakit berjangkit. Namun, ianya tidaklah begitu mudah untuk tersebar seperti tersebar pada udara, batuk, bersin dan sebagainya. Virus ini boleh tersebar dan merebak melalui cecair badan. Cecair badan termasuklah seperti darah, air mani, cecair faraj dan susu ibu. Ia juga boleh merebak melalui hubungan seks bebas tanpa perlindungan seperti tanpa menggunakan kondom bersama dengan individu yang telah dijangkiti, perkongsian jarum samada sesama penagih dadah atau semasa pesakit menerima rawatan suntikan, semasa proses pendermaan darah atau pendermaan organ yang tercemar dengan virus HIV, dan ketika ibu yang dijangkiti sedang melahirkan anak atau ketika menyusu.

Mungkin terdapat ramai yang musykil tentang penyebaran HIV dan ada yang memiliki pandangan atau persepsi yang negatif terhadap pesakit HIV. Mereka cuba untuk mengelakkan diri daripada menghampiri pesakit tersebut atau takut untuk berkongsi makanan malahan bersalaman atau bersentuhan dengan pesakit HIV. Perkara ini tidak patut berlaku kerana HIV tidak boleh tersebar melalui sentuhan, perkongsian makanan, berjabat tangan, duduk bersebelahan, menggunakan kemudahan awam seperti tandas, pengangkutan awam, kolam renang dan sebagainya. Selain itu, virus ini juga tidak boleh tersebar apabila seseorang berkongsi perkakas dengan pesakit HIV, gigitan nyamuk mahupun melalui batuk dan bersin.

Apakah Tanda & Simptom HIV?

Pada peringkat awal jangkitan HIV, pesakit mungkin tidak dapat memanifestasikan simptom atau sebarang gejala. Hal ini kerana, imuniti badan pesakit masih tinggi ketika fasa awal jangkitan. Hal ini tidak menjadikan keadaan selamat kerana pesakit mampu menyebarkan virus berkenaan walaupun ianya adalah pada peringkat awal. Pada peringkat ini, pesakit mungkin mengalami gejala-gejala seperti demam, batuk, sakit otot, sakit tekak, sakit kepala, cirit-birit, keletihan, sakit sendi dan sebagainya. Walaubagaimanapun, gejala-gejala ini tidak spesifik dan boleh dialami oleh semua individu tidak kira samada mereka dijangkiti HIV ataupun tidak. Jika pesakit tidak menjalani rawatan HAART (Highly Active Antiretroviral Therapy) atau ART (Antiretroviral Therapy), mereka berkemungkinan dan berisiko untuk mendapatkan gejala AIDS seperti jangkitan sistem pernafasan, batuk kering yang berlarutan, cirit-birit yang teruk, jangkitan kuman pada otak, jangkitan kulat mahupun kanser. Pesakit juga berkemungkinan untuk susut berat badan dengan banyak pada waktu yang singkat.

Bagaimanakah Cara Rawatan Untuk Penyakit HIV?

Walaupun tiada ubat yang mampu menyembuhkan HIV dan AIDS namun rejimen rawatan yang terdiri daripada pelbagai jenis ubat mampu melambatkan proses penyakit HIV. Oleh kerana kesan sampingan ubatan ini yang mampu memudaratkan keadaan pesakit, rawatan ini hanya diberikan kepada mereka menunjukkan tanda-tanda AIDS, bacaan CD4 yang sangat rendah (kurang daripada 200 sel/ml), bacaan virus HIV dalam darah yang tinggi (lebih daripada 30,000) dan mengikut pandangan doktor pakar serta pengalaman doktor itu sendiri dalam merawat pesakit HIV. Ubatan ini perlu diambil mengikut preskripsi yang diberikan oleh doktor yang merawat dan pemilihan ubat bergantung kepada gejala atau simptom yang ditunjukkan oleh pesakit. Rejimen ini perlu diteruskan mengikut waktu yang telah ditetapkan oleh doktor yang bertugas.

Tips Pencegahan

Siapa sahaja yang tidak tahu tentang pepatah mencegah itu lebih baik dari merawat. Oleh kerana penyakit ini merupakan penyakit yang berjangkit, adalah penting untuk orang awam mengetahui dan mengambil berat tentang langkah-langkah pencegahan untuk penyakit ini. Mencegah lebih baik daripada merawat kerana mencegahnya adalah lebih mudah, murah & lebih bagus secara keseluruhannya. Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan adalah dengan menjauhi diri daripada terlibat dengan hubungan seks bebas terutama bersama mereka yang dijangkiti, mengamalkan hubungan seks selamat seperti menggunakan kondom ketika mengadakan hubungan kelamin, menggunakan jarum pakai buang ketika melakukan prosedur suntikan, mengambil ubat anti-virus untuk ibu yang sedang mengandung dan sewaktu bersalin, mengikuti peraturan dan aturcara yang selamat ketika mengendalikan pesakit bagi penjawat kesihatan dan menggunakan alat-alat yang steril dan bersih jika ingin menindik telinga atau mencacah tatu.

References