Adakah sindrom carpal tunnel (Carpal Tunnel Syndrome) memerlukan rawatan seperti fisioterapi atau pembedahan?

Anonymous

Selamat pagi, doktor. Saya ialah seorang wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai seorang kerani. Saya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan selain daripada masalah obesiti dan kolesterol tinggi. Dalam 3 bulan yang lepas, saya telah mengalami masalah pada tangan kanan saya. Kadang-kadang tangan saya berasa kebas terutamanya di bahagian ibu jari.


Masalah ini sudah menjadi semakin teruk sehingga saya terbangun dari tidur kerana tangan terlalu sakit dan kebas. Rasa sakit ini berkurang sekiranya saya meregangkan tangan untuk seketika. Namun demikian, masalah ini telah menjejaskan prestasi saya di pejabat kerana susah untuk saya menaip laporan dengan cepat. Saya telah cuba mengurut dan menyapu minyak kapak pada tangan tetapi kesakitan tersebut tidak berkurangan. Rakan sekerja saya memberitahu bahawa mungkin saya mengalami sindrom carpal tunnel. Bolehkah doktor menerangkan tentang masalah ini serta cara merawatnya?

Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya ialah seorang wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai seorang kerani. Saya tidak memp... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA

Terima kasih atas soalan cik. Berdasarkan gejala-gejala yang digambarkan oleh cik, saya berpendapat bahawa anda kemungkinan menghadapi masalah sindrom carpal tunnel (Carpal Tunnel Syndrome). Gejala-gejala yang sedang dialami oleh cik adalah sejajar dengan sindrom ini. Cik juga mempunyai beberapa faktor risiko untuk sindrom carpal tunnel ini, seperti jantina, usia, pekerjaan serta berat badan. Hal ini demikian kerana para wanita, terutamanya yang tinggi berat badan lebih cenderung mengalami masalah ini. Pekerjaan cik sebagai seorang kerani yang melibatkan cik kerap menggunakan computer menyebabkan tekanan kepada saraf tangan terutamanya kawasan pergelangan.

Namun demikian, cik janganlah terlalu risau terlebih dahulu. Sekiranya sindrom ini dikesan dan dirawat awal, cik dapat mengelakkan komplikasi berpanjangan. Saya juga ingin menasihati cik supaya berjumpa dengan doktor pemeriksaan tangan cik.


Terima kasih atas soalan cik. Berdasarkan gejala-gejala yang digambarkan oleh cik, saya berpendapat bahawa anda kemun... See More

Apakah itu sindrom carpal tunnel?

Sindrom carpal tunnel ini merupakan sesuatu keadaan di mana berlakunya tekanan kepada saraf median (“median nerve”) dalam pergelangan tangan seseorang menyebabkan rasa sakit dan kebas. Keadaan ini lebih kerap berlaku kepada wanita berbanding dengan lelaki, dan kebanyakan kes (80%) berlaku dalam kalangan orang yang berusia 40 tahun ke atas.

Saraf median ini berasal dari sebuah saraf tunjang dan melalui seluruh lengan hingga ke tangan. Sebelum sampai ke tapak tangan, saraf ini perlu melalui sesuatu terowong yang sempit dalam pergelangan tangan. Terowong ini terdiri daripada tulang-tulang di pergelangan tangan serta ligamen. Oleh itu, seseorang yang gemuk akan mempunyai terowong yang lebih kecil daripada biasa disebabkan lemak berlebihan di kawasan tersebut yang menghimpitkan terowong saraf.

Apakah penyebab sindrom carpal tunnel?

Seperti yang dinyatakan, faktor-faktor risiko seperti jantina perempuan, usia melebihi 40 tahun serta obesiti menjadikan seseorang lebih cenderung menghidap penyakit ini. Terdapat juga penyebab lain seseorang mengalami sindrom carpal tunnel ini:

  • Pernah cedera atau terseliuh di pergelangan tangan
  • Patah tulang yang melibatkan pergelangan tangan. Sekiranya tulang ulna dan radius serta tulang-tulang kecil pergelangan tangan ”carpal bones” itu patah, saiz dan bentuk terowong mungkin terjejas.
  • Simen atau plaster untuk merawat patah tulang tangan yang terlalu ketat hingga menekan saraf median
  • Mengandung. Wanita yang mengandung sering kembang kaki dan tangan akibat pengumpulan air dalam badan sekali gus menyebabkan tekanan terhadap saraf median.
  • Osteoarthritis ataupun sakit sendi orang tua
  • Kencing manis
  • Masalah hormon pembesaran. Hormon tumbesaran yang berlebihan (“acromegaly”) mengakibatkan tisu dalam pergelangan tangan membesar walaupun tulang masih kekal sama.
  • Hipotiroid. Masalah hipotiroid, iaitu hormon tiroid terlalu rendah, mengakibatkan berat badan bertambah serta pengumpulan kolesterol dalam tisu badan. Hal ini boleh menyebabkan terowong pergelangan tangan menjadi sempit.
  • Pergerakan berulang yang melibatkan pergelangan tangan. Contohnya, pekerjaan seseorang yang melibatkan penggunaan computer, penggunaan alat yang bergetar ataupun memerlukan cengkaman yang kuat. Selain itu, seseorang yang menggunakan tongkat untuk berjalan juga mungkin mengalami sindrom ini kerana sering posisi tangan yang bengkok.

Apakah gejala sindrom carpal tunnel?

Gejala sindrom carpal tunnel biasanya melibatkan tangan dominan, iaitu tangan yang biasa digunakan untuk menjalankan aktiviti. Walaupun demikian, sesetengah pesakit mengadu sakit pada kedua-dua belah tangan. Gejala sindrom ini terdiri daripada:

  • Perasaan sakit dan kebas pada bahagian tangan. Rasa sakit dan kebas yang biasanya lebih teruk pada waktu malam terutamanya semasa tidur. Perasaan sakit ini berkurang sekiranya tangan diregangkan.
  • Hanya melibatkan ibu jari, jari telunjuk, tengan dan jari manis. Sindrom carpal tunnel tidak melibatkan jari kecil kerana saraf kepada jari kecil tidak melibatkan saraf median. Oleh itu, sekiranya simptom anda melibatkan jari kecil, kemungkinan besar bukan sindrom carpal tunnel.
  • Kekuatan ibu jari merosot. Hal ini banyak berlaku kepada kes-kes yang kronik. Dalam jangka masa yang panjang, otot-otot ibu jari (“thenar muscle”) yang dibekalkan oleh saraf median akan mengecut lalu menyebabkan pesakit mengalami masalah untuk menggunakan tangan seperti memegang sudu, pensel dan sebagainya.

Apakah rawatan sindrom carpal tunnel?

Sindrom carpal tunnel ini boleh dirawat dengan cara mengawal simptom sakit serta mengelakkan penyakit ini daripada bertambah teruk. Bagi mereka yang ingin rawatan efektif dengan serta-merta, pakar perubatan menyarankan kaedah pembedahan. Antara cara-cara untuk merawat sindrom ini adalah:

  • Ubat tahan sakit. Ubat tahan sakit seperti gabapentin boleh digunakan untuk merawat rasa kebas yang disebabkan oleh masalah saraf median.
  • Fisioterapi. Rawatan ini perlulah diteruskan untuk beberapa minggu bagi meregangkan ligamen dalam terowong carpal.
  • Steroid. Steroid wujud dalam bentuk tablet untuk dimakan ataupun suntikan pada bahagian tangan. Ubat steroid ini bertujuan untuk mengurangkan keradangan pada saraf. Namun, steroid bukan satu jalan penyelesaian jangka panjang disebabkan oleh kemungkinan kesan sampingan.
  • Pemakaian “splint”. Semasa tidur, pergelangan tangan akan menjadi terbengkok lalu menyebabkan tekanan saraf median. “Night splint” ini boleh dipakai pada waktu malam untuk mengelakkan pergelangan tangan daripada terbengkok. “Splint” ini juga boleh dipakai semasa menjalankan aktiviti yang menyebabkan sindrom carpal tunnel. “Splint” ini perlu dipakai untuk jangka masa yang panjang (minima 6 minggu) untuk menunjukkan kesan.
  • Pembedahan. Pembedahan adalah penyelesaian terakhir sekiranya simptom pesakit masih tidak terkawal dengan cara-cara di atas. Dalam pembedahan ini, pesakit akan diberikan ubat bius, dan pakar bedah akan memotong ligamen pada pergelangan tangan untuk membebaskan saraf yang tertekan.

Sekiranya anda mempunyai faktor risiko mengalami penyakit ini, anda haruslah mengambil inisiatif untuk mencegah diri daripada mengalami penyakit ini. Contohnya:

  • Mengurangkan berat badan
  • Mengawal masalah hipotiroid atau kencing manis
  • Sentiasa melakukan senaman regangan tangan sekiranya perlu menggunakan computer untuk jangka masa yang panjang
  • Menggunakan keyboard yang lebih ergonomik serta menggunakan “mouse pad” apabila menggunakan computer

Penyakit carpal tunnel ini merupakan sesuatu masalah yang mudah dirawat sebelum terjadinya komplikasi yang berkekalan sehingga menjejaskan kualiti kehidupan seharian. Saya berharap bahawa nasihat saya dapat memberikan panduan dan jalan penyelesaian kepada cik. Untuk sebarang soalan lanjut, sila lawat laman web kami di  www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.

References