Tanya sahaja beberapa orang di sekeliling anda, apabila seorang wanita seperti ibu, kakak atau lebih-lebih lagi isteri mengalami muntah, pastinya disyaki mengandung. Tahukah anda, selain muntah terdapat banyak lagi perubahan fisiologi badan bagi ibu mengandung terutamanya pada bahagian payu dara. Payu dara akan mula membengkak dan juga densitinya akan meningkat. Hal ini terjadi bagi menyediakan ibu pada fasa menyusukan anak nanti. Selain itu, warna pada puting payu dara akan bertambah gelap dan hal ini berlaku supaya bayi dapat mengesan puting tersebut dengan lebih mudah untuk proses penyusuan nanti.
Kadang-kadang, ibu mengandung juga akan mula merasa sakit pada bahagian payu dara kerana kelenjar susu bertambah aktif. Namun begitu, para ibu perlu juga berhati-hati kerana sakit ini boleh terjadi disebabkan masalah lain seperti susu badan tersumbat, jangkitan kumanatau juga kanser payu dara. Perubahan lain yang akan dirasakan adalah seperti berikut:
- Saluran vena yang berwarna biru akan mula kelihatan
- Timbul bintik-bintik kecil sekitar areola
- Pada akhir kandungan, titisan air susu mengalir dengan sendirinya
- Payu dara akan berasa gatal