Apakah Tanda Serangan Sakit Jantung? Ketahui Gejala Sebelum Terlambat!

Tanda Serangan Sakit jantung Pada Wanita & Lelaki. Sama Atau tidak?- DoctorOncall
Anonymous
Salam Sejahtera doktor. Saya bertanya bagi pihak ayah saya. Sejak kebelakangan ini, ayah selalu mengadu sakit dada lebih-lebih lagi selepas ayah saya berjalan jauh. Sakit dada tersebut akan hilang selepas ayah berhenti berjalan. Namun, disebabkan sakit dada tersebut, ayah saya enggan keluar rumah. Dia juga mengalami kesukaran untuk tidur kerana sering tersedar akibat sukar bernafas pada waktu malam. Ayah menggunakan tiga biji bantal untuk tidur. Saya juga perasan bahawa kaki ayah saya semakin membengkak. Ayah semakin cepat letih dan tercungap-cungap apabila melakukan aktiviti seharian. Ayah merupakan seorang perokok tegar dan masih lagi merokok. Saya amat risau dengan kesihatan ayah saya. Bolehkah doktor menerangkan punca masalah yang ayah saya hadapi? Adakah dia mengalami serangan jantung?
Anonymous
Salam Sejahtera doktor. Saya bertanya bagi pihak ayah saya. Sejak kebelakangan ini, ayah selalu mengadu sakit dada lebih... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih kerana mengajukan soalan pada pihak kami. Untuk makluman pihak anda, gejala yang ayah anda hadapi boleh disebabkan oleh pelbagai perkara. Antaranya: Masalah sakit jantung tersumbat Kegagalan fungsi jantung Kegagalan fungsi buah pinggang Masalah saluran paru-paru yang semakin sempit seperti COPD Berdasarkan keterangan yang anda berikan, kami mendapati simtom-simtom yang telah dihadapi oleh ayah anda menjurus kepada kegagalan fungsi jantung disebabkan masalah jantung tersumbat. Walaubagaimanapun, bagi mengesahkan punca simptom yang dihadapi ayah anda, pemeriksaan serta ujian saringan darah, ujian-ujian khas diperlukan.
Terima kasih kerana mengajukan soalan pada pihak kami. Untuk makluman pihak anda, gejala yang ayah anda hadapi boleh dis... See More

Apakah Tanda Sakit Jantung?

Masalah ini adalah masalah yang semakin meruncing dalam kalangan penduduk Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah jika tanda-tanda sakit jantung merupakan persoalan yang sering menjadi tanda tanya kepada masyarakat di Malaysia. Pelbagai persoalan yang diajukan termasuklah tanda-tanda sakit jantung tersumbat, tanda-tanda sakit jantung peringkat awal, tanda serangan sakit jantung ringan, tanda sakit jantung pada wanita,tanda jantung sihat dan sebagainya. Namun begitu, perkara yang perlu dititikberatkan dan paling membimbangkan adalah gejala serangan sakit jantung kerana ia boleh menyebabkan komplikasi seperti kematian dan kegagalan fungsi jantung. Antaranya:

Sakit dada 

  • Pesakit kerap mengalami sakit dada secara tiba-tiba dan kebanyakan daripada mereka mengalami ketegangan dada atau sensasi dada dihempap sesuatu yang amat berat. 

Peluh berlebihan

  • Pesakit akan mengalami peluh berlebihan dan sejuk secara tiba-tiba. Jika pesakit menghidap kencing manis, berpeluh tanpa sakit dada boleh berlaku. 

Sakit pada bahu kiri dan rahang bawah kiri

  • Pesakit kadangkala mengalami simtom sakit pada bahagian bahu kiri atau rahang bawah kiri sebelum sakit dada atau sakit dada yang merebak kebahagian tersebut. 

Mual/loya

  • Pesakit berasa loya atau mual sehingga menyebabkan muntah-muntah

Sesak nafas secara tiba-tiba

  • Pesakit boleh mengalami kesukaran bernafas secara tiba-tiba walaupun keadaan asal pesakit adalah normal

Palpitasi

  • Pesakit boleh mengalami jantung berdegup kencang atau perlahan berdasarkan lokasi dinding jantung yang terjejas akibat saluran darah tersumbat

Sakit epigastrik

  • Pesakit juga boleh mengalami sakit perut lebih-lebih lagi pada bahagian atas perut dan di bawah dada. 

Selain serangan sakit jantung, penyakit jantung atau kegagalan fungsi jantung juga perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan fungsi jantung yang semakin merudum. Simtom- simtom tersebut adalah:

  • Badan mengalami keletihan yang melampau serta mempunyai tenaga yang rendah
  • Kesukaran bernafas pada waktu malam ataupun sewaktu tidur ketika baring
  • Jantung berdebar kencang atau perlahan
  • Kaki bengkak air 
  • Sakit dada apabila melakukan aktiviti berat

Apakah Faktor-Faktor Risiko Sakit Jantung/ Punca Sakit Jantung?

Fakta penting yang perlu diketahui umum mengenai masalah jantung adalah faktor serta punca yang menyumbang kepada masalah tersebut. Lazimnya, faktor-faktor ini dibahagikan kepada faktor yang boleh diubah atau faktor yang tidak boleh diubah. Faktor yang boleh diubah bermaksud pesakit boleh mengamalkan gaya hidup sihat sehingga bebas daripada risiko penyakit jantung. 

Faktor yang tidak boleh diubah:

  • Jantina seperti lelaki

Golongan lelaki lebih berisiko tinggi untuk menghidap penyakit jantung kerana faktor ketiadaan perlindungan daripada hormon estrogen yang kebiasaannya tinggi pada kaum wanita. Hal ini kerana, hormon estrogen dipercayai boleh meningkatkan kandungan lipid baik, HDL dan mengurangkan lipid jahat, LDL pada darah. 

  • Usia

Golongan yang berumur lebih berisiko tinggi untuk menghidap penyakit jantung kerana jantung serta saluran darah semakin menggeras apabila usia meningkat

  • Genetik

Jika terdapat ahli keluarga yang menghidap penyakit jantung pada usia yang muda, risiko penyakit jantung akan meningkat. Ahli keluarga seperti abang, adik atau ayah yang meninggal akibat serangan jantung seawal usia 55 tahun ke bawah atau kakak, adik perempuan, ibu yang meninggal disebabkan serangan jantung pada usia 65 tahun ke bawah juga lebih berisiko tinggi. Golongan ini perlu mempraktikkan gaya hidup yang sihat bagi mengelakkan risiko penyakit tersebut. 

Faktor yang boleh diubah:

  • Merokok

Merokok mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan keradangan dan salur darah membengkak. Hal ini menyumbang kepada ruang salur darah yang semakin menyempit, plak rapuh yang boleh menyebabkan salur darah tersumbat dan sebagainya

  • Kurang melakukan aktiviti beriadah

Aktiviti riadah boleh mengurangkan kandungan gula dalam darah, tekanan darah dan bahan-bahan yang boleh menyebabkan darah membeku. Ia juga boleh meningkatkan lipid baik seperti HDL. Oleh itu, gaya hidup yang tidak aktif akan menyebabkan kekurangan kelebihan-kelebihan di atas yang mana boleh memelihara kesihatan jantung. 

  • Tekanan hidup/ Stres. 

Sewaktu stres, hormon adrenalin dan kortisol akan dirembes serta mengakibatkan degupan jantung yang berlebihan dan menyumbang kepada ketegangan fungsi jantung. Selain itu, kehidupan yang tertekan juga menyebabkan seseorang memilih gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok dan minum minuman alkohol secara berlebihan. 

  • Diet/Obesiti 

Diet yang tinggi dengan lemak akan menyebabkan salur darah tersumbat serta meningkatkan risiko serangan jantung. 

  • Kencing Manis

Masalah kencing manis turut menyumbang kepada kewujudan plak yang rapuh serta mengakibatkan salur darah tersumbat.

Bagaimanakah Penyakit Jantung Didiagnos?

Terdapat pelbagai ujian yang akan dilakukan oleh doktor bagi mengetahui punca penyakit jantung anda. Ujian-ujian ini terdiri daripada ujian invasif atau sebaliknya dan kesesuaiannya bergantung kepada pesakit yang hadir. Antara ujian yang dilaksanakan adalah:

  • Ujian tekanan darah
  • Ujian kandungan gula dalam darah
  • Ujian saringan kolestrol
  • Ujian Elektrokardiogram
  • Ujian darah secara umum
  • Ujian imbasan ultrasound pada jantung (Ekokardiogram)
  • Ujian imbasan pada saluran darah (Angiogram)

Bilakah Anda Perlu Berjumpa Dengan Pakar?

Jika anda mendapati bahawa anda memiliki gejala-gejala serangan sakit jantung seperti sakit dada, loya, sakit pada bahu kiri dan rahang bawah, jantung berdegup kencang atau perlahan dan sebagainya, anda disarankan untuk menghadirkan diri ke bahagian kecemasan di hospital berkenaan. Anda perlu ke hospital secepat mungkin lebih-lebih lagi jika anda mempunyai risiko yang menyumbang kepada penyakit jantung. Walaupun anda mengalami gejala peluh secara berlebihan tanpa sakit dada, anda dinasihati untuk menghadirkan diri ke bahagian kecemasan. 

Apakah Cara Mengatasi Sakit Jantung?

Benarlah mencegah itu lebih baik daripada merawat. Bagi memiliki jantung sihat, langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan. Antaranya:

  • Berhenti merokok
  • Kurangkan minuman beralkohol
  • Mengambil makanan yang sihat 
  • Bersenam atau mengamalkan gaya hidup yang aktif
  • Melakukan aktiviti yang mengurangkan tekanan emosi
  • Mengambil ubat mengikut yang ditetapkan bagi mengawal penyakit kronik seperti kencing manis

Cara merawat sakit jantung termasuklah mengamalkan langkah-langkah bagi mengatasi kondisi ini dan rawatan perubatan. Rawatan perubatan yang bersesuaian adalah berdasarkan jenis penyakit jantung yang dihadapi oleh pesakit. Sebagai contoh, ubat pencair darah seperti aspirin atau rawatan intervensi bagi jantung tersumbat (Percutaneous Coronary Intervention). Bagi masalah kegagalan fungsi jantung, ubat seperti diuretik, penghalang beta dan penghalang enzim ACE. 



Perbezaan Tanda Sakit Jantung Pada Wanita Dan Lelaki

Umum mengetahui bahawa wanita memiliki perlindungan daripada serangan jantung melalui hormon estrogen yang menjadi kelebihan kepada golongan ini. Hal ini secara tidak langsung menyumbang kepada fakta kaum lelaki lebih mudah mendapat serangan jantung pada usia yang lebih muda berbanding wanita. Walaubagaimanapun, perlindungan daripada hormon ini tidak boleh melindungi kaum wanita secara total jika seseorang itu mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat. 

Kaum wanita dikatakan mengalami gejala seperti mual/loya, keletihan yang melampau, ketidakselesaan pada dada, ketidakhadaman dan perasaan seperti kecelakaan bakal berlaku. Gejala-gejala ini merupakan gejala yang tidak tipikal untuk berlaku sewaktu serangan jantung. Namun begitu, tiada syarat yang jelas seperti jantina tertentu boleh mempengaruhi gejala serangan jantung.

References