Kanser adalah keadaan di mana sel-sel yang tidak normal tumbuh dan hidup pada mana mana organ atau struktur tubuh. Sel-sel ini bersifat agresif, bertambah dengan cepat, memerlukan lebih banyak nutrient, boleh menekan atau mengganggu struktur sekitarnya serta boleh berpindah ke bahagian tubuh yang lain.
Sel-sel ini boleh hidup di otak bermula dengan sel otak sendiri atau sel kanser dari bahagian tubuh lain merebak ke bahagian otak melalui saluran limfa dan dipanggil “metastatic cancer”. Apabila sel-sel ini tumbuh di otak, ia akan hidup dan membesar dengan cepat. Seterusnya ketumbuhan ini boleh mengganggu struktur lain dalam otak. Ia biasanya akan menghimpit struktur sekitarnya serta mengakibatkan tekanan yang tinggi di dalam otak. Selain itu, sel kanser juga menyerap nutrient dengan lebih banyak dan memberi kesan negatif kepada struktur lain sekitarnya. Sel yang bersifat agresif serta boleh tersebar ke bahagian tubuh lain ini digelar “malignant tumour”.
Selain tumour yang bersifat agresif atau malignan ini, satu lagi jenis tumour dipanggil “benign” atau tumour jinak. Tumour jenis ini tidak membesar dan merebak ke tempat lain, namun ia tetap boleh menyebabkan gangguan kepada struktur sekelilingnya dan menyebabkan tekanan tinggi di dalam otak. Selain itu, struktur otak adalah struktur yang sensitif kerana mengandungi banyak saraf dan neuron yang penting bagi setiap inci fungsi tubuh. Oleh itu, untuk membuang ketumbuhan di kawasan ini adalah sukar dan amat berisiko.