Kenali Apa Itu Dementia HIV/AIDS. Komplikasi Dalam Pesakit HIV

Ketahui Kondisi Kompleks Dementia HIV/AIDS - DoctorOnCall

Seperti yang anda tahu, pesakit Human Immunodeficiency Virus (HIV) boleh mendapat Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS) sekiranya penyakit tersebut tidak dikesan dan dirawat. Apabila seseorang mendapat AIDS, mereka boleh mengalami pelbagai komplikasi termasuklah pada sistem saraf dan otak. Salah satu komplikasi yang boleh dialami oleh pesakit HIV dikenali sebagai HIV-associated neurocognitive disorder (HAND). Sekiranya hal ini terjadi, ia boleh menyebabkan kemerosotan kesihatan mental dan kebolehan kognitif individu tersebut.

Apa Itu HIV Dementia?

Sekiranya anda mengenali individu yang menghidap HIV, anda perlu mengetahui apa itu HIV dementia. Dementia merupakan manifestasi beberapa gejala kognitif disebabkan kecederaan atau gangguan pada otak. Kebiasaannya, dementia berlaku pada golongan warga emas dan antara punca penyakit dementia adalah kecederaan pada tisu otak akibat kemalangan, masalah saluran darah, penyakit kemerosotan neurologi, penggunaan alkohol dan sebagainya. HIV-associated neurocognitive disorder (HAND) juga berlaku akibat kecederaan tisu-tisu otak apabila jangkitan ini tidak dirawat dan merebak ke bahagian tersebut.

Terdapat tiga tahap HIV-associated neurocognitive disorder (HAND):

Gangguan Neurokognitif Asimptomatik (Asymptomatic Neurocognitive Impairment)

Bagi keadaan ini, individu tidak menunjukkan sebarang gejala yang serius atau hanya menunjukkan gejala ringan dan gejala tersebut tidak mengganggu aktiviti harian individu tersebut dengan signifikan.

Gangguan Neurokognitif Ringan (Mild Neurocognitive Disorder)

Pada peringkat ini, individu akan menunjukkan kemerosotan kebolehan kognitif mereka dan gejala yang dialami boleh mengganggu aktiviti harian.

Demensia yang berkaitan dengan HIV (HIV-associated Dementia (HAD))

Sekiranya kebolehan kognitif seseorang semakin merosot sehingga tidak dapat berfungsi seperti manusia biasa dan memerlukan bantuan dalam aktiviti harian, diagnosis dementia akan diberikan kepada individu tersebut. HAD juga dikenali sebagai AIDS dementia complex (ADC).

Gejala HIV Dementia

Individu yang mengalami gejala HIV dementia boleh mengalami gejala-gejala yang dibahagikan kepada peringkat awal dan yang lebih serius. 

Gejala awal:

  • Pelupa atau nyanyuk

  • Fikiran bercelaru

  • Perubahan tingkah laku

  • Prestasi kerja merosot

  • Mudah hilang tumpuan

  • Ketidakupayaan untuk belajar perkara baru

  • Kurang nafsu seksual

  • Apati; tidak mempunyai emosi atau sukar untuk difahami

  • Kemurungan

  • Anhedonia; tidak dapat menikmati perkara yang disukai seperti hobi atau aktiviti sosial

Sekiranya gejala awal tidak dapat dikesan atau dirawat, keadaan tersebut boleh menyebabkan gejala yang lebih serius, seperti:

  • Gangguan tidur

  • Sawan

  • Ketidakupayaan untuk melakukan aktiviti harian sendiri dan memerlukan bantuan orang lain

  • Gangguan mental yang lebih serius seperti psikosis dan mania

Psikosis adalah gangguan cara berfikir disebabkan oleh beberapa faktor seperti genetik, kecederaan kepala atau otak, penyakit ataupun ubat-ubatan ataupun dadah. Psikosis menyebabkan seseorang mengalami delusi di mana individu tersebut percaya perkara yang tidak benar adalah benar. Individu tersebut juga boleh mengalami halusinasi yang boleh dirasai oleh deria tertentu seperti pendengaran atau pengelihatan. 

Mania pula adalah keadaan di mana seseorang mempunyai tenaga yang banyak dan mengalami perubahan mood. Pada masa ini, individu yang mengalami episod mania akan mengalami perasaan euforia (terlalu gembira) atau dalam bahasa mudahnya, high. Selain itu, individu tersebut juga akan mengalami delusi, halusinasi, penuh dengan tenaga dan cenderung untuk melakukan perkara berisiko tinggi dengan melulu seperti melakukan seks tanpa perlindungan atau menyakiti diri sendiri.

Diagnosis

Diagnosis HAD atau ADC perlu memenuhi kriteria yang khusus. Kebiasaannya, jika individu yang disahkan positif HIV dan menunjukkan simptom penyakit dementia, simptom neurologikal atau psikologikal, diagnosis HAD akan diberikan. Hal ini juga perlu disokong dengan siasatan teliti mengenai sejarah perubatan dan juga keputusan ujian makmal dan imejan untuk menolak diagnosis-diagnosis lain yang boleh menyebabkan gejala yang serupa. Antara ujian yang dilakukan adalah:

  • CT atau MRI otak

  • Kajian air tulang belakang (lumbar puncture)

  • Ujian toksikologi untuk mengesan dadah

  • Elektroensefalografi

  • Ujian HIV, sifilis, hepatitis B

  • Tahap elektrolit

  • Ujian neuropsikologi

Ujian neuropsikologi merupakan ujian yang penting untuk dilakukan kepada pesakit yang menunjukkan gejala-gejala psikologikal dan neurologikal. Tanda-tanda yang ditunjukkan pesakit semasa ujian boleh digunakan sebagai panduan untuk merangka pelan rawatan. Ujian ini melibatkan kebolehan untuk berfikir, tahap keresahan (anxiety level) dan sama ada pesakit mempunyai delusi atau halusinasi. Komponen ujian ini melibatkan beberapa kebolehan kognitif seperti masa dan tempat, memori, perhatian, kebolehan menggunakan bahasa atau berkomunikasi dan kebolehan untuk membuat sesuatu kerja dan mengikut arahan.

Rawatan

Rawatan bagi HAD terbahagi kepada rawatan dengan ubat-ubatan dan juga bukan ubat-ubatan. Kedua-dua rawatan ini adalah penting untuk memastikan keadaan tidak menjadi lebih serius, mengekalkan atau meningkatkan fungsi kognitif. Oleh itu, pemantauan dan sokongan perlu dilakukan bagi memastikan pesakit patuh kepada preskripsi ubat yang diberikan untuk mengawal dan merawat dementia dan juga HIV/AIDS.

Rawatan Bukan Perubatan

Rawatan ini dilakukan sama seperti bentuk dementia yang lain (alkohol, degeneratif dan lain-lain punca dementia). Tujuan rawatan ini adalah untuk memastikan pesakit peka terhadap keadaan sekeliling dan boleh melakukan tugasan harian tanpa memerlukan bantuan orang lain dengan kerap dan seterusnya berdikari. Antara langkah dan nasihat yang boleh diberikan kepada pesakit dan ahli keluarga adalah:

  • Pastikan pesakit sentiasa bersama dengan individu yang dikenali seperti ahli keluarga yang rapat. Sekiranya keadaan bertambah baik, pesakit boleh berjumpa dengan ahli keluarga dan sahabat yang lain. Tujuannya adalah untuk memastikan emosi dan kesihatan mental dalam keadaan yang baik.

  • Kekal aktif; Bersenam dan melakukan aktiviti fizikal boleh membantu dalam mengekalkan kesihatan fizikal dan mental seseorang

  • Melakukan aktiviti yang melibatkan fikiran; Melakukan beberapa aktiviti yang melibatkan fikiran adalah baik untuk mengelakkan masalah dementia menjadi lebih teruk kerana aktiviti sebegini merangsang otak. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah bermain catur ataupun membaca.

  • Penerangan kondisi dementia kepada ahli keluarga. Penerangan yang baik dapat membantu ahli keluarga dalam menangani dan menguruskan pesakit dengan lebih efektif. Penerangan yang perlu diberikan merangkumi penerangan penyakit dan kaitannya dengan keadaan pesakit pada masa tersebut, komplikasi dan cara menangani kondisi atau apakah langkah yang perlu dilakukan sekiranya komplikasi terjadi.

  • Memberikan bantuan moral dan kaunseling kepada pesakit dan ahli keluarga kerana kesabaran yang tinggi diperlukan dalam menguruskan pesakit dementia.

Rawatan Perubatan

Rawatan perubatan pula ditekankan kepada ubat-ubatan HIV/AIDS. Untuk rawatan ini, pesakit haruslah patuh kepada arahan dan preskripsi doktor untuk memastikan keadaan HIV mereka terkawal. Selain daripada ubatan HIV, ubatan lain juga boleh digunakan untuk melegakan dan mengawal gejala seperti ubatan antipsikotik atau antidepresan. Namun begitu, punca perubahan tingkah laku pesakit perlulah diketahui sebelum sebarang ubat atau rawatan diberikan bagi memastikan puncanya yang sebenar dan dirawat dengan rawatan yang tepat.

Rujukan: