Adakah Apa Yang Anda Tahu Tentang HIV/AIDS Itu Mitos Atau Fakta?

Semak 16 Mitos HIV/AIDS Ini & Ketahui Fakta Sebenarnya - DoctorOnCall

Pengenalan

1 Disember telah diumumkan sebagai hari AIDS sedunia. Penyakit yang sehingga kini belum ditemui penawarnya telah membuatkan mereka yang dijangkiti dibelenggu stigma sebagai pesakit seumur hidup. Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Pengendalian dan Pencegah Penyakit Amerika Serikat (CDC), dianggarkan 36,7 juta orang di dunia hidup dengan HIV. 

Walaupun sudah lebih 30 tahun sejak pertama kalinya penyakit HIV ditemui dan dilaporkan, masih banyak mitos tentang HIV/AIDS yang tular dan berlegar dalam kalangan masyarakat. Hal ini sekaligus menimbulkan banyak kekeliruan antara mitos dan fakta yang sebenar. Ketahui fakta di sebalik mitos-mitos tersebut, agar anda lebih memahami tentang penyakit HIV ini.

 

Mitos Vs Fakta HIV

1. Mitos: HIV sama dengan AIDS

Fakta: HIV dan AIDS adalah dua perkara yang berbeza. HIV adalah nama virus yang menyerang sistem imuniti tubuh, manakala AIDS pula adalah peringkat akhir akibat daripada jangkitan HIV jangka panjang setelah sistem imuniti tubuh telah dilumpuhkan oleh virus ini.

2. Mitos : Kita akan dijangkiti HIV jika tinggal bersama atau bergaul dengan penghidap HIV. 

Fakta: Pelbagai kajian telah dilakukan dan hasil penelitian membuktikan bahawa HIV dan AIDS tidak disebarkan melalui sentuhan kulit seperti bersalaman, berpelukan, atau tidur malam di atas katil yang sama.

Walaupun dikatakan penyakit ini disebarkan melalui cecair tubuh, namun tidak semua cecair tubuh akan menyebarkan penyakit ini seperti air mata, peluh dan percampuran air liur ketika berciuman.

3. Mitos: HIV dan AIDS boleh disebarkan melalui gigitan nyamuk

Fakta: Walaupun HIV tersebar melalui darah, namun hingga saat ini tidak ada bukti secara saintifik yang menunjukan bahawa gigitan nyamuk boleh menjadi vektor kepada penularan virus HIV.

Walaupun seekor nyamuk mungkin telah menyedut darah daripada seorang pesakit HIV, apabila ia berpindah kepada mangsanya yang lain ia tidak mengalirkan darah yang disedut sebelumnya kepada orang lain. Selain itu, jangka hayat virus HIV dalam serangga ini juga tidak akan bertahan lama kerana ia bukanlah perumah yang ideal buat virus ini.

4. Mitos: Individu yang telah menerima rawatan tidak akan menyebarkan penyakit HIV

Fakta: Rawatan HIV dapat membantu mengawal gejala penyakitnya tetapi individu tersebut tetap berpotensi untuk menyebarkan virus HIV pada orang lain sekiranya tidak berhati-hati.

Hal ini kerana rawatan yang diberikan hanya akan menekan kadar jumlah viral load HIV dalam darah tetapi penelitian menunjukkan masih terkandung virus di dalam darah atau cairan tubuh sekaligus mempunyai potensi menyebarkan virus ini.

5. Mitos: Individu dan pasangannya positif HIV, maka tidak perlu amalkan seks selamat bersama perlindungan

Fakta: Walaupun kedua-duanya positif HIV/AIDS, amalan seks selamat dengan menggunakan perlindungan tetap penting bagi mencegah risiko jangkitan berevolusi kerana mungkin jenis HIV kedua-dua individu tersebut tidak sama jenisnya. Keadaan ini sekaligus boleh memburukkan lagi keadaan pesakit.

6. Mitos: Tanda dan gejala HIV akan muncul sejurus dijangkiti

Fakta: Sesetengah individu yang dijangkiti HIV tidak menunjukkan sebarang gejala selama bertahun-tahun. Malah terdapat kes di mana gejala hanya muncul 10 tahun selepas dijangkiti. Selain itu, gejala HIV juga mirip dengan gejala penyakit lain yang sukar dikenalpasti. 

Oleh itu, satu-satunya cara untuk mengetahui dengan tepat adakah individu itu dijangkiti HIV adalah dengan melakukan ujian HIV. 

7. Mitos: Wanita hamil yang dijangkiti HIV pasti akan menjangkiti atau menularkan penyakit ini kepada bayinya kelak.

Fakta: Penularan HIV daripada ibu kepada anak merupakan penularan vertikal. Rawatan anti retroviral yang konsisten dalam kalangan ibu hamil yang dijangkiti HIV dapat menurunkan risiko penularan jangkitan ini kepada bayi yang dikandung sewaktu dalam kandungan, ketika proses bersalin serta semasa menyusukan bayi.

8. Mitos: Semua penderita HIV boleh dikenalpasti melalui tingkahlaku dan keadaan luaran mereka.

Fakta: Penghidap HIV positif berkelakuan dan memiliki fizikal yang sama seperti orang sihat.

9. Mitos: Penghidap HIV dijangkiti kerana mereka melakukan perkara yang tidak bermoral.

Fakta: Sesiapa sahaja boleh dijangkiti dengan HIV walaupun tidak melakukan aktiviti berisiko seperti seks bebas dan berkongsi jarum suntikan. Ramai kanak-kanak positif HIV akibat penularan vertikal daripada ibunya, atau wanita/lelaki yang dijangkiti kerana pasangan yang curang, atau mangsa keganasan seksual seperti rogol. Tidak kurang juga para petugas kesihatan yang dijangkiti HIV semasa melakukan prosedur rawatan kepada pesakit.

10. Mitos: Dikatakan terdapat ubat alternatif yang boleh menyembuhkan HIV dengan efektif dan berkesan. 

Fakta: Sehingga kini masih tiada ubat yang boleh meyembuhkanHIV/AIDS yang telah berjaya dihasilkan. Namun, jangkitan ini boleh dikawal dengan ubat antiretroviral dan kebanyakan pesakit yang menghidap jangkitan ini boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan kualiti hidup yang baik.

11. Mitos: Seks oral tidak boleh menularkan virus HIV.

Fakta: Walaupun risikonya rendah, tetapi seks oral termasuk dalam perbuatan yang berisiko yang berpotensi menularkan virus HIV.

12. Mitos: Hanya golongan muda yang terdedah kepada jangkitan HIV

Fakta: Virus HIV menyerang semua peringkat umur tidak mengenal usia dan jantina. 

13. Mitos: Tidak perlu melakukan ujian berkala HIV jika badan terasa sihat dan tidak mempunyai kontak dengan penghidap HIV.

Fakta: HIV boleh tersebar melalui pelbagai medium. Antaranya ialah melalui tranfusi darah dan jarum suntikan adalah contoh medium yang tidak kita duga dapat untuk dijangkiti HIV. Ujian HIV perlu dilakukan agar rawatan dapat diberikan serta mengelakkan menularnya jangkitan ini. Oleh itu, sekiranya anda terlibat dengan aktiviti berisiko, anda dinasihatkan untuk melakukan ujian ini secara berkala.

14. Mitos: Berkongsi makanan, perkakas pinggan mangkuk atau berkongsi tandas yang sama dengan orang yang positif HIV boleh menyebabkan dijangkiti HIV.

Fakta: Virus HIV tidak boleh bertahan atau hidup lama di luar tubuh badan untuk tempoh waktu yang lama serta virus ini tidak boleh berpindah daripada permukaan makanan dan alatan seperti yang dinyatakan di atas. 

15. Mitos: Semua individu yang sudah didiagnosis menghidap HIV hanya menunggu masa untuk penyakit HIV bertukar kepada AIDS.

Fakta: Walaupun jangkitan HIV boleh menyebabkan terjadinya AIDS, namun, tidak semua individu yang dijangkiti HIV akan menghidap AIDS. Mereka yang mematuhi regimen rawatan dengan baik biasanya mempunyai kualiti hidup dan tahap kesihatan yang baik. 

16. Mitos: Pesakit HIV akan meninggal dunia dalam masa terdekat selepas disahkan positif HIV. 

Fakta:  Ciptaan ubat retroviral membolehkan pesakit HIV untuk hidup lebih lama, mempunyai kualiti hidup dan tahap kesihatan yang baik serta boleh melakukan aktiviti seharian seperti orang biasa.

Rujukan: