Mengapa Perokok Lebih Berisiko Apabila Dijangkiti COVID-19?

Tanda - Tanda COVID-19 Lebih Serius Pada Perokok - DoctorOnCall

Sehingga kini, penularan jangkitan COVID-19 yang melanda dunia masih belum menemui titik noktah sejak ia pertama kali ditemukan di Wuhan, China pada Disember 2019. Jangkitan ini sudah banyak meragut nyawa dan angka kes jangkitannya masih terus meningkat saban hari. Mereka yang lebih berisiko mendapat jangkitan lebih serius sehingga boleh membawa maut termasuklah mereka yang berusia 65 tahun ke atas, mempunyai penyakit kronik dan juga perokok. Bagaimana perokok boleh menjadi golongan yang lebih berisiko? Benarkah kenyataan ini? Ikuti penerangan lanjut artikel ini.

Mengapa Perokok Mudah Dijangkiti COVID-19?

Asap rokok tembakau mahupun aerosol daripada rokok elektronik dapat menjejaskan kesihatan saluran pernafasan dan sistem ketahanan tubuh manusia. Sistem ketahanan tubuh yang lemah dapat meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus. Justeru, perokok lebih mudah dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit lebih-lebih lagi ketika wabak COVID-19 yang kini sedang melanda seluruh dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), pengguna tembakau sama ada rokok, shisha, cerut atau produk tembakau yang dipanaskan dikatakan lebih mudah dijangkiti virus COVID-19. Perkara ini disebabkan perbuatan merokok yang melibatkan sentuhan jari dengan bibir dan juga rokok yang mungkin tercemar, dipercayai meningkatkan risiko penularan virus dari tangan ke mulut, terutamanya jika jarang mencuci tangan. 

Di samping itu, pengguna shisha yang sering berkongsi paip penyedut boleh menyebabkan virus merebak dengan mudah. Selain perkongsian paip, penggunaan shisha secara beramai-ramai ini juga meningkatkan risiko jangkitan akibat kurangnya penjarakan sosial ketika aktiviti ini dilakukan. 



Mengapa COVID-19 Lebih Berbahaya Kepada Perokok?

Asap rokok menjejaskan saluran pernafasan serta mengganggu proses pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida di dalam paru-paru. Rokok juga menyebabkan pelbagai penyakit pada organ paru-paru seperti seperti jangkitan kuman (pneumonia), bronkitis, emfisema, bahkan kanser paru-paru. COVID-19 menyerang organ pernafasan dan keadaan saluran pernafasan yang terjejas akibat rokok memudahkan virus ini menjangkitinya sekaligus menyebabkan jangkitan yang lebih serius. COVID-19 adalah sejenis penyakit berjangkit yang menyerang tubuh manusia, terutamanya organ paru-paru. 

Sebuah kajian di Amerika Syarikat menunjukkan simptom COVID-19 dalam kalangan individu yang merokok mahupun yang mempunyai sejarah merokok didapati lebih serius. Analisis tersebut turut melaporkan kadar kematian lebih tinggi dalam kalangan keduanya. Perkara ini turut mendapat perhatian yang serius susulan statistik yang dibentangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati bahawa jumlah kes kematian disebabkan COVID-19 dalam golongan perokok adalah lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus. Menurut pihak KKM lagi, penelitian dan analisa awal berkaitan sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit telah dijalankan terhadap 86 orang daripada jumlah pesakit COVID-19 yang sudah meninggal dunia di Malaysia mendapati sebanyak 17 orang atau 19.8% daripada mereka adalah perokok. 

  • Bagaimana Pula dengan Vape atau Rokok Elektronik?

Bukti mengenai hubungan antara penggunaan vape atau rokok elektronik dengan COVID-19 masih belum ditemui. Walau bagaimanapun, menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), bukti yang ada menunjukkan bahawa sistem kedua-dua vape (tanpa nikotin) dan rokok elektronik (dengan nikotin) boleh menjejaskan kesihatan jantung serta paru-paru. Oleh kerana tabiat merokok elektronik juga melibatkan tangan yang dibawa ke mulut, penggunaan kedua-dua peranti ini boleh meningkatkan kadar jangkitan serta meningkatkan risiko jangkitan yang lebih serius. Adakah anda bergantung kepada nikotin? Ambil kuiz ini untuk mengetahuinya.

Komplikasi COVID-19 Pada Perokok

Susulan kenyataan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 27 Mei 2020 mendapati bahawa perokok mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih serius jika dijangkiti virus COVID-19. Kenyataan ini turut disokong oleh beberapa kajian yang dijalankan di luar negara. 

  • Risiko Dimasukkan Ke Hospital Kerana COVID-19

Perokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dimasukkan ke hospital sekiranya dijangkiti virus COVID-19. Menurut WHO, tujuh kajian pemerhatian mendapati bahawa perokok merangkumi 1.4 hingga 18.5 peratus orang dewasa yang dimasukkan ke hospital. Kajian yang dilakukan oleh Emami iaitu analisis data terhadap 2986 pesakit mendapati bahawa kadar perokok dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 7.6 peratus (3.8% hingga 12.4%). Sementara itu, analisis data oleh Farsalinos mendapati sebanyak 6.5 peratus (1.4% hingga 12.6%) daripada 5960 pesakit yang dirawat di hospital adalah perokok. 

Selain itu, Pusat Maklumat Bioteknologi Nasional (NCBI) mendapati terdapat peningkatan risiko kemasukan ke hospital akibat komplikasi COVID-19 yang teruk bagi perokok jika dijangkiti virus COVID-19. Selain itu, risiko kematian di hospital juga turut meningkat. Di samping itu, pesakit yang merokok juga lebih cenderung mengalami perkembangan penyakit yang lebih serius sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan di hospital.

 Komplikasi COVID-19 juga adalah lebih serius sekiranya pesakit yang merupakan seorang perokok yang turut menghidap penyakit yang melibatkan paru-paru seperti Penyakit Paru-paru Obstruktik Kronik (COPD). COPD adalah penyakit yang merujuk kepada bronkitis kronik dan emfisema. Sebuah jurnal daripada Hindawi melaporkan, individu yang mempunyai komorbid merupakan individu yang berisiko tinggi menghidap komplikasi serius akibat jangkitan COVID-19.  


  • Risiko Kematian Akibat COVID-19

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat hubungan yang jelas antara status merokok dan risiko kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU), penggunaan alat bantuan ventilator bahkan kematian. Kajian lain yang dilakukan ke atas 226 pesakit di Toronto, Kanada turut melaporkan perkara yang sama. 

Kesimpulan

Jika anda perokok dan fakta tentang kesan merokok yang selama ini telah diwar-warkan tidak menakutkan anda, kami berharap penerangan tentang risiko perokok terhadap wabak COVID-19 ini mampu membuka mata anda. Walaupun tiada kajian langsung mengenai risiko perokok pasif dan COVID-19 dijalankan, banyak kajian lain telah membuktikan bahaya rokok kepada orang sekeliling. Berhenti merokok adalah jalan terbaik untuk kesihatan anda dan orang tersayang. Rujuk kepada doktor hari ini untuk mengetahui cara-cara berhenti rokok.



Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall