Kesan Berhenti Merokok Pada Tubuh. Berbaloikah Berhenti Merokok?
Rokok adalah “pembunuh” yang senyap paling kejam. Ianya memudaratkan kesihatan bukan sahaja perokok, malah orang di sekeliling mereka, menyebabkan pelbagai penyakit seperti kanser paru-paru dan boleh membawa kepada kematian. Sayangnya, bagi mereka yang sudah lama merokok, pastinya frasa “berhenti merokok” menjadi bualan yang menakutkan dan dianggap mustahil.
Berhenti merokok kerana rasa sakit akibat putusnya zat nikotin dalam badan, seperti yang dialami oleh beberapa perokok yang berhenti secara mendadak, menjadi salah satu faktor yang menakutkan masyarakat untuk berhenti daripada merokok. Justeru, mereka lebih memilih untuk hidup dengan kesan sampingan merokok kerana beranggapan mungkin semuanya sudah terlambat. Ini sama sekali tidak benar. Artikel ini akan mengupas perubahan yang berlaku kepada anda selepas berhenti merokok mengikut garis masa. Mungkin anda akan berubah fikiran selepas ini.
Apa Yang Berlaku Setelah Anda Berhenti Merokok? Kesan Menurut Garis Masa
- 20 Minit Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Tahap kesihatan anda akan meningkat bermula 20 minit selepas rokok terakhir anda. Nadi dan tekanan darah anda akan mula kembali ke tahap yang lebih normal. Jangan terkejut ya, seawal 20 minit!
Selain itu, silia (jejari halus) pada saluran pernafasan anda yang sebelumnya tidak bergerak dengan baik kerana terdedah terus-menerus dengan asap rokok akan mula bergerak kembali. Ini bermanfaat untuk paru-paru kerana silia ini membantu menapis habuk, debu dan bakteria keluar dari paru-paru, sekaligus membantu mengurangkan risiko jangkitan.
- 8 Jam Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Tahap karbon monoksida dalam badan anda akan kembali mencapai nilai normal dalam tempoh 8 jam setelah rokok terakhir anda. Karbon monoksida merupakan bahan kimia yang terdapat dalam asap rokok. Ianya menggantikan zarah oksigen dalam darah sekaligus menurunkan jumlah oksigen yang diterima oleh tisu dalam tubuh badan anda. Apabila karbon monoksida hilang, kadar oksigen dalam badan anda akan mula meningkat ke tahap yang lebih normal. Peningkatan oksigen ini kembali disalurkan kepada tisu dan saluran darah yang kurang mendapat oksigen semasa anda merokok.
- 24 Jam (1 Hari) Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Setelah 24 jam anda berhenti merokok, risiko anda menghidap penyakit jantung akan menurun. Risiko untuk mendapat penyakit jantung dalam kalangan perokok adalah lebih tinggi berbanding bukan perokok. Selain itu, kadar nikotin dalam tubuh badan anda juga akan menurun secara berperingkat. Oksigen dalam badan akan meningkat membuatkan aktiviti fizikal seperti bersukan, terasa lebih mudah untuk dilakukan.
- 48 Jam (2 Hari) Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Merokok boleh menyebabkan kerosakan saraf periferi yang berfungsi untuk deria rasa dan bau. Setelah 48 jam tidak merokok, anda boleh merasakan deria bau dan rasa anda menjadi semakin baik. Anda juga akan menikmati makanan yang lazat dengan sempurna kerana deria anda yang semakin pulih.
- 72 Jam (3 Hari) Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Setelah 3 hari berhenti merokok, anda akan dapati pernafasan anda menjadi lebih baik dan mudah disebabkan paru-paru anda telah mula relaks. Kadar nikotin dalam tubuh badan anda akan turun sepenuhnya pada waktu ini. Disebabkan kadar nikotin yang turun, anda akan merasakan kesan yang kurang selesa pada diri anda akibat dari nicotine withdrawal atau sindrom sarak, dimana simptomya adalah seperti selsema, batuk dan sakit kepala. Namun begitu, ianya adalah petanda baik dan pencapaian yang tinggi buat anda! Anda boleh melakukan sesuatu sebagai lambang penghargaan kepada diri anda sendiri seperti membeli baju baru atau keluar makan bersama yang tersayang. Ingat, saat ini adalah kritikal kerana gejala sindrom sarak boleh membuatkan seseorang mengalah.
- 1 Minggu Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Kesan berhenti rokok seminggu bukanlah hanya dilihat dari segi kesihatan tubuh badan sahaja. Akan tetapi, ia merupakan kayu ukur kejayaan anda untuk berhenti merokok. Kebanyakan perokok yang berhenti merokok setelah 1 minggu, berjaya berhenti buat selama-lamanya. Ini bermakna anda berpeluang untuk berhenti merokok seumur hidup anda sekiranya dapat mencapai tempoh waktu 1 minggu kerana ketagihan nikotin semakin menurun. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini!
- 2 Minggu Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Peredaran darah anda akan bertambah baik. Anda juga mungkin menyedari bahawa aktiviti fizikal menjadi lebih mudah. Lakukan senaman dengan kerap agar dapat mengekalkan tubuh badan yang sihat.
- 1 Bulan Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Anda akan mengalami banyak perubahan kesihatan dalam hanya satu bulan setelah berhenti merokok. Anda juga akan tambah bertenaga dalam melakukan sebarang pekerjaan. Selain itu, gejala yang berkaitan dengan merokok seperti sinus dan sesak nafas semasa bersenam akan berkurang. Paru-paru anda menjadi semakin pulih dan risiko jangkitan bakteria berkurangan.
- 3 Bulan Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Setelah 3 bulan berhenti merokok, bagi kaum wanita, tahap kesuburan meningkat dan mengurangkan risiko terjadinya kelahiran bayi pramatang. Berhenti merokok juga meningkatkan kesuburan lelaki. Bagi pasangan yang inginkan cahaya mata, sekiranya mempunyai pasangan yang merokok, berhenti merokok adalah jalan terbaik.
- 6 Bulan Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Selepas enam bulan berhenti merokok, ramai yang menyedari bahawa mereka lebih mudah untuk menangani tekanan tanpa perlu merokok. Gejala batuk dan lendir semakin berkurangan. Hal ini kerana saluran pernafasan sudah tidak terdedah dengan asap dan bahan kimia di dalam rokok
- 1 Tahun Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Pada waktu ini, risiko penyakit jantung akan berkurang sehingga 50%. Teruskan penjagaan kesihatan dengan makan makanan seimbang dan kerap bersenam.
- 5 Tahun Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Setelah lima tahun, kebaikan berhenti merokok dapat mengurangkan risiko angin ahmar ataupun stroke. Peredaran darah dalam badan anda akan bertambah baik. Hal ini kerana saluran darah anda sudah tidak terdedah dengan racun, nikotin serta zat kimia dari asap rokok yang menyebabkan ianya menjadi sempit. Pada waktu ini, saluran darah anda akan menjadi lebih lancar. Selain itu, risiko kanser paru-paru juga semakin berkurang.
- 10 Tahun Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Setelah satu dekad, risiko kematian akibat kanser paru-paru akan berkurang. Sel-sel yang rosak sebelumnya akan digantikan dengan sel yang sihat. Selain mengurangkan risiko menghidap kanser paru-paru, risiko penyakit lain yang berkaitan dengan merokok juga akan berkurang. Antaranya ialah kanser pada mulut, esofagus, pundi kencing, buah pinggang dan pankreas.
- 15 Tahun Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Setelah 15 tahun berhenti merokok, risiko anda untuk terkena serangan jantung dan angin ahmar telah menurun dan sama dengan golongan yang bukan perokok. Tubuh anda pasti merasa segar dan selesa tanpa racun rokok di dalam tubuh.
- 20 Tahun Setelah Hisapan Rokok Terakhir
Risiko kematian akibat penyakit yang disebabkan rokok seperti penyakit paru-paru dan barah akan menurun. Peratusan risiko anda kini adalah sama seperti orang yang tidak merokok.
Setelah mengikuti garis masa kesan berhenti merokok kami berharap anda lebih bersemangat dan bermotivasi untuk berhenti merokok. Selain itu, kesan berhenti merokok pada wajah juga akan menjadikan anda lebih yakin pada diri dengan penampilan yang lebih sihat dan cergas. Oleh itu, masa yang sesuai untuk berhenti merokok adalah sekarang. Dapatkan sokongan daripada ahli keluarga, kawan-kawan dan doktor anda untuk memulakan gaya hidup baru iaitu tidak merokok. Bagi setiap kejayaan yang anda capai pada garis masa tertentu setelah berhenti merokok, anda boleh memberikan penghargaan kepada diri anda sendiri sebagai motivasi untuk anda terus berhenti merokok buat selama-lamanya.
Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!