Hentikan Penyebaran Denggi: Elakkan Jangkitan!

Cegah & Kawal Penularan Wabak Denggi | DoctorOnCall

Denggi adalah jangkitan virus yang boleh menyebabkan komplikasi serius seperti demam denggi berdarah dan kematian. Denggi biasanya disebarkan melalui gigitan nyamuk. Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan cara lain untuk penyebaran denggi. [1],[2] Mengetahui cara penyebaran denggi membantu kita mengelakkan wabak denggi dan mengurangkan risiko jangkitan.

Dari Ibu ke Anak: Dijangkiti Sewaktu Lahir

Walaupun kes ini jarang berlaku, ada kemungkinan denggi boleh disebarkan dari ibu ke anak semasa kehamilan. Risiko penyebaran denggi bergantung kepada tahap kehamilan dan masa jangkitan ibu. Jika ibu dijangkiti denggi semasa mengandung, ia boleh menyebabkan kelahiran pramatang, berat badan bayi rendah, dan masalah pada janin.[1]

Penyebaran Denggi di Tempat Perawatan Kesihatan

Walaupun jarang, denggi juga boleh tersebar melalui pendedahan secara tidak langsung terhadap virus, seperti melalui jarum suntikan.[3] Pada tahun 2014, seorang pekerja makmal di Korea Selatan dijangkiti denggi akibat tertusuk jarum. Individu tersebut mengalami gejala seperti sakit otot, muntah, demam, dan menggigil selepas kejadian tersebut.[3]

Di Singapura, seorang penderma darah yang tidak menunjukkan simptom denggi telah menyebarkan virus denggi kepada penerima darahnya. Siasatan mendapati penerima darah positif denggi sama seperti penderma tersebut.[4]

Oleh itu, adalah penting untuk memastikan tempat rawatan kesihatan mengekalkan prosedur penjagaan yang baik untuk mengelakkan penyebaran yang tidak diingini.

Cara Penyebaran Denggi Secara Umum

Denggi disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti.[1] Nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus adalah jenis yang biasa dijumpai di kawasan bandar di Asia Tenggara, termasuklah Malaysia.[1],[5]

Denggi merebak apabila nyamuk Aedes menggigit seseorang yang sedang menghidap demam denggi. Nyamuk yang dijangkiti ini kemudian menyebarkan virus kepada individu lain yang sihat, menyebabkan mereka turut dijangkiti.[4]

Nyamuk Aedes aegypti lebih cenderung berada dikawasan bandar dan mampu terbang sejauh 400 meter untuk mencari tempat bertelur di dalam bekas yang mengandungi air takungan.[6] Kemampuan terbang jauh ini menjadikan nyamuk Aedes aegypti dapat menyebarkan virus denggi dengan lebih meluas.

Langkah Pencegahan Denggi: Cara Melindungi Diri

Oleh kerana denggi disebarkan terutamanya melalui nyamuk, langkah terbaik untuk mencegah penyebarannya adalah dengan mengambil tindakan pencegahan secara individual dan bersama komuniti seperti:[7],[8]

  • Menghapuskan Tempat Pembiakan: Periksa kawasan sekitar dan hapuskan tempat-tempat air yang bertakung di mana nyamuk boleh membiak, termasuk pasu bunga, tayar, dan bekas plastik.
  • Menggunakan Repelan Nyamuk: Gunakan produk penghalau nyamuk yang mengandungi diethyltoluamide (DEET) apabila keluar rumah, terutama pada waktu aktiviti nyamuk yang aktif.
  • Memakai Pakaian Pelindung: Pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang untuk mengurangkan risiko gigitan nyamuk.
  • Pasang Jaring Nyamuk pada Tingkap dan Pintu: Jaring nyamuk pada tingkap dan pintu membantu menghalang nyamuk masuk ke dalam rumah.
  • Berunding dengan Doktor: Dapatkan nasihat doktor mengenai kaedah pencegahan lain termasuk vaksinasi.

Kesimpulannya

Denggi adalah penyakit serius yang boleh tersebar melalui pelbagai cara. Marilah kita mengambil tanggungjawab bersama untuk mencegah denggi, dari langkah pencegahan secara peribadi sehingga tindakan di peringkat komuniti.

Dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan, kita dapat bersama-sama mengurangkan impak denggi kepada masyarakat dan melindungi orang tersayang.

Rujukan

  1. Centers for Disease Control and Prevention. (2019). Dengue transmission. Sumber
  2. WHO. Dengue and severe dengue. (2023, 17 Mac). Sumber
  3. The New England Journal of Medicine. Dengue Hemorrhagic Fever Transmitted by Blood Transfusion. Sumber
  4. Lee, C., Jang, E. J., Kwon, D., Choi, H., Park, J. W., & Bae, G. R. (2016). Sumber
  5. Zainon, N., Mohd Rahim, F. A., Roslan, D., & Abd-Samat, A. H. (2016). Sumber
  6. World Health Organization. (2019). Dengue and severe dengue. Sumber
  7. Centers for Disease Control and Prevention. (2023). Sumber
  8. WHO. (2023, 2 Oktober). Sumber

Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. 200901025887 (868989-K)

Penafian: Maklumat ini tersedia untuk orang awam bagi tujuan informasi sahaja...

C-ANPROM/MY/DENV/0393 FEB 2025