Ancaman Denggi Parah

Demam Denggi Parah: Punca Dan Rawatan.

Demam denggi adalah penyakit yang disebarkan oleh nyamuk yang dijangkiti virus denggi.[1] Penyakit ini merebak melalui nyamuk Aedes, terutamanya Aedes aegypti dan Aedes albopictus.[1] Terdapat 4 jenis virus denggi yang diketahui (DENV-1, DENV-2, DENV-3, dan DENV-4), menunjukkan bahawa seseorang berkemungkinan mengalami jangkitan denggi sehingga 4 kali sepanjang hayatnya.[2]

Menurut statistik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia merupakan antara negara dengan jumlah kes denggi tertinggi di dunia, dengan lebih daripada 100,000 kes dilaporkan setiap tahun.[3] Sehingga 30 Disember 2024, Malaysia telah mencatatkan 121,050 kes yang dilaporkan.[4] 

Demam denggi boleh berlaku dengan atau tanpa gejala dan berpotensi membawa kepada keadaan serius yang memerlukan rawatan di hospital.[3]Dalam artikel ini, kita akan membincangkan tentang demam denggi yang parah.

Bagaimanakah klasifikasi denggi telah berubah?

Sejak tahun 2009, WHO telah menghapuskan klasifikasi 'demam denggi' dan 'demam denggi berdarah'. Kini, denggi diklasifikasikan mengikut tahap keparahannya, iaitu hanya sebagai ‘denggi’ dan ‘denggi parah’.[1]

Denggi parah sering dikaitkan dengan komplikasi seperti kerosakan organ, pendarahan teruk, atau kebocoran plasma yang serius.[1] Klasifikasi ini mempunyai sedikit persamaan dengan definisi lama Demam Denggi Berdarah (DHF) yang diterangkan melalui kriteria dan gejala berikut:

Kriteria
Gejala atau Manifestasi
Demam atau demam yang sudah berlangsung selama 2-7 hari
Demam panas
Sebarang manifestasi pendarahan yang tidak normal
Kiraan platelet yang rendah yang biasanya ditemui melalui ujian darah (trombositopenia)

Pendarahan dari mulut/gusi/hidung
Pendarahan dalaman
Sakit perut
Tompok darah kecil di bawah kulit
Muntah darah
Tanda amaran berkaitan dengan saluran darah
Nadi lemah, sawan, kegagalan organ, kesukaran bernafas, pengumpulan cecair

Lebih kurang 1 daripada 20 pesakit demam denggi berisiko mengalami keadaan yang boleh membawa kepada denggi parah.[5] Walaupun tidak semua pesakit denggi mengalami gejala denggi parah,[3] penyakit ini boleh berubah dengan cepat dalam masa yang singkat, justeru itu, penting untuk kita mengenali gejalanya.

Oleh kerana tiada rawatan khusus untuk demam denggi, denggi parah perlu dipantau dengan teliti oleh profesional kesihatan untuk meningkatkan peluang kesihatan yang lebih baik.[3]

Adakah Anda Berisiko Menghidap Denggi Parah?

Jangkitan kedua yang disebabkan oleh jenis virus yang berbeza boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami demam denggi parah.[3]

Kategori berikut merupakan golongan yang berisiko lebih tinggi untuk menghidap demam denggi parah:[6]

  • Bayi dan golongan warga emas
  • Individu obesiti
  • Wanita hamil
  • Pesakit dengan penyakit ulser peptik
  • Wanita yang mengalami menstruasi yang tidak normal atau pendarahan faraj
  • Pesakit dengan penyakit hemolitik seperti G6PD, thalassemia
  • Pesakit dengan penyakit jantung kongenital
  • Individu dengan penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, asma
  • Pesakit yang menerima rawatan steroid atau NSAID

Pencegahan adalah strategi terbaik

Walaupun sukar untuk mengawal faktor risiko individu bagi denggi parah, terdapat langkah-langkah yang boleh membantu mengurangkan risiko dijangkiti denggi. Anda boleh mengurangkan risiko dengan membersihkan tempat pembiakan nyamuk di sekitar anda, mengambil langkah perlindungan diri, dan mempertimbangkan vaksinasi sebagai usaha untuk melindungi diri daripada denggi.

Beberapa inisiatif yang boleh anda pertimbangkan termasuklah[7]:

  • Membuang bekas yang berisiko menjadi tempat takungan air
  • Memastikan tangki air dan bekas penadah air hujan ditutup rapat
  • Memastikan pasu bunga dan bekas tidak mengandungi air bagi mengelakkan pembiakan nyamuk akibat air bertakung
  • Memastikan saluran atap sentiasa mengalir
  • Memelihara ikan dalam kolam boleh membantu mengurangkan pembiakan nyamuk
  • Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
  • Menggunakan produk penghalau nyamuk pada anggota badan yang terdedah kepada gigitan nyamuk
  • Memakai pakaian berwarna cerah dengan lengan panjang dan seluar panjang apabila berada di luar rumah
  • Memasang kelambu dan penghalau nyamuk elektrik di kawasan tertutup
  • Memastikan tingkap dan pintu ditutup rapat

Vaksinasi kini telah dijadikan sebagai salah satu kaedah pencegahan denggi di Malaysia. Dapatkan nasihat doktor mengenai strategi pencegahan termasuk vaksinasi, untuk melindungi diri dan orang yang tersayang. WHO mengesyorkan vaksinasi untuk individu berumur antara 6 hingga 16 tahun di kawasan dengan kes denggi yang tinggi.[8]

Untuk mengurangkan risiko denggi parah, ambil langkah berjaga-jaga dengan mengenal pasti simptom dan faktor risiko denggi berdarah. Penting juga untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika diperlukan.

Rujukan

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia. CPG - Dengue 3rd edition. Diakses pada 22 September 2022.
  2. European Centre for Disease Prevention and Control (ECDC). Dengue Fever Facts. Diakses pada 22 September 2022.
  3. World Health Organization (WHO). Fact Sheet: Dengue and Severe Dengue. Diakses pada 26 September 2022.
  4. Kementerian Kesihatan Malaysia. iDengue Untuk Komuniti. Diakses pada 26 September 2022.
  5. Centers for Disease Control and Prevention. Clinical Presentation - Dengue. Diakses pada 22 September 2022.
  6. World Health Organization. Comprehensive Guideline for Prevention and Control of Dengue. Diakses pada 22 September 2022.
  7. Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Info Sihat - Demam Denggi. Diakses pada 23 September 2022.
  8. World Health Organization (WHO). WHO Prequalifies New Dengue Vaccine. Diakses pada 9 Disember 2024.

Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd.

Penafian: Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat daripada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan.

C-ANPROM/MY/DENV/0390 March 2025