Demam Denggi pada Kanak-Kanak: Risiko dan Cara Mengelakkannya

Mengenali Tanda Demam Denggi Pada Kanak-Kanak & Cara Mengatasinya | DoctorOnCall

Demam denggi boleh menjangkiti sesiapa sahaja, tanpa mengira usia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), demam denggi sering kali menyerupai selsema biasa dan boleh mempengaruhi bayi, kanak-kanak, malah orang dewasa.[1] Bagaimanakah demam denggi berbeza dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa? Apakah risiko demam denggi bagi kanak-kanak? Mari kita lihat lebih lanjut.

Kenali Gejala Demam Denggi pada Kanak-Kanak

Awasi anak anda dengan lebih teliti jika mereka mengalami demam panas. Demam denggi pada kanak-kanak mungkin disertai dengan gejala-gejala berikut:[1]

  • Demam yang mencapai sehingga 40°C
  • Sakit kepala yang teruk
  • Sakit di belakang mata
  • Sakit otot dan sendi
  • Mual dan muntah
  • Kelenjar yang bengkak
  • Ruam pada kulit

Rawatan dan Risiko Demam Denggi Parah

Walaupun simptom demam denggi pada kanak-kanak dan orang dewasa adalah serupa, Panduan Amalan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa faktor berikut menjadikan kanak-kanak lebih terdedah kepada demam denggi parah:[2]

  • Perempuan
  • Umur lebih dari 5 tahun
  • Obesiti
  • Jangkitan kedua virus denggi

Bergantung pada tahap keparahan, kanak-kanak yang dijangkiti demam denggi boleh dirawat di rumah atau memerlukan rawatan dan pemantauan di hospital.

Tiada rawatan khusus untuk demam denggi, hanya penjagaan sokongan yang menumpukan kepada mengurangkan kesakitan dan mengatasi dehidrasi.[3],[4] Pengambilan cecair adalah aspek yang paling penting untuk dipantau pada pesakit demam denggi parah, terutama pada kanak-kanak.[5] 

WHO telah merekodkan peningkatan kematian akibat denggi dari tahun 2000 hingga 2015, yang kebanyakannya memberi kesan kepada golongan muda.[1] WHO mengesyorkan vaksinasi untuk kanak-kanak berumur antara 6 hingga 16 tahun di kawasan yang mempunyai beban denggi yang tinggi.[1]

Bagaimana Cara Mengesan Demam Denggi pada Kanak-Kanak?

Pengesahan demam denggi biasanya dilakukan oleh doktor melalui penilaian sejarah perubatan, sejarah sosial, dan pemeriksaan fizikal. Namun, ada kalanya doktor akan mencadangkan ujian makmal seperti pengambilan sampel darah untuk mengesahkan diagnosis demam denggi.[2]

Jika anda tidak pasti sama ada anak anda mengalami simptom demam denggi, adalah lebih baik untuk segera berunding dengan doktor. Ini adalah kerana simptom demam denggi mungkin menyerupai penyakit lain. Demam denggi boleh menjadi serius jika tidak dirawat, jadi pastikan anda mendapatkan nasihat doktor jika terdapat sebarang keraguan.

Cara Melindungi Anak Anda daripada Demam Denggi

Pencegahan adalah cara paling berkesan untuk melindungi anak anda daripada demam denggi. Memastikan mereka bebas daripada gigitan nyamuk Aedes adalah langkah utama. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mengurangkan risiko anak anda dijangkiti:[6],[7]

Bersihkan rumah daripada tempat pembiakan nyamuk:

  • Pastikan saluran atap dan longkang di rumah mengalir dengan lancar.
  • Buang takungan air dalam besen, pasu bunga, tayar lama, dan lain-lain.
  • Buang sampah dengan betul kerana benda kecil seperti plastik boleh menakung air.

Lindungi anak anda daripada gigitan nyamuk:

  • Pakaikan anak anda dengan pakaian berwarna terang dan berlengan panjang.
  • Gunakan produk penghapus serangga seperti DEET, picaridin, atau minyak kayu putih limau.[8]
  • Elakkan anak anda bermain di luar ketika nyamuk Aedes aktif.
  • Pasangkan kelambu di katil anak anda atau pada kereta sorong bayi ketika berjalan di luar.
  • Rujuk kepada doktor mengenai kaedah pencegahan termasuk vaksinasi.

Semua orang berpotensi dijangkiti penyakit bawaan nyamuk. Anda boleh melindungi diri dan keluarga daripada demam denggi dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang telah disarankan.


Rujukan

  1. World Health Organization. Dengue and severe dengue | Link | Diakses pada 29 September 2022.
  2. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2020). Clinical Practice Guidelines - Management of Dengue In Children (Second Edition) | Link | Diakses pada 29 September 2022.
  3. MIMs. Dengue - Supportive Therapy. MIMS Malaysia | Link | Diakses pada 29 September 2022.
  4. MIMs. Dengue - Treatment. MIMS Malaysia | Link | Diakses pada 29 September 2022.
  5. Centers for Disease Control and Prevention. (2019, October 31). Caring for a child or family member sick with Dengue | Link | Diakses pada 29 September 2022.
  6. Demam Denggi. InfoSihat | Link | Diakses pada 29 September 2022.
  7. Kaur, J. (2021, September 29). Demam Denggi. PORTAL MyHEALTH | Link | Diakses pada 29 September 2022.
  8. Centers for Disease Control and Prevention. (2024, May). Repellents: Protecting Yourself from Mosquitoes. Link | Diakses pada 29 September 2022.

C-ANPROM/MY/DENV/0388 FEB 2025

Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd.

Penafian: Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat daripada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan.