Simptom yang Perlu Diberi Perhatian Bagi Demam Denggi Biasa dan Demam Denggi Parah
Malaysia adalah sebuah negara di mana denggi merupakan hiperendemik.[1]Hiperendemik ini ditakrifkan sebagai keadaan di mana terdapat kejadian denggi yang berterusan dengan kes yang tinggi.[2] Tahun 2019 menyaksikan kes denggi tertinggi di Malaysia dengan jumlah 130,101 kes dilaporkan.[3]
Virus denggi disebarkan oleh nyamuk Aedes, yang menggigit terutamanya pada waktu siang biasanya pada awal pagi dan pada waktu petang sebelum senja.[4] Virus ini beredar dalam darah individu yang dijangkiti (dieram) selama kira-kira 4-10 hari sebelum individu tersebut mula menunjukkan simptom demam denggi.[4] Anda boleh dijangkiti sehingga 4 kali sepanjang hayat anda.[1] Jangkitan kedua yang disebabkan oleh jenis virus yang berbeza boleh meningkatkan risiko denggi yang parah.[1],[4]
Sebilangan besar jangkitan denggi tidak menunjukkan gejala, tetapi untuk kes yang bergejala, ia terbahagi kepada dua kategori utama iaitu demam denggi (dengan atau tanpa gejala amaran) dan demam denggi parah.[4]
Adalah penting untuk memberi perhatian kepada gejala-gejala amaran walaupun anda hanya mengalami demam denggi yang ringan kerana simptom demam denggi parah sering muncul selepas demam reda.[4]
Gejala Demam Denggi
Gejala demam denggi ini, biasanya boleh berlangsung selama 2 hari hingga seminggu. Gejala demam denggi lain yang mungkin anda hadapi semasa fasa ini termasuklah[1],[4]:
- Sakit di belakang mata
- Sakit kepala yang teruk
- Sakit otot dan sendi
- Mual dan muntah-muntah
- Bengkak kelenjar
- Ruam kulit
Gejala Awal Demam Denggi Parah
Demam denggi yang parah boleh membawa maut akibat kebocoran plasma, pengumpulan cecair, kesukaran bernafas, pendarahan teruk, atau kerosakan organ.[5] Oleh kerana demam denggi parah boleh menunjukkan pelbagai gejala,[6] adalah penting untuk mendapatkan perhatian perubatan dengan segera, terutamanya jika terdapat sebarang keraguan.
Demam Denggi Berdarah (DHF)
Demam Denggi Berdarah (DHF) adalah salah satu bentuk demam denggi parah yang dicirikan oleh beberapa komplikasi, termasuk[7]:
- Demam Panas
- Pendarahan (hemoragik)
- Pembesaran hati (hepatomegali)
- Kegagalan peredaran darah (dalam kes yang serius)
Gejala-gejala awal Demam Denggi Berdarah (DHF) mungkin muncul pada pesakit denggi dalam tempoh 3 hingga 5 hari selepas gejala awal denggi.[8] Antara simptom yang mungkin dialami adalah[7]:
- Pendarahan
- Kesukaran bernafas (efusi pleura)
- Gelisah
- Muntah
- Sakit perut
- Penurunan suhu badan secara mendadak
Sindrom Kejutan Denggi (DSS)
Sindrom kejutan denggi (DSS) boleh berlaku kepada pesakit denggi akibat kebocoran plasma yang teruk.[6],[8] DSS biasanya dikenali dengan tanda-tanda berikut[8]:
- Denyutan nadi yang pantas tetapi lemah
- Tekanan darah rendah (hipotensi)
- Peredaran darah yang lemah (masa pengisian kapilari yang tertangguh)
- Kulit yang sejuk dan berpeluh
- Kegelisahan atau kebimbangan
Ringkasan Gejala Amaran Awal
Jika anda atau ahli keluarga mengalami demam denggi, segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya suhu badan turun di bawah 38°C semasa tempoh kritikal (sering berlaku pada hari ke-3 hingga ke-6 sejak permulaan simptom) dan salah satu daripada gejala berikut muncul[4],[6],[9]:
- Sakit perut yang teruk
- Muntah berterusan
- Pernafasan pantas
- Gusi berdarah
- Muntah darah
- Keletihan melampau
- Kebimbangan
- Mengantuk yang berlebihan
Gejala ini mungkin menunjukkan bentuk demam denggi yang teruk, yang memerlukan rawatan perubatan segera.
Walaupun tiada rawatan khusus bagi demam denggi,[4] diagnosis awal dan rawatan perubatan yang tepat dapat mengurangkan komplikasi dan risiko kematian yang berkaitan dengan penyakit ini.[8]
Untuk mengurangkan risiko dijangkiti demam denggi atau demam denggi parah, mencegah adalah cara yang terbaik. Baca artikel berikut untuk mengetahui cara mengelakkan pembiakan nyamuk di kawasan kediaman anda dan melindungi orang tersayang daripada gigitan nyamuk.
Rujukan
- Kaur. J. Demam Denggi. Portal | https://tinyurl.com/2kj8u8bx | Diakses pada 23 September 2022
- Rathakrishnan A, Klekamp B, Wang SM, Komarasamy TV, Natkunam SK, Sathar J, et al. (2014) Clinical and Immunological Markers of Dengue Progression in a Study Cohort from a Hyperendemic Area in Malaysia. PLoS ONE 9(3): e92021 | https://tinyurl.com/yck86uwh
- CodeBlue. (2020, January 6). Malaysia reports 130,000 dengue cases in 2019, highest since 2015 | https://tinyurl.com/26365jyk
- World Health Organisation. Dengue and Severe Dengue | https://tinyurl.com/46vwdxu7
- WHO - Western Pacific Region. Tanda-tanda amaran bagi jangkitan denggi yang teruk | https://tinyurl.com/5ayww5mr
- Ministry of Health Malaysia. 2015. Clinical Practice Guideline - Management of Dengue Infection In Adults (Third Edition) | https://tinyurl.com/yc7a2xwv
- Wang, W.-H., et al. Dengue hemorrhagic fever – Journal of Microbiology, Immunology and Infection | https://tinyurl.com/2p83nntx
- WHO. Comprehensive guideline for prevention and control of Dengue | https://iris.who.int/bitstream/handle/10665/204894/B4751.pdf
- CDC. Dengue Clinical Presentation | https://tinyurl.com/ycxjs6x7
Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd.
Penafian: Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat daripada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan.
C-ANPROM/MY/DENV/0387 March 2025