Demam Tak Kebah & Selsema Berpanjangan? Apakah Ianya Virus Atau Bakteria?

Demam - Punca Penyakit, Gejala & Cara Rawatan - DoctorOnCall
Anonymous
Selamat sejahtera doktor. Saya Revvi berusia 32 tahun. Saya ingin mengadu tentang masalah demam yang saya hadapi. Untuk makluman doktor, saya telah demam sejak 2 minggu yang lepas dan ianya masih tidak kebah. Saya juga mempunyai gejala selsema berpanjangan. Saya ingin bertanya adakah demam saya disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus? Bagaimana caranya untuk membezakan kedua-dua jangkitan ini dan bolehkah doktor terangkan kepada saya sebab kepada gejala saya, adakah ianya disebabkan oleh tifoid atau denggi? Apakah cara untuk merawat masalah yang saya hadapi ini? Terima kasih doktor.
Anonymous
Selamat sejahtera doktor. Saya Revvi berusia 32 tahun. Saya ingin mengadu tentang masalah demam yang saya hadapi. Untuk ... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk maklumat anda, terdapat pelbagai sebab untuk gejala demam dan selsema berpanjangan kerana masalah ini adalah simptom atau gejala yang sering dialami oleh pelbagai lapisan individu. Di negara tropika seperti di Malaysia, gejala ini boleh disebabkan oleh: - Jangkitan bakteria atau virus - Demam kepialu (tifoid) - Demam denggi - Demam malaria - Leptospirosis (kencing tikus) - Melioidosis Namun demikian, maklumat lebih lanjut diperlukan oleh doktor untuk memberikan diagnosis yang lebih tepat. Doktor perlu mengetahui tentang gejala-gejala lain yang dialami pesakit dengan lebih mendalam, membuat pemeriksaan fizikal serta ujian darah sebelum memberikan diagnosis yang lebih tepat. Baca lebih lanjut untuk mengetahui tentang perbezaan punca demam dan cara rawatannya.
Terima kasih atas soalan yang diajukan. Untuk maklumat anda, terdapat pelbagai sebab untuk gejala demam dan selsema berp... See More

Definisi Demam

Suhu badan yang normal ialah 37 ℃ dan ianya boleh berubah sebanyak 0.25 ℃ ke 0.5 ℃ mengikut waktu tanpa mempunyai sebarang penyakit. Bacaan suhu normal yang pada dubur selalunya lebih tinggi daripada bacaan suhu dalam mulut dan suhu badan di ketiak lebih rendah daripada suhu badan yang diperiksa melalui mulut. Untuk tujuan klinikal, pesakit dianggap demam jika suhu dalam mulut melebihi 37.5 ℃ atau suhu dubur melebihi 38 ℃. 

Hyperpyrexia ialah keadaan dimana badan mencecah suhu ekstrem melebihi 41.1 ℃ dan hypothermia pula ialah keadaan dimana badan menjadi terlalu sejuk iaitu suhu badan berada di bawah bacaan 35 ℃.

Punca Demam

Apabila suhu badan semakin panas tambah lagi dengan keadaan kepala yang sakit dan badan bertambah lesu, mula lah macam-macam yang difikirkan. Sakit itu lah, sakit ini lah, apalah agaknya penyebab demam ini. Demam ialah gejala dimana badan bekerja dengan lebih kuat memerangi jangkitan samada kuman bakteria ataupun virus. Ia juga boleh terjadi apabila badan bertindak balas terhadap masalah yang berlaku pada badan seperti strok haba akibat terdedah kepada cuaca yang terlalu panas dan keradangan organ dalam badan.

Seperti corak bintang yang tersusun di langit menjadi tanda arah kepada pelayar kapal di lautan, begitulah juga corak demam yang boleh memberikan tanda dan idea kepada doktor untuk mentafsir penyakit yang dihidapi pesakit. Seperti contoh, demam berterusan sepanjang hari dengan perubahan suhu kurang daripada 0.3 ℃ adalah ciri-ciri demam tifoid (kepialu), endokarditis, penyakit tibi, penyakit kulat, dan jangkitan paru-paru. Corak demam yang turun pada beberapa hari dan kembali naik di kemudian hari dipanggil sebagai “relapsing fever” dan ia merupakan ciri-ciri demam akibat daripada malaria, jangkitan Borrelia dan penyakit Hodgkin’s.

Maka, suhu badan yang panas tidak dapat membezakan sama ada ianya disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Segalanya bergantung kepada corak atau ciri-ciri gejala yang dialami oleh pesakit serta keputusan ujian makmal yang dilakukan.

Gejala Sampingan

Demam selalu datang bersama dengan gejala tambahan yang lain dan doktor akan mentafsir penyakit yang berkemungkinan ada pada pesakit berdasarkan gejala atau simptom yang diadu. Jika pesakit mengadu demam beserta dengan sakit kepala yang teramat sangat dan sawan, doktor mungkin akan memikirkan tentang jangkitan kuman dalam otak atau saraf tunjang. Berbeza dengan demam yang datang bersama dengan muntah-muntah, hilang berat badan, hilang selera makan, dan cirit-birit, doktor akan memikirkan tentang jangkitan kuman pada hati, keradangan pada apendiks, atau jangkitan pada organ dalam kawasan perut yang boleh menyebabkan demam. Apabila merawat pesakit yang berada di negara tropika seperti di Malaysia dan mereka mengadu tentang gejala tersebut, doktor mungkin memfokuskan diagnosis kepada penyakit berjangkit bawaan vektor yang biasa ada di negara tropika seperti denggi, malaria, tifoid (kepialu), leptospirosis (kencing tikus) dan melioidosis. Antara gejala lain yang mungkin dialami pesakit serta kemungkinan penyakit di sebalik gejala atau simptom tersebut ialah:

  • Selsema: jangkitan virus
  • Demam dan berpeluh pada waktu malam: penyakit tibi
  • Kulit merah mengelembung pada sendi: keradangan sendi septik “septic arthritis
  • Sakit sendi: denggi, endokarditis

Ujian Makmal Untuk Gejala Demam

Walaupun ujian makmal jarang dilakukan namun, jika keadaan pesakit semakin melarat dan tiada tanda-tanda penyembuhan, ujian makmal akan dilakukan. Pada masa yang sama, oleh kerana kepelbagaian penyakit atau diagnosis yang boleh diperoleh apabila pesakit mengalami gejala demam, maka ujian makmal mungkin dilakukan doktor untuk mendapatkan diagnosis yang paling tepat.

  • Ujian darah

Ujian darah termasuklah Ujian Kiraan Darah Keseluruhan atau dikenali sebagai “Full Blood Count” (FBC). Ujian ini boleh mengesan jumlah oksigen dalam darah, hematocrit, hemoglobin, platelet, sel darah putih dan banyak lagi. Bacaan dalam darah ini diperlukan untuk mendapatkan diagnosis terhadap sesuatu penyakit atau untuk menentukan keadaan pesakit sama ada stabil atau sebaliknya. Sebagai contoh platelet denggi akan mendapatkan bacaan yang rendah dan hal ini akan membantu doktor memberikan diagnosis penyakit denggi serta menentukan tahap keadaan semasa pesakit. Selain itu ujian darah seperti kultur darah “Blood Culture” akan dilakukan jika doktor mengesyaki penyakit yang disebabkan jangkitan kuman seperti tifoid (kepialu).

  • Ujian air kencing

Sampel air kencing pesakit akan diambil jika doktor mengesyaki jangkitan di saluran air kencing. Kehadiran bakteria boleh diketahui melalui ujian air kencing dan selalunya dilakukan apabila pesakit mengadu masalah demam yang disertakan dengan kepedihan atau kesukaran membuang air kecil.

  • Ujian najis

Ujian najis jarang dilakukan melainkan doktor mengesyaki jangkitan di saluran penghadaman yang selalunya disebabkan oleh keracunan makanan. Jika makanan pesakit tercemar atau pesakit tidak mengamalkan kebersihan semasa makan, pesakit akan terdedah kepada penyakit keracunan makanan dan mungkin datang ke klinik atau hospital dengan masalah demam dan cirit-birit.

Terdapat banyak lagi ujian makmal yang mungkin dilakukan seperti swab tekak “throat swab”, smear darah “blood smear”, lepto serology, NS1 antigen dan banyak lagi dan semuanya bergantung kepada corak gejala yang dialami pesakit dan pendapat doktor yang merawat dalam menentukan diagnosis dan keadaan semasa pesakit.

Cara Rawatan

Seperti baju yang mempunyai pelbagai corak, jenis dan saiz, begitulah juga ubat-ubatan yang ada di farmasi. Kepelbagaian ubat yang ada di farmasi, klinik atau hospital adalah kerana kepelbagaian penyakit yang ada. Ubat kepada masalah ini bergantung kepada sebab penyakitnya. Seperti contoh, demam yang disebabkan oleh penyakit tibi memerlukan rejimen rawatan antibiotik selama beberapa bulan dan demam yang disebabkan oleh denggi tidak memerlukan rawatan antibiotik tetapi rawatan terapi air yang optimum. Namun, jika pesakit mengalami gejala demam yang disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria atau virus yang biasa, ianya boleh dirawat tanpa memerlukan rawatan yang spesifik dan pesakit boleh sembuh tanpa perlu ke klinik atau hospital. Antara cara rawatan untuk meredakan demam yang boleh dipraktikkan oleh pesakit jika berada di rumah ialah:

  • Minum banyak air

Apabila demam, pesakit perlu memperbanyakkan minum air untuk mengekalkan fungsi badan melawan jangkitan dalam badan. Air sangat penting untuk mengelakkan pesakit daripada dehidrasi. Pesakit boleh minum air jus, air isotonik atau air masak biasa untuk menggantikan kehilangan air dalam badan akibat daripada demam.

  • Basahkan badan dengan air suam

Pesakit digalakkan untuk mandi atau basahkan badan dengan air suam. Hal ini untuk mengeluarkan haba di dalam badan tanpa mengakibatkan kegigilan yang mungkin berlaku jika pesakit menggunakan air sejuk dimana apabila pesakit menggigil, badannya akan mengeluarkan haba dan menjadikan suhu badannya semakin panas selepas mandi. Selain itu, pesakit digalakkan untuk menuam beberapa bahagian badan menggunakan kain yang lembap seperti di dahi dan leher. Cara ini juga dapat membantu untuk mengeluarkan haba dari badan dan boleh meredakan demam panas yang boleh mengakibatkan sawan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

  • Berehat

Walaupun ini kenampakan seperti perkara yang remeh, tetapi berehat merupakan cara yang paling efektif untuk meredakan demam. Pesakit digalakkan untuk berehat dan tidur ketika sakit. Tenaga dapat dijimatkan ketika demam dan otak dapat berfungsi dengan lebih baik apabila pesakit mendapatkan waktu rehat yang mencukupi. Oleh kerana berehat mampu membantu menyembuhkan penyakit, adalah digalakkan untuk ahli keluarga atau rakan-rakan tidak terlalu kerap mengganggu pesakit lebih-lebih lagi apabila tiba waktu melawat untuk pesakit yang berada di hospital.

References