Krisis wabak COVID-19 yang melanda dunia kini telah memaksa banyak negara untuk menguatkuasakan undang-undang perintah kawalan pergerakan. Hal ini untuk membendung wabak ini daripada terus merobek kesihatan rakyat di negara yang terjejas. Dengan adanya undang-undang tersebut, rakyat akan cenderung untuk duduk di rumah berbanding keluar dan hal ini akan mengurangkan kadar jangkitan dan penyebaran penyakit tersebut. Namun, persoalannya di sini adalah sejauh manakah kita mampu bertahan hanya duduk di rumah tanpa membeli barang keperluan untuk melangsungkan kehidupan seharian? Jika keluar rumah, tidakkah kita akan terdedah dengan risiko jangkitan penyakit tersebut dan apakah ada langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan risiko jangkitan semasa berada di luar rumah? Jadi, adalah penting untuk mengetahui langkah-langkah yang patut diambil ketika keluar rumah semasa wabak COVID-19 bagi mengelakkan dan mengurangkan risiko jangkitan.
Terapkan Amalan Ini Apabila Berada Di Luar Rumah Semasa Wabak COVID-19!
Keselamatan, Kesihatan & COVID-19
Tips Selamat Keluar Rumah Semasa Wabak COVID-19
- Memakai topeng muka semasa berada di luar rumah
Topeng muka adalah disarankan untuk dipakai lebih-lebih lagi kepada mereka yang bergejala. Topeng muka yang sesuai adalah yang mempunyai sekurang-kurangnya dua (2) lapis dan topeng muka yang sama digunakan oleh anggota dan petugas kesihatan. Hal ini kerana topeng muka tersebut mampu mencegah penyebaran atau transmisi titisan cecair mereka yang batuk atau bersin dan hal ini secara tidak langsung boleh menghalang si pemakai daripada dijangkiti wabak berkenaan.
- Elakkan menggunakan jari untuk menyentuh sesuatu
Kedengaran seperti mustahil. Tetapi, tahukah anda bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan tanpa menggunakan jari apabila berada di luar rumah? Seperti contoh, jika hendak menolak pintu atau membuka pintu di kedai, adalah disarankan untuk menggunakan anggota badan yang jarang digunakan untuk menyentuh muka seperti menggunakan siku atau lutut. Oleh kerana tangan digunakan untuk menyentuh muka, maka jika tangan tersebut tercemar dengan memegang permukaan yang telah terjejas, menggunakan anggota badan lain untuk melakukan sesuatu di luar mampu mengatasi masalah tersebut.
- Kurangkan masa ketika membeli barang & beli apa yang perlu sahaja
Apabila keluar rumah untuk membeli barang keperluan rumah, jangan mengambil peluang tersebut untuk bersiar-siar dan menikmati keindahan dunia luar. Sebaliknya, kita dinasihatkan untuk mengurangkan masa ketika membeli barang dan membeli barang keperluan sahaja kerana selagi kita berada di luar dan bersemuka dengan orang lain, risiko jangkitan juga meningkat.
- Amalkan penjarakan sosial
Sentiasa ingat akan penjarakan sosial iaitu dengan memastikan jarak kita dengan orang lain adalah sekurang-kurangnya 2 meter. Hal ini boleh diamalkan lebih-lebih lagi ketika beratur di tempat awam samada ketika beratur untuk melakukan pembayaran di kaunter, di bank atau di mana-mana tempat lagi. Langkah ini mampu mengelakkan diri daripada dijangkiti orang terdekat yang sedang batuk atau bersin.
- Hadkan penggunaan wang tunai
Cuba bayangkan betapa ramainya orang yang telah menggunakan atau memegang wang kertas yang ada di dalam dompet kita. Apakah yang akan terjadi jika wang kertas tersebut adalah kepunyaan mereka yang telah dijangkiti sebelum ini. Alangkah eloknya jika kita memanfaatkan kemudahan teknologi yang ada sekarang dimana pembayaran tidak semestinya dilakukan melalui wang tunai tetapi ianya boleh dilakukan menggunakan kemudahan kad bank, menggunakan aplikasi pembayaran melalui telefon pintar dan sebagainya.
- Sentiasa basuh tangan apabila berada di rumah
Tips yang diketahui ramai dan juga yang paling penting adalah untuk basuh tangan apabila sampai di rumah. Setelah keluar rumah dan bersusah payah mencari barang keperluan, apabila tiba di rumah, adalah sangat digalakkan untuk menukar baju dan membersihkan badan ataupun mandi untuk memastikan kebersihan diri sentiasa terjamin seterusnya dapat mengelakkan penyebaran wabak COVID-19 secara tidak langsung.