Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah agaknya yang berlaku atau akan berlaku kepada mereka yang menjalani ujian saringan COVID-19? Adakah semua orang yang menjalani ujian tersebut akan diasingkan dan dikuarantin di bilik khas di hospital? Apakah ada sampel darah yang perlu diambil untuk dihantar ke makmal untuk tujuan pengesanan dan pengesahan diagnosis penyakit COVID-19?
Untuk mengetahui perkara atau prosedur yang perlu dilalui oleh individu yang menjalani ujian saringan COVID-19, kita perlu mengambil tahu tentang beberapa terma dan perkataan khas yang digunakan anggota kesihatan dalam menangani dan mengurus pesakit sewaktu kanca wabak yang melanda dunia pada masa kini.
Salah satu terma yang sering didengari adalah perkataan “Patient Under Investigation” (PUI) atau dalam bahasa mudahnya ialah pesakit dalam siasatan. Mereka adalah individu yang mempunyai gejala COVID-19 seperti demam, kesukaran bernafas, batuk atau sakit tekak dan baru pulang atau tinggal di negara yang terjejas teruk dengan wabak berkenaan dalam masa 14 hari sebelum gejala berlaku atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang telah disahkan positif COVID-19. Mereka disahkan sebagai pesakit COVID-19 apabila keputusan makmal yang dibuat adalah positif COVID-19.
Maka, tidak semua mereka yang bergejala perlu untuk melakukan ujian saringan COVID-19. Hal ini kerana gejala yang dialami oleh pesakit COVID-19 adalah tidak spesifik dan boleh disebabkan oleh penyakit lain. Mereka yang memenuhi kriteria PUI dan kontak rapat sahaja yang perlu dan disarankan melakukan ujian saringan COVID-19. Jadi, apakah yang berlaku apabila seseorang itu menjalani ujian saringan COVID-19?
Pertama sekali, sewaktu pesakit sampai ke klinik/ hospital untuk melakukan pemeriksaan COVID-19, mereka akan diletakkan di tempat yang diasingkan daripada pesakit luar yang lain. Hal ini bergantung kepada tempat di mana pesakit mendapatkan ujian dan pemeriksaan tersebut. Sesetengah klinik kesihatan meletakkan khemah untuk tujuan pengasingan tersebut dan terdapat tempat yang menyediakan bilik khas untuk saringan tersebut. Doktor yang memakai “Personal Protective Equipment” (PPE) atau bahasa mudah baju perlindungan akan datang dan menanyakan tentang sejarah kesihatan, perjalanan serta kontak rapat pesakit. Selanjutnya, doktor akan melakukan beberapa pemeriksaan fizikal. Jika pesakit mempunyai kontak rapat dengan individu yang telah disahkan positif COVID-19 atau tergolong dalam kumpulan pesakit dalam siasatan (PUI), maka pesakit akan diarahkan untuk mendapatkan pemeriksaan dan ujian saringan yang lebih lanjut.
Petugas kesihatan seperti doktor, jururawat atau pembantu kesihatan bertugas akan mengambil sampel atau cecair daripada rongga pernafasan pesakit. Ianya termasuklah saluran pernafasan atas dan juga saluran pernafasan bahagian bawah (Upper Respiratory Tract Sample & Lower Respiratory Tract Sample). Contoh sampel yang diambil daripada saluran pernafasan bawah adalah seperti kahak daripada batuk, cecair yang diambil dari saluran pernafasan trakea, cecair di paru-paru dan juga tisu paru-paru itu sendiri manakala sampel yang diambil daripada saluran pernafasan atas adalah seperti air kumuhan daripada rongga hidung, mulut dan tekak. Sampel tersebut kemudiannya akan diletakkan di dalam bekas yang bersih dan dibiarkan pada suhu 4 darjah selsius dan akan dibungkuskan sekali lagi ke dalam 3 lapisan bekas sebelum dihantar ke makmal untuk tujuan pengesahan. Tiada sampel darah yang perlu diambil untuk tujuan pengesanan dan pesakit yang takut akan jarum tidak perlu risau tentang perihal tersebut.
Di makmal, sampel tersebut akan digunakan dalam prosedur “Reverse Transcriptase Polymerase Chain Reaction” (rRT-PCR) dan keputusan akan diperolehi dalam masa beberapa jam hingga ke beberapa hari bergantung kepada bilangan staf, bilangan mesin, dan bilangan pesakit yang inginkan keputusan ujian tersebut. Jika pesakit didapati positif, atau keadaan pesakit kurang baik, maka pesakit akan dimasukkan ke dalam wad dan akan dirawat sehingga 2 kali sampel yang berasingan selama 42 jam diambil adalah negatif beserta dengan keadaan pesakit yang sudah pulih dan sihat.